CANBERRA 12 Nov. – Pihak berkuasa Australia hari ini menarik balik tuduhan keganasan ke atas seorang pelajar perubatan di Sydney dan seorang hakim yang mengkritik polis dan ejen perisikan kerana mengambil “tindakan yang salah” dalam kes itu.
Pelajar perubatan yang dikenali sebagai Izhar Ul-Haque, 24, sebelum ini didakwa menerima latihan dari kumpulan Lashkar-e-Taiba di Pakistan, yang disenaraikan sebagai pengganas di Australia.
Kes itu digugurkan selepas mahkamah mengeluarkan perintah bahawa soal siasat polis ke atas Izhar sebagai “tidak boleh diterima”.
Hakim Mahkamah Agung New South Wales, Michael Adams berkata, pegawai perisikan telah menculik dan menahan Izhar secara tidak sah semasa siasatan dilakukan.
“Ia adalah gangguan melampau daripada ejen perisikan terhadap hak guaman tertuduh sebagai warganegara, hak yang masih dimilikinya sekalipun dia disyaki melakukan kesalahan jenayah atau tidak, sama ada dia beragama Islam ataupun tidak,” jelas Adams lagi.
Perkembangan terbaru ini merupakan satu tamparan kepada pendirian tegas Australia terhadap keselamatan nasional selepas pihak pendakwa raya pada Julai lalu menarik balik dakwaan terhadap seorang doktor India setelah melakukan kesilapan besar dengan mendakwanya menyokong pengganas.
Izhar tidak memberikan sebarang komen mengenai perkembangan yang berlaku hari ini tetapi peguam belanya, Adam Houda menjelaskan bahawa kesilapan telah berlaku sejak awal lagi.
“Sejak dari mula, apa yang berlaku hari ini hanyalah ‘perbicaraan wayang’ yang direka untuk memberi justifikasi kepada berbilion-bilion dolar yang dibelanjakan dalam perang antikeganasan.
“Ia adalah satu pendakwaan melulu seperti yang berlaku sebelum ini,” ujar Adam.
– Reuters
0 Komentar untuk "Dakwaan pengganas: Australia silap lagi"