Beri peluang Proton terus strategi pemulihan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Beri peluang Proton terus strategi pemulihan

KEPUTUSAN kerajaan untuk menamatkan rundingan di antara Proton Holdings Bhd dengan pengeluar kereta Jerman, Volkswagen dan General Motors dari Amerika Syarikat membolehkan pengurusan pengeluar kereta nasional itu meneruskan rancangan pemulihannya dengan lebih yakin. Ia membuktikan kerajaan mempunyai keyakinan tinggi terhadap usaha pemulihan Proton yang menunjukkan perkembangan positif dari segi jualan dan berjaya mengurangkan kerugiannya berbanding tahun sebelumnya. Kita percaya Khazanah Nasional Berhad telah menilai dengan teliti segala aspek dan mengambil kira perkembangan positif yang berlaku dalam Proton sejak kebelakangan ini terutama pemulihan jualan di pasaran domestik dan eksport, sebelum memutuskan untuk menghentikan rundingan berkenaan. Lagi pun, penamatan rundingan dengan Volkswagen dan General Motors bukannya dibuat secara mengejut dan hanya dibuat setelah ditimbang dengan teliti.

Sebelum ini peluang pemulihan yang sama diberikan kepada Penerbangan Malaysia (MAS) dan ia ternyata berjaya mengembalikan prestasi yang baik kepada syarikat penerbangan negara itu.

Bagaimanapun ini bukan bermakna Proton menutup terus peluang mengadakan pakatan strategik dengan pengeluar kereta lain pada masa akan datang. Cuma buat masa ini, kita percaya Proton mempunyai kemampuan untuk memperbaiki segala kelemahannya tanpa campur tangan pihak lain. Apabila Proton sudah bangkit dengan lebih teguh dan bersedia untuk meningkatkan rangkaian global, pakatan strategik dengan firma automatif gergasi dunia tidak dapat dielakkan. Keutamaan Proton sekarang ialah perancangan yang betul dan langkah mengurangkan kerugian seperti dilakukan MAS. Langkah ini dilihat sebagai pendekatan lebih strategik memandangkan kita lebih memahami kehendak pengguna di pasaran tempatan berbanding orang luar. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengakui bahawa transformasi yang sedang berlaku di Proton kini adalah penyebab utama mengapa Proton tidak perlu lagi menjalinkan sebarang hubungan perkongsian dengan rakan asing. Keputusan kerajaan itu berasaskan penambahbaikan dan angka jualan yang kukuh di Proton, terutama model Persona yang mencatat tempahan kira-kira 22,000 unit Oktober lalu. Dengan kualiti kereta berkenaan yang semakin meningkat, maka tidak hairanlah Indeks Kepuasan Pengguna Proton juga mengalami peningkatan.


Kita berharap Proton tidak akan berkompromi dalam soal kualiti. Adalah wajar pengurusan Proton mengamalkan sikap terbuka dengan setiap aduan pengguna dalam usaha memperkukuhkan lagi kualiti kereta yang dikeluarkan. Kerajaan meletakkan harapan yang tinggi ke atas pihak pengurusan Proton untuk 'memandu' syarikat berkenaan ke arah pencapaian lebih baik pada masa depan. Penamatan rundingan dengan rakan kongsi dari luar bermakna Proton perlu mencari jalan untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di pasaran domestik bagi membolehkannya terus bersaing dalam industri permotoran yang semakin sengit. Proton perlu memberi tumpuan yang lebih khusus kepada pasaran dalam negara dengan mengemaskinikan lagi prestasi model sedia ada di samping menyegerakan pengenalan model baru yang menjadi kegemaran pengguna di negara ini termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV). Sekiranya semua langkah pemulihan ini berjalan lancar dan kualiti kereta yang dikeluarkan dipertingkatkan setaraf dengan kereta import, tidak mustahil Proton akan menyaksikan masa depan yang lebih cerah seperti yang pernah kita lihat pada zaman kegemilangannya pada 1980-an dan 1990-an.

0 Komentar untuk "Beri peluang Proton terus strategi pemulihan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI