|
|
MUKADIMAH
DALAM ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-58 Rabu lalu, Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi antara lain menekankan betapa pentingnya tugas pemimpin pelapis. Mesej yang dibawa jelas – pemimpin muda mengalas tanggungjawab berat menyambung perjuangan UMNO untuk menempuh 50 tahun akan datang.
Perdana Menteri mahu apabila tiba waktu itu, kita tergolong sebagai antara negara yang mempunyai kekuatan ekonomi paling berdaya saing; dengan modal insan, infrastruktur, institusi serta piawaian urus tadbir bertaraf dunia.
Bagi mendapatkan pandangan daripada orang muda di dalam UMNO sendiri, Mingguan Malaysia menemu bual Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin, 37, dan Presiden Kelab UMNO Leeds/Bradford, United Kingdom, Aminuddin Abd. Nasir, 25, semasa kedua-duanya menghadiri Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Ketika mengulas apa yang dihasratkan oleh pucuk pimpinan ini, Shahaniza berkata, ‘‘Saya melihat gagasan 2057 bukan sekadar satu amanat tetapi garis panduan dan bimbingan beliau sebagai ayah kepada generasi muda hari ini.’’
Sebagai pemimpin muda, Shahaniza berpendapat, cabaran paling besar yang menanti mereka ialah berusaha mengekalkan kejayaan sedia ada dan pada masa yang sama memperbaikinya ke tahap lebih baik lagi.
‘‘Maka itu, kita perlu bersedia dengan ilmu dan tahu apa perkembangan yang berlaku di luar negara khususnya negara-negara maju. Jika kita tidak bersedia, saya percaya kita akan melalui satu kejutan budaya,’’ katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Khamis lalu.
Dalam pertemuan dengan wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN dan WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI itu, beliau yakin pemimpin muda berupaya merealisasikan hasrat tersebut selain membayangkan Puteri dalam tempoh itu akan mampu untuk terus menjulang nama UMNO bukan sahaja dalam negara tetapi diakui di persada antarabangsa.
Nada yang sama diutarakan oleh Aminuddin. Untuk mencapai apa yang diinginkan tegas beliau, mereka harus mempunyai sahsiah diri, jati diri dan semangat cintakan negara yang tinggi. ‘‘Dalam era sekarang kita bukan sahaja bersaing setakat dalam negara tetapi global,’’ katanya.
Aminuddin bimbang jika generasi seangkatannya masih leka dengan kehidupan tanpa arah tuju, matlamat yang digariskan itu tidak akan tercapai. Ditanya tentang apakah kebimbangan paling besar bagi dirinya, tanpa ragu-ragu beliau berkata, ‘‘Gejala sosial yang semakin berleluasa adalah ancaman utama generasi kita ketika ini.’’
MINGGUAN: Sebagai pemimpin muda dalam barisan kepimpinan Puteri, bagaimana Datuk dapat menterjemahkan hasrat Presiden parti ini?
SHAHANIZA: Dalam ucapan dasar, Presiden telah menekankan bahawa tanggungjawab bagi meneruskan kecemerlangan negara terletak di bahu golongan muda. Ini termasuk generasi wanita Melayu muda dan telah menjadi agenda utama Puteri untuk membawa suara golongan ini ke dalam perjuangan UMNO. Oleh itu saya melihat gagasan 2057 bukan sekadar satu amanat tetapi juga garis panduan dan bimbingan beliau sebagai ayah kepada generasi muda hari ini untuk melihat wujud kesinambungan pada kejayaan Malaysia.
Bagaimana generasi muda wajar menyahut cabaran ini?
SHAHANIZA: Pengertian cabaran ini boleh dipecahkan kepada dua. Pertama, cabaran meneruskan kelangsungan kuasa UMNO, kita tahu kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adalah hasil perjuangan UMNO. Inilah sebabnya dalam sambutan kemerdekaan baru-baru ini kerajaan telah menonjol dan mengembalikan nostalgia kepada rakyat – UMNO telah berjuang secara langsung dalam mencapai kemerdekaan negara. Kedua, seperti yang ditegaskan Pak Lah (Abdullah) ialah cabaran untuk menguruskan kejayaan. Bila kita telah mencapai kejayaan, ia perlu diisi dengan ilmu dan kebijaksanaan, bukan sekadar prasarana berbentuk material. Pembangunan modal insan terletak di bahu generasi wanita muda kerana kami yang akan mendidik anak-anak bangsa untuk memastikan mereka menjadi bangsa berkualiti dalam tamadun Malaysia.
