Daripada Kadir Dikoh di Kampala, Uganda
Keputusan dalam persidangan manfaat negara anggota dari segi politik, ekonomi
KETIKA Coolum, Australia menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada Mac 2002, ada di kalangan media negara itu menyindir keberkesanannya dengan memberi makna singkatan CHOGM sebagai 'Coolum Holiday on Government Money' (Percutian di Coolum atas belanja kerajaan).
Kebetulan penulis sendiri membuat liputan di Coolum ketika itu, tetapi ia bukan kali pertama, sidang dua tahun sekali itu dipersendakan. Bukan saja CHOGM, malah mesyuarat Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga sebelum ini acap kali dicop dengan gelaran tertentu.
Selepas Coolum, CHOGM diadakan di Malta, negara pulau peranginan di tengah Laut Mediterranean pada November 2005, juga tidak terkecuali daripada pandangan sinis sedemikian sehingga ia dianggap tidak lebih daripada pertemuan sosial ketua negara.
CHOGM 2007 kali ini diadakan di Uganda, Kampala. Hakikatnya, setiap kali CHOGM diadakan, ia akan menjadi bahan sindiran dan suara mempersoalkan keberkesanannya dalam percaturan politik dunia, apalagi ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri semakin kurang diyakini negara anggota.
Jika Malta menggunakan CHOGM sepenuhnya untuk mempromosikannya sebagai destinasi pelancongan terulung iaitu sumber pergantungan ekonomi negara itu, Uganda pula turut berbuat demikian. Itu tidak mengapa, kerana sebagai tuan rumah, pandai-pandailah pemerintahnya menggunakan kesempatan 'tambah nilai'.
Bila lagi mahu mempromosikan negara sendiri apatah lagi industri pelancongan ketika ramai perwakilan asing termasuk ketua negara, menteri, pegawai dan wartawan datang beramai-ramai.
Namun, sebagai pertubuhan negara bekas tanah jajahan Britain, ramai menganggap CHOGM tidak lebih daripada pertemuan sosial negara anggota dengan bekas tuannya? Manakala sebahagian besar daripada anggota terdiri daripada negara kecil dan miskin di Afrika dan kepulauan Pasifik.
Pertemuan ketua kerajaan secara santai yang menjadi kemuncak setiap kali CHOGM, bukannya mesyuarat rasmi seperti persidangan antarabangsa lain, menguatkan lagi pandangan itu.
Hakikat bahawa CHOGM, yang berasal daripada Colonial Conferences pada 1887, diganti nama Imperial Conferences sehingga 1937 dan Mesyuarat Perdana Menteri Komanwel sehingga dipanggil dengan nama sekarang mulai 1971, dapat bertahan hingga kini, membuktikan pertubuhan 53 negara itu masih relevan.
Mengimbas kembali pencapaian Komanwel, banyak keputusan yang dicapai dalam CHOGM sebelum ini mencatat kejayaan dan memberi manfaat kepada anggota terutama negara miskin. Tabung Komanwel untuk Afrika dan Tabung untuk melawan Aids, misalnya banyak membantu negara di benua itu dalam menangani masalah kemiskinan dan penyakit berkenaan.
Begitu juga kerjasama dalam bidang pendidikan, latihan, biasiswa, perdagangan, pembangunan wanita dan kanak-kanak. Berapa ramai rakyat Komanwel termasuk di Malaysia yang mendapat manfaat daripada Pelan Colombo untuk melanjutkan pengajian di luar negara.
Banyak deklarasi CHOGM sebelum ini yang berjaya mencapai matlamatnya. Deklarasi Langkawi Mengenai Alam Sekitar ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah CHOGM pada Oktober 1989 misalnya mendorong negara anggota miskin turut memberi perhatian kepada isu itu ketika mereka membangunkan ekonomi masing-masing.
Kenyataan Kuala Lumpur bertajuk 'Afrika Selatan: Melangkah ke Hadapan' meningkatkan tekanan terhadap rejim Pretoria ketika itu serta mengesahkan pelan damai dan demokrasi yang dirangka pada 1986 sehingga Afrika Selatan bebas daripada aparteid.
Deklarasi Komanwel Harare sempena CHOGM di Zimbabwe pada Oktober 1991 pula mengukuhkan nilai asas yang digariskan oleh Deklarasi Prinsip Komanwel 1971 yang antara lain mendapatkan komitmen anggota untuk melindung dan memupuk demokrasi, memberikan hak sama rata kepada wanita, menghormati hak asasi dan undang-undang, menyediakan peluang pendidikan kepada semua, pembangunan mapan, membasmi kemiskinan serta memerangi penyeludupan dan penyalahgunaan dadah.
Malangnya, Zimbabwe menarik diri daripada Komanwel ketika CHOGM 2003 di Abuja, Nigeria apabila Presiden Robert Mugabe tidak bersetuju pendirian pertubuhan itu mengenai masalah politik di negaranya.
