Mahmoud Ahmadinejad |
Rakyat Iran dedah program tenaga nuklear kepada Barat
TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam mengancam mendedahkan 'pengkhianat' yang menurut beliau menekan kerajaannya dalam program nuklear negara itu, lapor agensi berita Iran, IRNA.
"Jika pihak dalaman tidak menghentikan tekanan terhadap isu nuklear ini, mereka akan didedahkan kepada rakyat Iran," kata Ahmadinejad di Universiti Elm-o-Sanat, (Sains dan Industri) Teheran.
"Mereka adalah pengkhianat dan seperti ikrar yang sudah diberi kepada rakyat, kami tidak akan berpatah balik dan akan sentiasa mengawasi keadaan ini," kata beliau kepada pelajar.
Golongan berpendirian sederhana di Iran dilaporkan mengkritik Ahmadinejad berikutan cara pengendalian program nuklear, dengan bekas presiden Akbar Hashemi Rafsanjani dan Mohammad Khatami memberi amaran mengenai ancaman serius yang dihadapi negara itu.
Agensi berita Fars memetik, Ahmadinejad sebagai berkata kerajaan berada di bawah tekanan rakyat yang menemui warga asing setiap minggu dan memberitahu musuh mengapa mereka menolak dan melengah-lengahkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Iran kini menghadapi dua sekatan Majlis Keselamatan PBB kerana enggan menghentikan program pengkayaan uraniumnya, proses yang diperlukan untuk menjana bahan api nuklear.
Teheran menafikan program nuklearnya bertujuan membangunkan bom nuklear dan bertegas ia dilakukan untuk tujuan keamanan.
Beliau turut menuduh pengkritiknya cuba masuk campur bagi pihak mereka yang disyaki sebagai pengintip.
"Iran tidak akan membenarkan kelompok minoriti menyelamatkan mereka yang bersalah dengan menggunakan pengaruh politik dan ekonomi," katanya.
"Pada masa ini mereka cuba memberi tekanan kepada hakim yang membicara satu kes intipan agar pengintip dibebaskan," katanya tanpa menyebut nama individu.
Moussavian, sekutu rapat Rafsanjani, dituduh membocorkan maklumat kepada kedutaan asing.
Moussavian kini timbalan ketua institut penyelidikan diketuai Hassan Rowhani, yang sebelum ini adalah ketua perunding nuklear di bawah bekas presiden Mohamed Khatami. � AFP
0 Komentar untuk "Ahmadinejad akui ada musuh dalam selimut"