Dalam konteks ini, apakah bentuk perjuangan yang perlu ada untuk tempoh 50 tahun akan datang?
SHAHANIZA: Dulu, ayah dan ibu kita memperjuangkan perkara-perkata yang berbentuk prasarana seperti mahukan jambatan, jalan raya dan sekolah. Hari ini, kita telah merasai kejayaan hasil perjuangan mereka. Maka dalam masa 50 tahun akan datang, cabarannya ialah mengekalkan yang sedia ada dan memperbaikinya lagi. Hari ini kita telah melihat penerokaan angkasa bermula di negara kita. Adalah sukar untuk kita mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa depan. Maka itu, kita perlu bersedia dengan ilmu dan tahu apa sahaja perkembangan yang berlaku di luar negara khususnya di negara-negara maju. Jika kita tidak bersedia dengan kehidupan yang berlaku di negara maju hari ini, saya percaya kita akan melalui kejutan budaya. Inilah cabarannya.
Apa penambahbaikan yang perlu diberi tumpuan agar masa depan orang Melayu lebih terjamin?
SHAHANIZA: Dari segi sikap, integriti dan jati diri kerana itu asas kejayaan semua bangsa. Kalau berjaya dari segi material, tetapi rakyat, pemerintah atau pemimpin tiada jati diri dan integriti, kejayaan kita akan hancur. Kita mesti belajar dari sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dulu. Melaka jatuh ke tangan Portugis bukan sebab senjata canggih Portugis, tetapi kerapuhan jati diri pemimpin pada masa itu. Sikap, integriti dan jati diri kita sekarang ini belum lagi mencapai hasrat yang diinginkan Pak Lah sedangkan semasa zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad lagi beliau memesan supaya orang Melayu jangan mudah lupa, jangan terlalu selesa. Nasihat Tun diteruskan melalui kepimpinan Pak Lah. Saya rasa pemimpin dan rakyat kian menyedari kepentingan integriti dan jati diri serta sentiasa menjadikannya sebagai keutamaan. Misalnya Pak Lah sebut sistem penyampaian sektor awam mesti diperbaiki, saya percaya perkara seperti ini perlu sentiasa diperjuangkan oleh generasi muda. Kita juga melihat Badan Pencegah Rasuah (BPR) semakin proaktif melaksanakan tugas yang perlu mereka lakukan.
Menyentuh soal cabaran, apakah bentuk cabaran yang perlu diatasi bagi memajukan bangsa?
SHAHANIZA: Saya percaya pemimpin muda hari ini peka terhadap perkembangan semasa dan kehendak pucuk pimpinan. Kepekaan ini penting untuk meneruskan cabaran pada masa akan datang. Walaupun kita dapat membaca banyak perkembangan semasa di laman web, blog dan lain-lain, masalahnya ialah mereka kurang pemahaman dan lupa sejarah kemerdekaan. Isu kontrak sosial misalnya. Kerana itu berlakunya sedikit jurang di antara kaum di kalangan golongan muda hari ini. Pemuda Barisan Nasional (BN) begitu tegas dalam memberi pemahaman kepada rakan-rakan dalam parti komponen. Insya-Allah, jika Puteri diberi peluang menubuhkan kerjasama erat melalu Puteri BN, kita juga dapat melaksanakan tanggungjawab yang sama. Berada di dalam satu kesatuan memudahkan kita berbincang dan bertukar-tukar pendapat. Ini dapat mengurangkan berlaku salah faham khususnya di kalangan generasi selepas merdeka kerana mereka lahir sahaja sudah ada segalanya. Mereka sangka pencapaian mereka adalah hasil usaha atau keintelektualan sendiri semata-mata dan bukan kerana sejarah susah payah generasi lalu.
