Daripada NORAINI ABD. RAZAK (The Hague, Belanda)
THE Hague atau lebih dikenali sebagai Den Haag merupakan bandar raya ketiga terbesar di Belanda selepas Amsterdam dan Rotterdam dengan jumlah penduduk kira- kira 480,000 orang di kawasan seluas 100 kilometer persegi.
Bandar raya ini amat tenang dan tersusun rapi. Menariknya mengenai The Hague ialah usaha pihak berkuasa di sini untuk menjadikan bandar raya itu sebagai ‘induk undang-undang dunia’ dan bandar raya antarabangsa bagi ‘keadilan dan kedamaian’.
Sememangnya imej itu amat bertepatan dengan keunikan The Hague yang kaya dengan dengan legasi polisi-polisi antarabangsa. Bandar raya itu menjadi ‘rumah’ bagi 150 pertubuhan berasaskan undang-undang.
Tidak jauh dari hotel kediaman penulis, terletaknya Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY) – tempat bekas Perdana Menteri Slobodan Milosevic dibicarakan atas tuduhan melakukan jenayah perang.
Begitu juga dengan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tempat berlangsungnya kes tuntutan bertindih kedaulatan Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) juga terletak di kota ini cuma dari sudut undang-undang serta fungsi, ia bebas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berbanding dengan ICJ.
Bagaimanapun Statut Rome memberi peranan yang jelas kepada PBB menerusi Majlis Keselamatannya untuk merujuk kepada beberapa keadaan di mana ICC tidak mempunyai bidang kuasa.
Selain itu, terdapat pelbagai institusi lain yang menjadikan The Hague sebagai rujukan dunia setiap kali memperkatakan perihal penyelesaian pertikaian antarabangsa baik yang bersifat sivil mahupun jenayah.
Kesemuanya itu bermula pada tahun 1899 apabila Persidangan Keamanan Dunia yang pertama berlangsung di The Hague diikuti dengan persidangan yang serupa lapan tahun selepas itu.
Hasil daripada pertemuan itu ialah tertubuhnya Mahkamah Tetap bagi Arbitrasi (PCA). Seorang jutawan berbangsa Amerika-Scotland kemudiannya menyediakan dana untuk membina Peace Palace di PCA.
Selepas penubuhan Liga Negara-Negara, The Hague menjadi tempat bagi Mahkamah Tetap Keadilan Antarabangsa yang kemudiannya dikenali sebagai ICJ selepas Perang Dunia Kedua.
Kedutaan
Penubuhan Tribunal Tuntutan Iran-AS (1981), ICTY (1993) dan ICC di bandar raya ini mengukuhkan lagi peranannya sebagai pusat arbitrasi undang-undang antarabangsa.
Selain menjadi ‘rumah perundangan’, bandar raya ini juga menjadi rumah bagi kesemua kedutaan asing. Kedutaan Malaysia juga terletak di sini, manakala kediaman Duta, Datuk Noor Farida Ariffin mengambil masa setengah jam memandu daripada ICJ.
Biarpun Amsterdam dipilih menjadi ibu negara Belanda namun hakikatnya The Hague menjadi nadi pusat pentadbirannya. Semua kementerian dan Mahkamah Agungnya berpusat di sini. Tradisi ini diwarisi sejak pemerintahan Belanda berabad lamanya biarpun kemunculan bandar-bandar lain yang lebih besar dan berkuasa seperti Leiden, Delft dan Dordrecht.
Seperti di Perancis dan Jepun, penduduk di sini amat berbangga dengan bahasa kebangsaan mereka. Kesemua petunjuk arah jalan, papan tanda, nama-nama bangunan, tanda di dalam pengangkutan awam adalah dalam bahasa Belanda.
Tiada dwibahasa di The Hague. Di Kuala Lumpur, pelancong asing tidak mempunyai masalah ketika menggunakan pengangkutan awam seperti LRT kerana setiap pemberitahuan akan dibuat dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Begitu juga dengan arahan yang dipaparkan dalam LRT selain iklan-iklan yang sarat menggunakan bahasa asing.
Tetapi tidak di sini. Semuanya menggunakan bahasa ibunda mereka menyebabkan orang luar terpaksa mengagak sendiri maksud di sebalik bait-bait yang tertera di papan tanda ataupun di dalam pengangkutan awam.
Bukan penduduk di sini tidak pandai berbahasa Inggeris malah ia menjadi salah satu subjek wajib dipelajari di sekolah tetapi mereka sentiasa memberi keutamaan kepada bahasa ibunda ketika berurusan biarpun dengan wajah yang dilihat amat jelas bukan orang Belanda.
Perkataan-perkataan Indonesia yang sering kita dengar seperti kantor (ejaan Belandanya kantoor) – pejabat – tertulis di merata tempat. Sememangnya warga Indonesia ramai di sini. Sekitar Mei/Jun dimasukkan dalam kalendar acara di The Hague ialah Pasar Malam Besar (ditulis begitu). Ia adalah festival tahunan yang memfokuskan kepada kebudayaan Indonesia.
Kesempatan mengunjungi Restoran Geruda di Sentrum memperlihatkan bagaimana bangsa Indonesia biarpun menjadi rakyat Belanda amat memelihara seni budaya serta makanan mereka.
Makanan yang disajikan tidak diubah mengikut selera tempatan sebaliknya mengekalkan ciri-ciri asli selain pekerjanya mengenakan pakaian tradisional yang cukup membuktikan bahawa mereka berbangga dengan asal-usul serta keturunan mereka.
Sukarnya untuk melihat motosikal di sini. Rata-rata penduduk di The Hague menjadikan basikal sebagai pengangkutan harian baik ke tempat kerja mahupun ke taman-taman. Malah bagi yang berkeluarga basikal dilengkapi dengan tempat membawa bayi.
Lorong basikal menyusuri semua jalan raya utama di sini. Malah saiznya lebih lebar daripada lorong motosikal di negara kita. Berhati-hati ketika mendekati lorong ini kerana penduduk di sini menunggang basikal umpama motosikal dengan kelajuan menyamai merempit.
Jika di Malaysia, gelagat pemandu dan penunggang motosikal menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan adalah pandangan biasa maka di The Hague, remajanya galak berbuat demikian semasa menunggang basikal.
Kehidupan malam di sini juga agak malap. Matahari yang terbenam pukul 5 petang menjadikan pemandangan malam amat panjang apatah lagi matahari hanya terbit ketika menghampiri pukul 8 pagi.
Tepat pukul 5 petang kedai-kedai ditutup. Ada satu atau dua pasar raya yang melanjutkan waktu perniagaan tetapi tidak melebihi pukul 7 petang menjadikan suasana malam di sini agak mati dan sunyi sepi. Mungkin itu juga menjadi salah satu faktor kadar jenayah yang rendah di bandar ini.
Biarpun saiznya agak kecil, namun The Hague mempunyai tarikannya tersendiri iaitu pantai peranginan di Scheveningen yang terletak di barat laut bandar tersebut. Pantai itu menerima kira-kira 10 juta pelancong setiap tahun menjadikannya destinasi popular bagi sesiapa sahaja yang mengunjungi The Hague.
0 Komentar untuk "Keistimewaan The Hague"