Kepada negara maju, pertubuhan antarabangsa seperti G7 dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) tentunya lebih relevan daripada Komanwel.
Bagaimanapun, kepada negara kecil dan miskin yang menjadi anggota Komanwel, CHOGM bukan sekadar medan tempat mereka menyuarakan pandangan, malah pertubuhan yang memberikan bantuan dan bimbingan dalam pelbagai bidang.
CHOGM 2007 di Kampala mulai hari ini dengan mesyuarat peringkat Menteri, disusuli upacara pembukaan esok, bertemakan 'Mengubah Masyarakat Komanwel untuk Mencapai Pembangunan Politik, Ekonomi dan Sumber Manusia'.
Setiausaha Agung Komanwel, Don McKinnon, berkata komitmen untuk mengubah masyarakat negara Komanwel dan meningkatkan taraf hidup mereka adalah ciri program politik dan ekonomi untuk sekian lama.
"Saya yakin bahawa CHOGM di Kampala ini akan menghasilkan asas strategik yang jelas mengenai cara bagaimana mengubah masyarakat kita untuk mencapai hasrat seperti dikehendaki oleh tema itu," katanya dalam satu kenyataan di Uganda.
Setiausaha Tetap Kementerian Luar Uganda yang mengetuai jawatankuasa persiapan CHOGM 2007, James Mugume, berkata sidang kali ini juga akan membincang nilai politik umum seperti demokrasi, hak asasi manusia, urus tadbir dan pengasingan kuasa. Turut disenaraikan dalam agenda ialah isu ekonomi global, alam sekitar dan perubahan iklim dengan penekanan kepada penurunan pengeluaran karbon.
"Selain itu, CHOGM kali ini juga menyentuh mengenai isu subsidi pertanian dan perdagangan, mempromosikan toleransi, persefahaman dan saling menghormati bagi mengurangkan ketegangan antara masyarakat Kristian dan negara Arab," katanya.
Uganda menjemput Rwanda sebagai tetamu khas kepada CHOGM kali ini sebagai sebagai tanda muhibah bertujuan membantunya menyertai Komanwel.
Rwanda, bersama beberapa negara yang bertutur dalam bahasa Perancis, sudah memohon untuk menyertai Komanwel dan permohonan mereka dijangka dipertimbangkan di Trinidad dan Tobago, pada 2009.
"Jika negara menjadi tuan rumah CHOGM, ia diberi peluang untuk menjemput tetamu khas, yang mungkin tidak menjadi anggota Komanwel," katanya.
Kemelut politik Pakistan yang menyaksikan Presiden Pervez Musharraf bergelut dengan krisis, dengan tuntutan untuk meletak jawatan sebagai ketua tentera, satu daripada tuntutan utama pembangkang dan masyarakat antarabangsa, dijangka antara isu hangat pada CHOGM kali ini.
Antara agenda sidang kali ini juga ialah pemilihan jawatan Setiausaha Agung Komanwel, bagi menggantikan McKinnon dari New Zealand yang akan menamatkan perkhidmatannya 31 Mac tahun depan. McKinon memegang jawatan itu sejak 1999.
Kita tidak terbabit dalam perebutan jawatan Setiausaha Agung Komanwel itu setelah Datuk Seri Dr Rais Yatim, tidak diketahui sebabnya, mengumumkan menarik diri daripada dicalonkan ketika beberapa negara anggota terutama negara Islam dalam OIC, bersedia menyokong calon Malaysia.
Ini bermakna, saingan cuma dari India dan Malta. Calon India, Kamalesh Sharma (Pesuruhjaya Tinggi India ke United Kingdom) dan calon Malta iaitu Menteri Luarnya, Michael Frendo, sejak beberapa bulan lalu ligat mengelilingi dunia untuk melobi.
Dalam lawatan ke beberapa negara Komanwel, mereka mengeluarkan kenyataan penting mengenai politik dunia untuk menonjolkan diri. Hanya 53 orang ketua negara yang akan mengundi. India berusaha mendapatkan sokongan negara Komanwel dalam SAARC (Persatuan Asia Selatan Bagi Kerjasama Serantau - Bangladesh, Maldives, Pakistan dan Sri Lanka) dan negara Komanwel Afrika melalui NEPAD (Perkongsian Baru Bagi Pembangunan Afrika). Malta pula cuba mendapatkan sokongan negara kepulauan Caribbean.
Setiausaha Agung Komanwel adalah Ketua Sekretariat Komanwel dan memegang jawatan itu untuk penggal empat tahun.
Selain mesyuarat tiga hari itu, dunia akan melihat sama ada CHOGM menjadi pertubuhan berkesan dan relevan atau tidak. CHOGM 2007 sekali lagi akan menentukan sama ada Komanwel mampu bergerak daripada medan perbincangan semata-mata kepada tindakan untuk manfaat anggotanya dan kesejahteraan dunia.
0 Komentar untuk "Peranan CHOGM masih relevan"