MANILA 12 Nov. – Kumpulan-kumpulan puak kiri Filipina hari ini memfailkan satu usul pendakwaan terhadap Presiden Gloria Macapagal Arroyo, dengan menuduhnya menerima rasuah dan mencabuli hak asasi manusia.
Aduan itu bagaimanapun, dijangka ditolak oleh Kongres.
Kumpulan puak kiri berkenaan dilaporkan berharap agar perpecahan di kalangan sekutu Arroyo di Dewan Perwakilan, akan mendorong mereka berpaling tadah kepada pembangkang.
Keadaan itu penting dalam usaha mendapatkan undi secukupnya untuk mendakwa Presiden tersebut.
“Usul pendakwaan ini bertujuan membongkarkan jenayah yang dilakukan oleh salah seorang Presiden paling kejam dan korup dalam sejarah Filipina,” tegas dokumen 110 muka surat tersebut.
Arroyo telah beberapa kali menghadapi kekecohan politik, skandal rasuah dan juga tentangan hebat sejak 2001, apabila mengambil alih kuasa selepas mengetuai pemberontakan “kuasa rakyat” yang membawa kepada penyingkiran bekas Presiden Joseph Estrada.
Arroyo juga telah menumpaskan sekurang-kurangnya tiga cubaan merampas kuasa dan masih mengekalkan popupariti di Kongres walaupun terdapat banyak cubaan untuk menyingkirkannya.
– AP
0 Komentar untuk "Pembangkang fail dakwaan ke atas Arroyo"