Tindakan ahli politik Itali hina rumah ibadat dikecam penduduk, Datuk Bandar Padua
ROME: Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Itali yang kini menganggotai Parti Liga Utara (LN) berhaluan kanan, Mariella Mazzetto, mengundang kritikan pedas selepas melancarkan perarakan babi di tapak sebuah masjid yang akan dibina di bandar raya Padua.
"Tindak tanduk ini tidak diterima di Padua dan saya percaya ramai penduduk berasa malu. Sekurang-kurangnya 7,000 penduduk dari pelbagai negara Islam tinggal di sini dan kami hidup dengan aman.
"Perbuatannya itu bertentangan (dengan usaha ke arah keamanan)," kata Datuk Bandar Padua, Flavio Zanonato, dalam satu kenyataan yang disiarkan sebuah akhbar tempatan.
Katanya, perarakan itu mengancam keamanan yang wujud antara penduduk Islam dan bukan Islam di Padua.
Mazzetto, bekas Timbalan Menteri Pendidikan pada 1994 hingga 1995 ketika pemerintahan kerajaan berhaluan kanan, Silvio Berlusconi, bersama-sama 10 anggota LN membawa babi bersiar-siar di tapak yang dicadangkan menjadi lokasi pembinaan sebuah masjid.
"Kami 'dirahmati' dengan hakikat pihak berkuasa Padua mahu berpindah bagi masjid itu. Ia persoalan mempertahankan identiti Kristian Itali," katanya.
Umat Islam diharamkan memakan babi dan keturunannya.
September lalu, Senator Roberto Calderoli dari LN menaikkan kemarahan umat Islam dengan desakan mengadakan bantahan 'Hari Babi' sebagai membantah pembinaan masjid di Bologna.
Tahun lalu, penunjuk perasaan meninggalkan kepala babi di kawasan pembinaan masjid di bandar raya Tuscany.
Walaupun memakai garis sama anti-masjid, anggota parti Mazzetto sebaliknya menolak cara dia membantah pembinaan masjid baru di Padua itu.
Ketegangan memuncak berulang kali antara komuniti di negara Katolik itu berhubung tapak masjid baru untuk memenuhi keperluan penduduk Islam yang semakin bertambah.
Penduduk Islam Itali berjumlah kira-kira 1.2 juta termasuk 20,000 rakyat asal negara itu yang memeluk Islam, menurut anggaran tidak rasmi. � Agensi
0 Komentar untuk "Tapak masjid dicemari babi"