Pendapat
DI mana ada gula, di situ ada semut. Satu kayu ukur mudah melambangkan kemakmuran sesebuah negara. Kemakmuran sesebuah negara itu jelas tergambar apabila kerancakan ekonominya berjaya menarik minat ramai pekerja luar untuk datang bekerja di negara tersebut.
Hebatnya Malaysia, kemakmuran, kestabilan dan keamanannya memberi ekonomi yang melimpah-ruah, sehingga ramai pekerja asing berduyun-duyun datang ‘menggerumuni’.
Malangnya, kehadiran pekerja-pekerja asing ini sedikit sebanyak kurang disenangi apabila mereka sering dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial. Kehadiran mereka juga dilihat semakin merentap penguasaan ekonomi jalanan.
Ini dapat dilihat di pasar harian dan pasar malam, yang kalau kita bersetuju, dahulunya dimiliki oleh rakyat tempatan. Dan lihatlah kini, ia semakin hampir menjadi milik mereka. Bagaimanapun, tidak semua tempat senario sebegitu dapat dilihat.
Selain itu, mereka juga dikatakan tidak bersikap profesional dalam melaksanakan tugas. Kerja yang dibuat didakwa kurang berkualiti kerana dikatakan kurangnya semangat nasionalisme dalam diri pekerja asing ini.
Menyorot kepada semua ini, menuding jari kepada pekerja asing atas segala permasalahan yang timbul adalah satu lumrah reaksi spontan kita.
Namun seperkara perlu diingatkan ialah, lebih penting di sini untuk kita menilai kembali bagaimana polisi atau strategi kita dalam menangani kemasukan mereka ke Malaysia.
Hakikatnya, sebagai sebuah negara yang pesat membangun, kebergantungan terhadap khidmat pekerja asing adalah merupakan satu keperluan.
Justeru, persoalan pokok di sini seharusnya lebih menjurus kepada isu kualiti pekerja-pekerja asing yang dibawa masuk ke Malaysia.
Sewajarnya matlamat kita ialah untuk menarik mereka yang berkemahiran tinggi dan profesional untuk datang dan bekerja di Malaysia.
Strategi ini sudah lama digunakan jiran sebelah selatan Semenanjung Malaysia dalam membantu pembangunannya.
Sebaliknya di Malaysia, pekerja asing berkemahiran rendah lebih ramai datang bekerja di sini.
Mungkin persoalan gaji masih menjadi punca utama mengapa ramai golongan profesional asing kurang berminat menyumbang bakti di Malaysia.
Persoalan gaji yang rendah juga yang menjadikan pekerja asing yang bekerja di sektor bawahan tersepit hidup mereka, lantas terpaksa melakukan jenayah atas alasan kelangsungan hidup.
Dan jika kita serius untuk membendung kebergantungan terhadap pekerja asing yang semestinya memiliki kemahiran yang rendah, bersediakah pula kita untuk menerima polisi gaji minimum?
Ini kerana, rakyat tempatan sendiri enggan bekerja di sektor tertentu berikutan isu upah atau gaji yang dikatakan tidak setimpal atau kurang memuaskan.
Sebarang langkah drastik mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing pasti akan menjejaskan beberapa sektor ekonomi negara. Apakah alternatif yang kita ada?
Penyelesaian kepada masalah ini memerlukan perancangan jangka panjang. Ia perlu juga diakui, permasalahan ini bukan semudah membalikkan tapak tangan.
Selain itu, persoalan sempadan negara yang senang bocor juga perlu diberi perhatian serius bagi membendung kebanjiran pekerja asing tanpa izin yang semakin menggusarkan.
Perlu kita ingat bahawa semakin ramai pekerja asing menghuni di sini, daya tarikan kepada rakan mereka yang lain untuk datang akan semakin menarik.
Semua ini menuntut kerjasama pelbagai pihak untuk menjayakannya.
– MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD, University of Tasmania, Australia.
0 Komentar untuk "Strategi elak bergantung pada tenaga asing"