Ada dakwaan mengatakan pemimpin muda UMNO hari ini lebih menjurus kepada kepentingan diri, berjuang kerana faktor peribadi bukan untuk bangsa
SHAHANIZA: Memang ramai melahirkan kebimbangan tentang pemimpin muda mementingkan diri sendiri. Mungkin ada seorang dua yang begini, ibarat beras ada juga antahnya, tetapi bukan semua. Sekiranya ada yang berjaya dan maju dalam bidangnya tersendiri, mereka merupakan model kepada anak-anak bangsa. Kalau kita sebagai pemimpin tetapi tidak berjaya di dalam karier atau perniagaan yang diceburi, bagaimana kita mahu mengakui kita bangsa yang maju? Kita mesti membuktikan kepada anak buah yang kita mampu berubah dari tiada kepada ada, dari sedikit kepada banyak. Saya yakin mereka yang telah mencapai kejayaan ini bukan melakukannya untuk kepentingan diri sendiri tetapi kepentingan bersama di dalam parti dan di luar sana. Misalnya dalam program- program kemasyarakatan, Puteri mengumpul dana sendiri tanpa peruntukan mana-mana pihak, termasuk kerajaan. Jadi kami memerlukan sumber dan kewangan sendiri bagi melaksanakan program kemasyarakatan di kawasan terpencil. Tetapi kalau ada yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, itu memang salah. Kita berharap pemimpin begini tidak kekal di dalam parti kerana ia hanya membawa keburukan.
Ada juga yang mengatakan pemimpin muda hari ini semakin hilang ‘taring’ dalam perjuangan?
SHAHANIZA: Pandangan ini berlaku mungkin kerana sebelum Puteri wujud, Putera UMNO dikenali sebagai ‘Harimau Malaya’, suara Wanita UMNO juga sangat lantang menerusi tokoh-tokohnya seperti Khadijah Sidek, Tun Fatimah Hashim dan Tan Sri Aishah Ghani. Tetapi kita perlu faham era telah berbeza. Sekarang kita perlu berkata-kata dengan ilmu dan tindakan yang bijaksana. Di era teknologi maklumat ini kita perlu berlawan dengan bloggers, menjawab fitnah-fitnah di Internet dan lain-lain lagi. Sebagai generasi yang lahir melalui Dasar Ekonomi Baru, kita mahu meneruskan dasar kepimpinan yang bijaksana dalam setiap tindakan kita.
Apa yang dimaksudkan dengan ‘bijaksana dalam tindakan’, adakah bermaksud bertindak sebagai ‘pak turut’ pada setiap arahan yang diberi?
SHAHANIZA: Diam bukan bererti ‘pak turut’ tetapi diam-diam berisi. Kita telah diajar dan dididik bahawa setiap apa yang dilakukan mesti melalui perbincangan dan saluran-saluran tertentu. Perhimpunan Agung UMNO adalah salah satu forum bagi kita menyuarakan kritikan, pendapat dan hasrat tanpa sebarang halangan. Kami tidak ‘berkokok’ tetapi menggunakan saluran yang betul bagi mencapai apa kami mahu. Contohnya, keahlian automatik Puteri kepada semua wanita berusia di antara 18 hingga 35 tahun, kami menggunakan perhimpunan ini sebagai forum mendapatkan sokongan semua peringkat UMNO. Tiada siapa boleh mempertikaikan hak kami. Andai kata ditolak majlis pimpinan tertinggi, kami masih berpeluang untuk menyuarakannya di perhimpunan-perhimpunan pada masa hadapan.
Bagaimana Datuk mahu melihat wajah Puteri UMNO dalam tempoh 50 tahun akan datang?
SHAHANIZA: Sebagai salah seorang ahli penaja Puteri, saya berhasrat Puteri pada masa akan datang akan lebih berwibawa dan memahami peranan sebenar penubuhannya sebagai sayap parti politik. Untuk memberi peluang kepada wanita Melayu muda bersuara dan memberi peluang kepada mereka maju setapak menjadi pemimpin. Kita berharap wanita muda bukan saja diterima menjadi pemimpin negara tetapi juga di persada antarabangsa. Jika sekarang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin telah diterima sebagai anggota UNESCO, di masa depan saya percaya akan ada Exco Puteri yang akan terkenal di persada antarabangsa dan menjadi kebanggaan negara. Saya juga berharap dalam tempoh 50 tahun akan datang semua wanita muda dari pelbagai profesion akan menyertai Puteri UMNO.
