BERI PELUANG PROTON KEMBALI KUKUHKAN KEDUDUKAN - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

BERI PELUANG PROTON KEMBALI KUKUHKAN KEDUDUKAN

Rencana Pengarang
WALAU apa pun pandangan terhadap keputusan penamatan rundingan antara Proton Holdings Bhd. dengan pembuat kereta Jerman, Volkswagen serta General Motors Corporation dari Amerika Syarikat, kita harus terima bahawa masa untuk menjalin hubungan strategik itu belum tiba.

Dalam hal ini, beri peluang kepada pihak Khazanah Nasional Bhd. dan pengurusan Proton untuk memilih masa dan mencari rakan kongsi yang sesuai dengan teliti sebelum betul-betul diikat dalam satu perjanjian.

Kalau diperhatikan prestasi Proton pada masa ini pun sudah menunjukkan perubahan. Hal ini bukan baru berlaku sekarang.

Sebelum rundingan untuk mencari rakan kongsi bermula, Proton sudah melakukan beberapa inisiatif untuk memperbaiki prestasinya sendiri.

Syarikat kereta nasional yang mengeluarkan kereta pertama Proton Saga pada 1985 itu sedang melaksanakan rancangan pemulihan selepas mengalami kemerosotan jualan bermula tahun 2001.

Oleh itu, jika kita mahu Proton meneruskan momentum untuk memulihkan syarikat itu, ada baik ia tidak diganggu dengan cerita pengambilalihan atau rundingan dengan syarikat gergasi kereta antarabangsa.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop kelmarin bagaikan memberi pengiktirafan bahawa rancangan pemulihan Proton ‘agak jelas’ dengan pencapaian yang positif.

Hal ini ditunjuk juga melalui peningkatan nilai saham Proton sebelum ini, peningkatan kualiti, penyepaduan rangkaian peniaga dan kecekapan operasi serta peluasan eksport model-model baru yang kembali mendapat sambutan.

Bukan sekadar untuk pasaran tempatan tetapi Proton terus memperkenalkan kereta jenama buatan Malaysia ke 24 pasaran luar negara.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah Proton pernah menguasai sebahagian besar pasaran jualan kereta di negara ini untuk tempoh yang lama sejak pertengahan 1980-an hingga akhir 1990-an.

Jadi Proton perlu diberi peluang yang fleksibel agar syarikat kereta nasional ini benar-benar pulih dan kembali kukuh.

Apa faedah kepada negara jika rundingan berakhir dengan termeterai perjanjian perkongsian ketika Proton belum pulih sepenuhnya.

Kesan terus yang boleh dijangkakan jika rakan kongsi diterima ialah kita tidak dapat lagi mengawal hala tuju Proton kerana ia mungkin sudah dikuasai oleh syarikat asing.

Namun, seperti dijelaskan oleh Nor Mohamed bahawa pintu untuk rundingan pada masa depan tidak ditutup lagi, cuma beri masa untuk Proton perbaiki kedudukannya.

Maknanya, pintu rundingan untuk Proton mencari rakan kongsi pada masa depan masih boleh dibuka.

Ketika itu biar Proton berada pada kedudukan yang sangat kukuh, menguntungkan dan berdaya maju supaya dalam rundingan tiada pihak boleh menekan Proton.

0 Komentar untuk "BERI PELUANG PROTON KEMBALI KUKUHKAN KEDUDUKAN"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI