PPP dijangka menang pilihan raya Thailand - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PPP dijangka menang pilihan raya Thailand

BANGKOK 12 Nov. – Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang diambil alih oleh para pengikut bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dijangka memenangi pilihan raya umum Thailand pada 23 Disember ini tetapi tidak akan menguasai majoriti.

Tinjauan bebas oleh Universiti Suan Dusit Rajabhat menunjukkan, PPP akan memenangi 180 daripada 480 kerusi Parlimen yang dipertandingkan manakala pesaing utamanya, Parti Demokrat dijangka memperoleh 160 kerusi.

Tinjauan yang disiarkan semalam itu mendapati, 38.6 peratus daripada 4,410 responden menyokong PPP manakala 32.3 peratus lagi bercadang untuk mengundi Demokrat, iaitu parti politik tertua di Thailand.

Keputusan tinjauan itu selaras dengan jangkaan umum selepas Parti Thai Rak Thai (TRT) pimpinan Thaksin dibubarkan dan kebanyakan pemimpinnya diharamkan daripada politik selama lima tahun kerana bersalah melakukan penipuan dalam pilihan raya.

PPP dan Demokrat akan bertarung untuk menjadi parti terbesar yang akan berada dalam kedudukan terbaik untuk membentuk sebuah kerajaan campuran yang lemah di bawah perlembagaan baru bertujuan menghalang sesebuah parti besar mengambil alih kuasa.

PPP, sebuah parti pinggiran yang diambil alih oleh penyokong Thaksin selepas TRT dibubarkan berikutan rampasan kuasa September 2006, dijangka terus mendapat sokongan daripada pengundi di kubu kuat Thaksin di kawasan luar bandar.

Demokrat yang disokong oleh rakyat kelas menengah dijangka membolot 22 daripada 36 kerusi di Bangkok pada Disember ini manakala PPP meraih 12 kerusi, menurut tinjauan itu.

Bagi membentuk kerajaan, PPP dan Demokrat masing-masing akan memerlukan sokongan parti Chart Thai (Bangsa Thai) atau Parti Matchitma Thipataya (Demokrasi Jalan Tengah).

Sokongan parti-parti lebih kecil juga dijangka sangat penting.

– Reuters

0 Komentar untuk "PPP dijangka menang pilihan raya Thailand"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI