Pendapat
KETUA Penolong Pengarah Unit Psikometri Sektor Pengurusan Dasar dan Perkembangan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Dr. Jamil Adimin dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), masing-masing akan ditukar nama kepada Pentaksiran Sekolah Rendah (PSR) dan Pentaksiran Sekolah Menengah Rendah (PSMR) mulai tahun 2011.
Seluruh warga pendidik menyambut baik langkah bijak ini yang telah dilakukan atas kehendak awam dan sejajar pula dengan pelaksanaan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).
Berdasarkan SPPK, peperiksaan-peperiksaan utama itu tidak lagi menekankan kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kecemerlangan sahsiah, kokurikulum, jasmani dan ujian psikometrik.
Umum mengetahui bahawa sejak sekian lama, pendidikan yang berorientasikan peperiksaan telah sebati dalam jiwa pelajar dan minda guru.
Untuk melahirkan generasi ulul albab, kecemerlangan berasaskan catatan gred pada slip peperiksaan sudah tidak relevan lagi.
Melalui lima pentaksiran yang akan dibuat oleh pihak sekolah iaitu pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, peperiksaan pusat, pentaksiran aktiviti, jasmani dan kokurikulum serta ujian psikometrik sudah tentu penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan lebih maksimum.
Ini kerana ia menjadi salah satu penilaian bagi menentukan pencapaian keseluruhan peperiksaan.
Pada pendapat saya, keputusan peperiksaan yang diperoleh oleh seseorang pelajar tidak menggambarkan kecerdikan dan kreativiti mereka yang sebenar.
Ini kerana perolehan markah hanya datang daripada proses pembelajaran mekanikal yang banyak menjurus kepada kekuatan mengingat fakta dan data semata-mata.
Melalui pendekatan baru PSR dan PMSR ini, kita melihat penglibatan para guru menjadi lebih besar kerana bakal melaksanakan pentaksiran di peringkat sekolah bagi mewujudkan skala keperluan dan pembangunan individu yang mempunyai kemahiran berfikiran kreatif dan intelektual meliputi bidang akademik, kokurikulum, kepimpinan, sahsiah dan kecenderungan untuk dinilai bersama-sama peperiksaan utama.
Sesuai dengan perkembangan terkini pendidikan juga, semua pihak perlu menyokong langkah LPM ini yang tidak akan lagi mengendalikan sistem penilaian yang berorientasikan peperiksaan semata-mata.
Ini kerana PSR dan PSMR bakal melengkapkan individu pelajar dengan jenis-jenis tugasan termasuk kerja kursus, projek dan ujian lisan.
Biarpun natijah yang diperoleh melalui sistem sekarang telah mampu merubah tahap pencapaian pendidikan negara, kesannya kepada yang tidak ‘mampu’ untuk sampai ke aras yang dikehendaki agak terbatas.
Yang bijak akan terus dibestari, sebaliknya yang lemah agak terhad peluang mereka sedangkan keadilan menuntut ilmu wajar diberi tanpa tempoh masa dan situasi.
Dengan hakikat bahawa setiap individu dilahirkan dengan kemampuan yang berbeza, maka pendekatan dan metod penilaian juga sudah sewajarnya memenuhi keperluan setiap pelajar.
Dengan beberapa penaksiran lain yang akan dibuat seperti aktiviti jasmani, kokurikulum dan ujian psikometrik, kita percaya reformasi peperiksaan menjelang 2011 ini bakal menyaksikan satu lagi era kemapanan dan kemantapan sistem pendidikan ke arah yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan senario hidup semasa.
– WAN MARZUKI WAN RAMLI,
Pasir Mas, Kelantan.
0 Komentar untuk "PSR, PSMR ke arah pendidikan lebih fleksibel"