Oleh Jami'ah Shukri
Bumiputera digalak miliki hartanah dengan sediakan rumah mampu milik
BAJET 2008 menyaksikan beberapa insentif, termasuk penghapusan duti setem bagi pindahan hak milik hartanah dan pengeluaran akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bayaran bulanan rumah. Bagaimana Uda Holdings Bhd (Uda) akan memanfaatkannya untuk Bumiputera?
Pengecualian 50 peratus duti setem bagi pindahan hak milik hartanah dapat dimanfaatkan Uda dengan melakukan pelbagai projek pembangunan yang dirancang. Oleh itu, kita akan menyediakan lebih banyak kediaman berharga kurang daripada RM250,000 dan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan jualan, terutama kepada Bumiputera dan golongan yang mampu milik rumah. Bagaimanapun, Uda sudah membina banyak rumah pada harga berkenaan seperti di Bandar Baru Uda, di Johor Bahru.
Kita juga akan membina lebih banyak lagi, contohnya di Johor, manakala sebahagiannya di Pulau Pinang. Pada masa sama, Uda yakin dengan insentif dalam bajet yang menarik minat orang ramai untuk membeli rumah. Pengeluaran akaun kedua KWSP pula akan lebih memudahkan bayaran bulanan rumah oleh pembeli dan mengurangkan beban kewangan mereka dan ini akan dimanfaatkan Uda dengan menggalakkan orang ramai, terutama Bumiputera membeli rumah yang lebih mahal. Ia sekali gus meningkatkan jualan kepada pemaju.
Dari segi tanggungjawab sosial, Uda akan bangunkan semula penempatan penduduk setinggan di Tanjung Tokong. Kita bagi penempatan percuma kepada mereka. Pembeli adalah Bumiputera, pembeli kita biasanya pasti membeli rumah dibangunkan Uda Holdings, mereka yakin dengan kualiti. Kita juga akan meningkatkan kuota Bumiputera, terutama di kawasan bandar yang akan dibangunkan dengan kediaman mengikut harga ditetapkan.
Kerajaan mengumumkan RM22 juta untuk aktiviti pelancongan homestay. Apa perancangan Uda Holdings dalam hal ini?
Kita terbabit dalam bidang perhotelan dan kita ada konteks di dalam dan luar negara. Mereka yang datang dari luar ingin melihat dan merasai kehidupan di kampung serta masyarakat luar bandar. Bagaimanapun, bagi program homestay ini, kita bantu peserta program dari segi pemasaran dengan memberikan maklumat berkaitan lokasi dan aktiviti disediakan dalam pakej pelancongan itu.
Uda akan bantu dari segi pemasaran dan menyalurkan maklumat itu yang boleh dihubungkan terus ke pusat homestay. Ia adalah khidmat percuma kami untuk membantu dan melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang homestay. Kita buat seperti program anak angkat dan tidak sekali-kali mempunyai niat bersaing dengan Kementerian Pelancongan, tetapi lebih kepada �compliment� serta membantu usahawan Bumiputera yang menjalankan aktiviti pelancongan.
Bagaimana Datuk melihat sektor hartanah di negara ini secara keseluruhannya. Hak pemilikan hartanah Bumiputera kini berada pada tahap mana?
Setakat ini, kita berpuas hati dengan hak hartanah Bumiputera dibangunkan Uda. Lebih 50 peratus kompleks perniagaan dimiliki Bumiputera dan kita sentiasa memastikan ia mencapai sasaran. Kita juga membentuk bandar baru yang diduduki Bumiputera. Pemilikan hartanah atau kawasan kediaman diduduki Bumiputera terus berjalan lancar dan tidak menjejaskan kaum lain untuk mendiami kawasan sama. Ada pembeli bukan Bumiputera di kawasan itu, terutama di Terengganu. Kita puas hati dengan situasi itu.
Uda Holdings turut mengambil bahagian dalam pelaburan hartanah Bumiputera di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Boleh Datuk jelaskan pembabitan Uda?
Sehubungan itu, kajian mengenai kesesuaian pembangunan dari pelbagai segi sedang dijalankan. Malah, saya sudah berbincang dengan kerajaan negeri. Kita akan menambah hak milik dan rumah Bumiputera di kawasan Bumiputera di Johor Bahru, Bandar Baru Uda, Taman Perling, Larkin dan Pasir Gudang. Kita juga ingin membangunkan bas terminal di kawasan itu kerana ada kepakaran di situ dan tidak ada masalah. Kita bekerjasama dengan PNS untuk membangunkan kawasan di situ dan banyak lagi projek.
Bagaimana Uda Holdings dapat menseimbangkan projek pembangunan hartanah, premis, bangunan di bandar lain berbanding sebelum ini lebih tertumpu di bandar besar?
Tumpuan pembangunan kita adalah di bandar besar kerana lebih berpotensi mendapatkan pasaran. Bagaimanapun, kita ada melaksanakan projek di bandar kecil, tetapi tidak meluas dan dipergiatkan. Uda kurang melaksanakan projek di bandar kecil kerana sukar mendapatkan pasaran (pembeli). Kita pernah melakukan pembangunan hartanah di Bandar Muadzam Shah, Kuantan dan di Batu Gajah, Perak, tetapi pulangan dan jualan agak lembap. Kita lihat, kuasa beli di tempat itu terlalu rendah.
Apa yang dilihat orang ramai tinggal di bandar kecil mempunyai tanah sendiri dan dirikan bangunkan. Bagaimanapun, kita bersedia melakukan projek itu, Kita kena lakukan perancangan rapi supaya tidak memberi kerugian kepada Uda. Kita sedang memikirkan mana kawasan yang boleh dibangunkan, berdasarkan beberapa percubaan di kawasan lain.
Setakat ini, sejauh mana Uda Holdings berpuas hati dengan pencapaiannya sejak ia dikorporatkan. Berapa jumlah terkini pembinaan premis ruang niaga, pusat beli-belah, rumah dan lain-lain dan adakah jumlah berkenaan mencapai sasarannya?
Sejak ditubuhkan 36 tahun lalu, Uda melalui proses penstrukturan apatah lagi sejak ia dikorporatkan. Namun, Uda terus bergiat dalam memajukan peranan utamanya dalam aktiviti pembangunan bandar, di samping menyediakan peluang kepada Bumiputera dalam memiliki hartanah pada kadar berpatutan bagi tujuan perniagaan.
Hasilnya, Uda membina sejumlah 595 unit kedai komersial dan 14,572 unit rumah kediaman sepanjang tempoh 1996 hingga 2006. Pemilikan Bumiputera terhadap unit komersial dan unit kediaman dalam tempoh itu, masing-masing adalah 62 peratus dan 84 peratus. Antara kawasan yang menjadi tumpuan Bumiputera dalam memiliki unit kediaman adalah di Timur, Utara, Selatan dan Lembah Klang. Sinaran TTDI di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur misalnya memberi pengkhususan dalam pasaran �up-market� mencapai jualan sebanyak 91 peratus dengan pegangan Bumiputera hampir 93 peratus. Bagi unit komersial pula, peratus pegangan Bumiputera sekitar 62 peratus kebanyakan tertumpu di kawasan tengah dan timur. Uda berasakan peratusan itu berpatutan memandangkan perlu ada penghunian bercampur iaitu pelbagai kaum.
Selain itu, Uda memiliki 12 kompleks perniagaan dengan kadar penghunian antara 65 hingga 100 peratus. Uda bertanggungjawab kepada pembukaan bandar baru antaranya Bandar Tun Hussein Onn di Cheras, Bandar Uda Utama di Johor Bahru dan Taman Pauh Jaya, di Pulau Pinang. Setakat ini, Uda berbangga dengan pencapaian memberangsangkan ditunjukkan pegangan Bumiputera terhadap rumah kediaman hasil projek dibangunkan Uda dan terus berusaha supaya pegangan hartanah Bumiputera terus kekal pada skala tinggi.
Apakah perancangan Uda untuk merancak dan meningkatkan peranannya sebagai pemaju hartanah dan ekuiti Bumiputera, termasuk di kawasan baru di lokasi strategik?
Bagi meneruskan peranan dan tanggungjawab sosial dalam membangunkan usahawan dan memperkukuhkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera, Uda merangka beberapa strategi dalam merancakkan dan meningkatkan peranannya di kawasan baru di lokasi strategik. Antaranya melalui penjenamaan semula Uda dan membangunkan tanah milik Uda di lokasi terpilih yang berpotensi serta mempunyai pasaran tinggi. Antara kawasan terpilih ialah Sinaran TTDI, Bangsar, Jalan Sultan Ismail, Tanjong Tokong di Pulau Pinang.
Bagi merancakkan aktiviti Bumiputera di kompleks perniagaan di lokasi strategik, Uda dalam perancangan membangunkan projek seperti di Pudu dan Bukit Bintang City Centre. Selain itu, Uda mengadakan projek usaha sama membangunkan tanah Bumiputera dan tanah wakaf melalui perjanjian persefahaman dengan koperasi dan Majlis Agama Islam Negeri. Kita juga akan laburkan RM15 juta untuk mengubah suai dan wajah Bukit Bintang Plaza bagi memberikan persaingan dan menarik orang ramai datang.
0 Komentar untuk "Tamu Selasa: Uda bantu Melayu realisasi impian"