APABILA Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) menugaskan armada perangnya untuk latihan, aspek keselamatan kapal-kapal pengangkut pesawat diberikan kawalan keselamatan yang tinggi.
Sekurang-kurangnya 12 buah kapal perang menyediakan kawalan fizikal tatkala kepintaran teknikal kuasa besar tentera di dunia ini menyediakan perisai ghaib bagi mengesan dan menghalang sebarang pencerobohan. Itulah teorinya .
Namun kini, para panglima tentera AS telah tergamam dengan kemunculan sebuah kapal selam China di tengah lautan Pasifik tanpa dapat dikesan semasa menjalani latihan, iaitu muncul berhampiran dengan USS Kitty Hawk, sebuah kapal pengangkut super sepanjang 300 meter dengan 4,500 anggota di atasnya.
Semasa ia muncul di permukaan air, kapal selam penyerang Song Class sepanjang 50 meter berkuasa diesel ini telah belayar dalam jarak yang berupaya melancarkan serangan torpedo atau peluru berpandu ke atas kapal pengangkut itu.
Menurut seorang pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), insiden itu menyebabkan Tentera Laut AS kebingungan. AS tidak menjangka armada kapal selam China itu mampu sampai ke satu tahap canggih selain berupaya memberi ancaman.
Seorang tokoh NATO menyatakan, kesannya sama seperti “kejutan besar apabila Rusia melancarkan Sputnik” – iaitu merujuk kepada pelancaran satelit pertama ke orbit oleh Kesatuan Soviet pada 1957 yang menjadi pemula kepada era angkasa lepas. Insiden yang berlaku di tengah lautan di antara selatan Jepun dan Taiwan sebenarnya membawa aib kepada Pentagon.
Perlindungan
Kapal selam China yang bersendirian ini telah berjaya melepasi kawalan sekurang- kurangnya 12 kapal perang AS yang sepatutnya memberikan perlindungan kepada kapal pengangkut itu daripada pesawat atau kapal selam musuh.
Malah sistem pertahanan AS yang turut meliputi sekurang-kurangnya dua kapal selam itu telah gagal mengesan kapal selam China itu.
Menurut sumber NATO, kejadian tersebut memaksa perlunya difikirkan semula secara serius strategi Tentera Laut AS dan NATO tatkala para komander tentera mempertimbangkan semula tahap ancaman yang mungkin dari kapal-kapal selam China.
Insiden itu turut mencetuskan ketegangan diplomatik dengan para diplomat AS menuntut penjelasan mengapa kapal selam tersebut “membayangi” armada AS ketika Beijing menganggap ia sebagai tidak disengajakan.
Para penganalisis percaya bahawa Beijing telah penghantar peringatan kepada AS dan Barat bagi membuktikan kemampuan kuasa ketenteraannya yang mampu mengancam kuasa-kuasa asing yang cuba campur tangan dalam urusan dalaman negara itu.
Armada kapal selam Tentera Laut Pembebasan Rakyat dipercayai diperkuatkan dengan sekurang-kurangnya dua kapal selam pelancar peluru berpandu kuasa nuklear.
Kapal selam penyerang Song Class miliknya yang berjumlah 13 buah amat senyap dan sukar untuk dikesan jika ia bergerak menggunakan motor elektrik.
Editor Jane’s Fighting Ships, Laksamana Pertama Stephen Saunders yang juga bekas pakar kapal selam Tentera Laut Diraja Britain berkata, AS secara relatif memberikan perhatian yang sedikit terhadap taktik peperangan selepas tamatnya Perang Dingin.
“Insiden ini sebenarnya satu kejutan kepada AS supaya ia membuka mata.
“Ia boleh dikaitkan dengan apa yang kita lihat pada tindak-tanduk sebenar China yang mahu menghalang AS daripada campur tangan atau beroperasi di kawasannya, terutama dalam hubungan dengan Taiwan,” tambahnya.
Januari lalu, China buat pertama kalinya telah berjaya menjalankan ujian peluru berpandu dengan menembak jatuh satelit di orbit.
– Agensi
0 Komentar untuk "Kapal selam China aibkan Pentagon"