Penyamaran pegawai JPJ mampu didik pengguna jalan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Penyamaran pegawai JPJ mampu didik pengguna jalan

Oleh Jami'ah Shukri

"HATI-HATI". Itulah bunyi tulisan nota bersaiz A4 menggunakan huruf potongan keratan akhbar bersama sebutir peluru hidup jenis .38 dihantar kepada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perlis, Zahari Awang Senik, baru-baru ini atas tindakannya menyamar sebagai penumpang dalam operasi membanteras teksi haram dari Thailand.

Notanya pendek, tetapi maksudnya mendalam kerana berbaur ancaman terhadap keselamatan dirinya. Taktik penyamaran ketika menjalankan aktiviti penguatkuasaan membanteras serta mengesan pelbagai kesalahan melanggar undang-undang adalah antara kaedah berkesan untuk memerangkap atau menangkap pesalah.

Bagi pasukan keselamatan, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi penguatkuasa lain seperti JPJ dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kastam Diraja Malaysia (PDRM), ugutan seperti itu termasuk ancaman bunuh, bukan perkara yang luar biasa.

Ia bagaikan asam garam yang terpaksa mereka tempoh. Malah, ancaman seperti itu turut ditujukan kepada ahli keluarga mereka. Bukan menjadi sesuatu yang luar dugaan juga apabila ada anggota agensi penguatkuasa diserang atau dilanggar lari ketika menjalankan operasi.

Nota diterima Zahari itu sudah jelas berbentuk amaran yang boleh mengancam keselamatan beliau. Ugutan seumpama itu yang berbaur ancaman bunuh tidak seharusnya dipandang ringan. Tindakan segera wajar dilakukan dengan membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan.

Tindakan menyamar yang dilakukan Zahari sehingga menjadi bahan berita muka satu akhbar arus perdana, penting sebagai salah satu strategi secara senyap yang dapat membantu melancarkan sebarang kegiatan untuk memburu pesalah serta menyelesaikan pelbagai kesalahan.

Kaedah penyamaran kerap digunakan oleh JPJ untuk kes tertentu. Pada masa ini, penyamaran itu digunakan untuk mengesan pesalah lalu lintas kerana ia lebih berkesan mendidik pengguna jalan raya berbanding pendekatan menggunakan sekatan jalan raya.

Menerusi Ops Bersih III dilancarkan sejak 4 November lalu, misalnya, JPJ menggunakan kaedah penyamaran dengan merakam gambar pesalah lalu lintas menggunakan kamera. Pegawai dan anggota penguatkuasa melakukan rondaan dengan berpakaian awam serta menggunakan kenderaan awam sebaik mengesan pengguna jalan raya melakukan kesalahan.

Ketika menyamar, pegawai JPJ merakam gambar orang yang melakukan kesalahan lalu lintas yang dilaksanakan sejak Ops Sikap X111 ketika perayaan Aidilfitri, baru-baru ini dan terbukti berkesan apabila 754 kesalahan dikesan di Johor Bahru.

Isu ancaman dan ugutan dalam apa juga bentuknya juga kerap berlaku di agensi penguatkuasa lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) apabila acap kali beberapa operasi khususnya bagi membanteras kegiatan penjualan atau pengedaran video cakera padat (VCD) haram di premis tertentu oleh samseng atau tonto.

Lebih membimbangkan samseng itu sebilangannya diupah pihak berkepentingan semakin bermaharajalela dan berani memburu serta mengekori penguatkuasa tanpa mengira masa. Begitu juga dengan anggota polis dan agensi penguatkuasa lain yang melakukan penyamaran dengan motif tertentu bagi menyelesaikan kes tertentu.

Dalam keadaan itu, perkara penting bagi mengelak anggota penguatkuasa dibayangi bahaya maut ialah mereka perlu dibekalkan dengan senjata sekurang-kurangnya untuk dijadikan benteng mempertahankan diri sekiranya diancam samseng atau tonto yang sesetengahnya bertindak agresif.

Ketika ini, kebanyakan agensi penguatkuasa seperti JPJ dan KPDNHEP sudah dibekalkan senjata api, tetapi cuma membabitkan pegawai.

Bagi kes tertentu yang membabitkan serbuan di kawasan berisiko berhadapan bahaya penjenayah, anggota berkenaan perlu dilengkapi dengan peralatan serta kelengkapan tambahan seperti jaket kalis peluru. Kita juga tidak mahu kejadian dua anggota polis mati ditembak penjenayah dalam satu serbuan dadah di T/S 2 Taman Suria, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, bulan lalu, berulang.

Kita tidak mahu apabila sesuatu tragedi sehingga menyebabkan kematian anggota polis atau penguatkuasa lain, barulah menyedari pelbagai kekurangan yang wujud.

Ketika ini negara berdepan dengan kebanjiran pendatang asing tanpa izin yang sebilangannya terbabit dengan jenayah. Seharusnya perlu ada perancangan terhadap anggota penguatkuasa kerana mereka mungkin terdedah kepada bahaya yang tidak disangka.

Dalam pada itu, ugutan atau ancaman yang boleh menggugat keselamatan anggota keselamatan dan agensi penguat kuasa lain perlulah dilakukan secara terancang.
0 Komentar untuk "Penyamaran pegawai JPJ mampu didik pengguna jalan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI