Mengangkasa mentaliti kelas pertama - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Mengangkasa mentaliti kelas pertama

Oleh ABDUL RAHIM ANUAR

PENGISIAN agenda Melayu dan aspirasi negara bagi 50 tahun akan datang sehingga 2057 perlu diperincikan dengan dasar negara yang baru.

Sesuatu dasar kerajaan adalah pengisytiharan dan penterjemahan hasrat dan nilai kerajaan terhadap sesuatu fenomena, perkara, isu, keadaan atau masalah di dalam masyarakat. Tujuannya ialah untuk membantu negara mengecapi keselamatan negara, perpaduan dan kestabilan negara, dan kesejahteraan sosial dan ekonomi rakyat dan masyarakat.

Pemetaan dasar pembangunan kerajaan bagi 50 tahun akan datang mesti jelas dan teratur. Laluan pembangunan negara diatur oleh Rancangan Rangka Jangka Panjang (OPP), sepanjang 10 tahun dan lebih.

Dasar dan strategi OPP itu diterjemahkan secara khusus pula dalam dasar berjangka sederhana iaitu bertempoh lima tahun seperti Rancangan Malaysia Lima Tahun (RML).

Dasar pembangunan RML disaring secara terperinci di bawah bajet tahunan dengan mengambil kira isu semasa di peringkat domestik dan global. Kerajaan juga melaksanakan dasar pembangunan mengikut keperluan semasa dan kepentingan sektoral. Sekadar contoh, dasar itu ialah Pelan Pembangunan Koridor (WPI, NCER dan ECER), Pelan Induk Perindustrian, Dasar Pertanian Negara. Sehingga kini, sekurang- kurangnya terdapat 30 dasar sektoral yang telah digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan.

Pertumbuhan

Sejak 1970, tiga OPP telah dilaksanakan dengan OPP 1 yang bertemakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bermula 1971 hingga 1990. Misi DEB ialah pertumbuhan dengan ekuiti dengan tumpuan pada etnik Melayu dan bumiputera lain. DEB sering mendapat kritikan, khususnya dari segi agenda Melayu.

Ada yang mengatakan ia menghambat pertumbuhan ekonomi. Pandangan lain, ia menjejaskan kepentingan hak ekonomi etnik lain. Tidak kurang, ia membantu etnik Melayu dan bumiputera lain dalam aktiviti ekonomi negara. DEB dikatakan membantu etnik lain menikmati kesan limpahan daripada aktiviti itu. Sehingga kini kejayaan dan kelemahan DEB masih diperdebatkan.

Apabila tamatnya tempoh pelaksanaan DEB, ia diikuti oleh OPP 2 yang bertema Dasar Pembangunan Nasional (1991- 2000) dengan misi pembangunan berimbang. Semangat DEB masih dikekalkan tetapi disertai dengan elemen meritokrasi sebagai kompromi pada tuntutan etnik bukan bumiputera lain. OPP 3 kemudiannya mengangkat tema Dasar Wawasan Negara (2001-2020) dengan misi membangunkan negara yang berdaya tahan dan berdaya saing. Prinsip DEB dan meritokrasi disambung dalam Dasar Wawasan Negara.

OPP yang berjangka 40 tahun (1971- 2010) menumpu pada pencapaian status ‘negara maju’ menjelang tahun 2020. Pembangunan infrastruktur diperhebatkan sehingga mendapat pengiktirafan kelas pertama.

Sebaliknya, pembangunan infrastruktur tidak sejajar dengan pembangunan mentaliti masyarakatnya yang kelas ketiga. OPP 3 yang tinggal beberapa tahun lagi perlu disambung dengan OPP yang baru yang mengangkasakan mentaliti masyarakat ke kelas pertama dan mengelak daripada berlakunya pembaziran sumber negara menerusi gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

* PROF. MADYA ABDUL RAHIM ANUAR ialah pensyarah di Fakulti Ekonomi, Universiti Utara Malaysia (UUM).

0 Komentar untuk "Mengangkasa mentaliti kelas pertama"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI