Rencana Pengarang
DEMONSTRASI di jalan-jalan di Pakistan, yang sudah mengorbankan kira-kira 200 penduduk awam, akhirnya memaksa Presiden Pervez Musharraf untuk membubarkan Parlimen seterusnya memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum sebelum 9 Januari tahun depan.
Dalam hal ini kita percaya, keengganan atau kedegilan Pervez boleh sahaja bermakna lebih ramai jiwa tidak bersalah bakal melayang.
Dalam serangan pengebom berani mati pada 18 Oktober lalu, seramai 145 orang maut dalam perarakan menyambut kepulangan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto, selepas lapan tahun dalam buangan politik di Britain.
Puak-puak ekstrem nampaknya telah menggunakan peluang itu untuk melakukan kempen pembunuhan paling berdarah tahun ini di Pakistan. Maka, kesediaan Pervez meneruskan rancangan demokrasi di Pakistan wajar dipuji, walaupun beliau telah meletakkan seluruh Pakistan di bawah pemerintahan undang-undang darurat.
Tanpa undang-undang darurat, kemungkinan besar Pakistan boleh terjerumus terus ke dalam keadaan anarki di mana puak-puak radikal dan militan akan dapat terus memporak-perandakan negara dan kerajaan.
Lihat bagaimana puak-puak radikal dan militan di Iraq telah berjaya menghuru-harakan negara Teluk tersebut, walaupun setelah pilihan raya umum yang telus dan terbuka berjaya dikendalikan oleh pihak-pihak Barat.
Menganjurkan satu proses pemilihan yang telus dan terbuka di peringkat kebangsaan dan wilayah belum tentu dapat menjamin keamanan serta kestabilan jika pihak-pihak ekstrem dibenarkan terus bergerak tanpa sekatan.
Sehubungan itu, kemungkinan Pervez melihat keperluan untuk menghentikan demokrasi jalanan, yang dianjur oleh pihak-pihak yang menentangnya, sebaliknya menggesa mereka kembali kepada demokrasi berparlimen.
Presiden Pakistan itu tentu sedar puak-puak radikal dan militan secara terancang menggunakan demonstrasi dan tunjuk perasaan sebagai satu ruang untuk terus meletak negara dan kerajaan dalam suasana kucar-kacir, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mengukuhkan cengkaman serta pengaruh di kawasan sempadan.
Keghairahan Benazir dan parti pendukung bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif menganjur demonstrasi di jalan-jalan patut dibidas kerana ia akan menyukarkan lagi keadaan yang sudah pun menjadi bertambah buruk.
Sepatutnya, ketiga-tiga pemimpin berpengaruh di Pakistan itu bersatu tenaga (walaupun berbeza pendapat) dalam memastikan pilihan raya yang bakal diadakan berjalan dalam suasana aman dan tenang demi keselamatan rakyat jelata.
Dalam pada itu, ketika ditanya mana yang lebih penting – demokrasi atau kestabilan, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew telah dipetik sebagai berkata, Singapura lebih suka mengembirakan para pelabur yang mahukan sebuah negara yang stabil untuk melabur daripada menyukakan hati para penyokong demokrasi liberal kerana ia tidak menguntungkan sesiapa pun.
0 Komentar untuk "BIJAK PILIH ANTARA DEMOKRASI DAN KESTABILAN"