Apakah yang boleh menggagalkan hasrat ini?
SHAHANIZA: Jika mereka tidak tahu apa makna perjuangan, lupa pada sejarah penubuhan UMNO, sejarah Melayu dan sejarah penubuhan Puteri UMNO itu sendiri. Begitu juga jika ahli-ahli Puteri lupa apakah niat mereka menyertai UMNO. Kalau masuk parti sekadar untuk berkawan, tiada agenda politik tertentu, tanpa integriti atau jati diri Melayu serta lemah dalam ilmu, Puteri akan lenyap tidak perlu tunggu 50 tahun lagi.
Mampukah generasi hari ini memikul tanggung- jawab memastikan kelangsungan Puteri?
SHAHANIZA: Saya yakin generasi muda berkebolehan. Mereka boleh melakukan apa saja jika berilmu, berkeyakinan dan berjiwa besar. Sedangkan ibu bapa kita yang kurang peluang, kurang ilmu, kurang keyakinan diri malah dipandang remeh oleh bangsa-bangsa lain mampu mencapai kejayaan untuk kita kecapi pada masa ini. Tiada sebab kita hari ini yang dibekalkan dengan segala-galanya tidak boleh mencipta dan meneruskan kejayaan untuk hari esok.
Dalam hal ini apakah kebimbangan paling besar?
SHAHANIZA: Saya sedih melihat ramai wanita muda di luar sana begitu mengutamakan material berbanding kehidupan berkualiti. Mungkin bagi mereka kehidupan berkualiti ialah mendapat segala-gala yang dihajati. Sedangkan bagi kita yang lebih penting adalah ilmu. Apa yang kita nampak, generasi muda kurang menghayati ilmu atau tiada jati diri. Hari ini anak Melayu terlalu seronok dengan hiburan seolah-olah hiburan itu keperluan. Program-program ilmu sukar mendapat sambutan daripada golongan ini secara sukarela, tetapi ramai yang sanggup berbelanja berhabis-habisan untuk hiburan. Saya juga bimbang melihat ibu-ibu muda tidak mampu membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya. Kadar perceraian semakin tinggi, sedangkan tanggungjawab wanita muda ialah untuk membina generasi akan datang. Pepatah Inggeris mengatakan, ‘managers manage, leaders inspire’. Kita bukan mengurus pertubuhan sukarela, tetapi memimpin. Jadi kita kena sedar, tanggungjawab Puteri untuk memimpin golongan muda menjadi wanita berjaya, mampu keluar dari masalah sosial, dapat mengimbangi soal kerjaya dan rumah tangga.
Tahun ini tahun terakhir Datuk Noraini Ahmad sebagai ketua. Apakah yang perlu ada kepada corak kepimpinan Puteri UMNO selepas ini?
SHAHANIZA: Saya berasa agak sedih bila lebih 50 peratus kepimpinan Puteri akan meninggalkan Puteri kerana faktor usia. Memandangkan kami dari pihak penaja, kami betul-betul memahami tujuan Puteri ditubuhkan. Dalam penggal pertama Datuk Seri Azalina Othman Said memimpin Puteri dulu, beliau telah meletakkan asas-asas yang kukuh kepada pengertian Puteri UMNO dan ini diteruskan oleh Datuk Noraini Ahmad dengan pengisian dan pendekatan yang menarik minat ibu muda. Formula yang telah diasaskan oleh kedua-dua pemimpin ini adalah formula yang amat baik. Maka kepemimpinan Puteri pada masa akan datang perlu memberi penekanan untuk memantapkan perjuangan bukan sekadar untuk Puteri tetapi dalam skop lebih luas. Satu pelan tindakan lengkap perlu dibuat oleh kepimpinan akan datang; bagaimana kita mahu mencapai hasrat Presiden pada 2057, tidak boleh lagi sekadar membuat pelan tindakan semasa saja.
0 Komentar untuk "Meneruskan gagasan 2057"