Boikot atau tidak -- Pembangkang Pakistan kini dalam dilema - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Boikot atau tidak -- Pembangkang Pakistan kini dalam dilema

ISLAMABAD 21 Nov. – Kem pembangkang Pakistan hari ini berada dalam keadaan serba salah sama ada hendak memboikot pilihan raya Parlimen atau tidak. Mereka tidak lagi begitu lantang dalam membuat seruan untuk memulaukan pengundian pada 8 Januari ini jika Presiden Pervez Musharraf enggan menarik balik perintah darurat.

Pervez kembali dari lawatan ke Arab Saudi untuk membincangkan masa depan bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif yang hidup dalam buangan di negara itu.

Seorang lagi bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto menangguhkan keputusan sama ada hendak memulaukan pilihan raya.

Beliau sebelum ini berpendirian pilihan raya tersebut tidak boleh dianggap sah selagi perintah darurat terus berkuat kuasa.

Benazir malam tadi berkata, satu “tanda yang baik” jika Pervez melepaskan jawatan ketua tenteranya dan memerintah sebagai seorang Presiden awam.

Bekas Perdana Menteri dua penggal itu mengelak daripada mengkritik Presiden secara langsung dan memberitahu wartawan, Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinannya memerlukan beberapa hari lagi untuk memutuskan sama ada hendak memboikot pilihan raya atau tidak.

Dalam pada itu, seorang pemimpin kanan perikatan berhaluan agama, Muttahida Majlis-e-Amal (MMA) berkata, parti beliau cenderung untuk menyertai pilihan raya 8 Januari itu.

Bagaimanapun Maulana Fazlur Rehman juga menggesa Pervez menarik balik perintah darurat.

Sementara itu, Presiden Jeneral Pervez Musharraf dijangka meletakkan jawatannya sebagai ketua tentera dan mengangkat sumpah sebagai Presiden awam Pakistan pada hujung minggu ini.

Peguam Negara, Malik Mohammad Qayyum hari ini berkata, pemerintah tentera itu akan meletakkan jawatannya dalam tempoh beberapa hari jika Mahkamah Agung menggugurkan semua tindakan undang-undang berhubung pemilihan semula Pervez esok.

“Jika Mahkamah Agung menolak tindakan mahkamah berhubung pemilihan semulanya, maka Presiden Pervez akan mengangkat sumpah sebagai seorang Presiden awam pada hari Sabtu atau Ahad,” kata Malik.

Isnin lalu, Mahkamah Agung telah membatalkan lima dari enam tuntutan utama yang difailkan ke atas pemilihan semula Pervez pada 6 Oktober lalu, sekali gus membuka laluan kepada Presiden Pakistan itu untuk kekal dalam jawatan.

Pervez pulang ke Pakistan dari Arab Saudi awal hari ini selepas menemui Raja Abdullah tetapi gagal menemui Nawaz, musuhnya yang digulingkan dalam rampasan kuasa 1999.

– Agensi

0 Komentar untuk "Boikot atau tidak -- Pembangkang Pakistan kini dalam dilema"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI