Oleh: MAZLAN NORDIN
KIAN mendapat perhatian dewasa ini ialah pelbagai karya Joseph Conrad (1857-1924) mengenai dunia Melayu pada masa lampau ketika dijajah oleh Inggeris. Antaranya ialah Lord Jim, An outcast of the Islands dan Almayer’s Folly.
Berasal dari Poland, beliau merantau menjadi kelasi kapal selama 20 tahun, termasuk lapan tahun di perairan Nusantara. Beliau menetap di England dan menulis dalam bahasa Inggeris hingga mendapat sambutan baik para pembaca.
Conrad juga menulis mengenai Congo, negara Afrika berjudul Heart of Darkness yang dianggap sebagai kemuncak penulisannya walaupun kemudian dituduh bersikap perkauman dan menghina orang kulit hitam. Kritik paling keras dilempar oleh Chinua Achebe, novelis dari Nigeria.
Kritikan juga disiarkan bersabit beberapa buah ceritanya mengenai dunia Melayu dan antara lain disebut: “Peribumi yang ditulis olehnya ialah bangsa yang telah dikalahkan. Mereka ingat betapa pembunuhan demi pembunuhan berlaku. Mereka hidup di bawah takluk Belanda dan Inggeris, diperdaya oleh peniaga-peniaga Arab.
Lalu mereka sebagaimana semestinya melakukan perkara-perkara oleh yang ditakluk, iaitu berkomplot. Telah dikatakan bahawa Conrad tidak menggambarkan Melayu sebenarnya dan orang Melayu yang dilukis olehnya bersifat ideal.”
Sebaliknya ada yang memuji Conrad, antara lain mengenai pemuda Inggeris bernama Lord Jim yang membantu penduduk tempatan memerangi pencerobohan-pencerobohan bangsa Eropah.
Menurut yang empunya cerita Lord Jim sebelum itu, seorang pegawai kapal haji yang gagal kerana meninggalkan kapal itu selepas suatu peristiwa kerana menduga kapal tersebut akan karam. Walhal kapal itu yang membawa ratusan jemaah haji terselamat kemudiannya.
Akibatnya selepas satu perbicaraan Lord Jim lari dari satu pekerjaan ke pekerjaan lain kerana berasa malu. Akhirnya ia bermastautin di sebuah perkampungan dan dipanggil Tuan Jim (Lord Jim) oleh para penduduk, hingga berperanan kemudiannya menebus dosa yang lalu.
Conrad dianggap sebagai “salah se- orang novelis Inggeris yang terkemuka sekali” walhal beliau hanya belajar bercakap bahasa Inggeris dengan fasih setelah meningkat umur 20-an.
Pelayaran ke Congo berlaku pada tahun 1890 manakala menjadi nakhoda sebuah kapal dalam masa penjajahan Raja Belgium. Di waktu itulah beliau menyaksikan peristiwa-peristiwa kejam dan ganas berlaku ke atas penduduk kulit hitam. Karyanya Heart of Darkness yang mengecam penjajahan menggambarkan kejahatan semula jadi manusia. Berdasarkan karya tersebut, terbitnya filem Apocalypse Now dari Hollywood.
Terbit dalam akhbar Utusan Malaysia pada Jun 2002 ialah rencana oleh Ku Seman Ku Hussain mengenai pembikinan filem Kelemahan Almayer oleh U-Wei Haji Saari. Makalah bermula “Pengarah keturunan Melayu yang berpendidkan filem di New York, U-Wei Haji Saari terkial-kial mencari pihak korporat untuk membiayai filemnya, Kelemahan Almayer....”
Selanjutnya dilaporkan: “Filem yang menceritakan pertembungan budaya dalam dunia Melayu itu diterbitkan oleh syarikat dari Australia dan Ireland. Kedua-dua syarikat itu telah melabur RM8 juta dan meletakkan Kelemahan Almayer dalam jaringan pengedaran antarabangsa.”
Demikian antara lain pengaruh cerita-cerita Conrad mengenai dunia Melayu masa lampau yang begitu menarik hingga kemudian difilemkan.
Sebagaimana disebut mengenainya lagi; “Menulis dalam masa kemuncak Empayar British, Conrad menimba segala pengalamannya dalam kapal-kapal laut British untuk menulis novel dan cerpen yang menggambarkan aspek-aspek sebuah empayar serata dunia sambil menyelami hati nurani manusia.”
Catatan: Pameran yang diberi nama “Joseph Conrad: Twixt Land and Sea” diadakan percuma kepada orang ramai dari 11 hingga 15 November di toko buku Times Bookstore di Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang.
-
0 Komentar untuk "Joseph Conrad dalam dunia Melayu"