KONFLIK BERTERUSAN: Polis menahan Wajihuddin Ahmed (kanan) yang mencabar Musharraf dalam pemilihan Presiden lalu, daripada berjumpa dengan bekas ketua hakim Iftikhar Chaudhry di Islamabad, semalam. |
Panglima tentera sedia lepas jawatan jika mahkamah gugur petisyen
ISLAMABAD: Presiden Pervez Musharraf akan meletakkan jawatan sebagai pemerintah tentera dan menjadi Presiden awam sepenuhnya menjelang hujung minggu ini, kata pegawai atasan kerajaan ketika beliau mendapat sokongan padu Amerika Syarikat.
Peguam Negara Pakistan, Malik Mohammad Qayyum, memberitahu AFP jika Mahkamah Agung menggugurkan cabaran terakhir pemilihan semula Musharraf hari ini seperti dijangka, dia akan menanggalkan seragam tenteranya dalam masa beberapa hari.
Secara berasingan, Musharraf bertindak memberikan asas perundangan kukuh kepada perisytiharan darurat yang dibuatnya 3 November lalu, dengan mengeluarkan pindaan Parlimen yang menyatakan ia tidak boleh ditolak di mahkamah.
"Jika Mahkamah Agung menarik balik perintah menggantung pemilihan semula Musharraf sebagai Presiden, beliau berkemungkinan akan mengangkat sumpah sebagai Presiden awam Sabtu atau Ahad ini.
"Sebaik mahkamah memutuskan, pengesahan kemenangannya akan dikeluarkan dalam masa sehari atau dua dan mengangkat sumpah pada hujung minggu," kata Qayyum.
Pemimpin Pakistan itu berada di bawah tekanan hebat antarabangsa diketuai Amerika supaya menamatkan perintah darurat, berundur sebagai ketua tentera, mengadakan pilihan raya adil dan membebaskan tahanan politik.
Musharraf, yang memperoleh kuasa dalam rampasan kuasa 1999, berjanji meletak jawatan sebagai pegawai tentera sebaik Mahkamah Agung menggugurkan semua cabaran supaya kemenangannya boleh disahkan secara rasmi.
Ordinan semalam akan mempercepatkan proses dengan mengukuhkan kedudukannya.
Ia menggubal Perlembagaan untuk menyatakan pelaksanaan perintah darurat 'dibuat secara sah' dan 'tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah atau forum atas dasar apa sekalipun.'
"Arahan presiden yang dikeluarkan hari ini menguatkan dan mengesahkan tindakan yang diambil pada 3 November lalu," kata Qayyum.
Mahkamah Agung yang dikuasai hakim sekutu Musharraf selepas hampir semua hakim sebelum ini dipecat hari ini menggugurkan semua cabaran kepada perintah darurat selain enam saman terakhir mencabar pemilihan semula Musharraf bulan lalu.
Kelmarin, pihak berkuasa menetapkan tarikh pilihan raya umum pada 8 Januari lalu dan mengumumkan pembebasan lebih 3,400 tahanan yang ditahan menurut perintah darurat, dengan 2,000 lagi akan dibebaskan tidak lama lagi.
Langkah itu disambut baik Presiden George W Bush yang berkata Musharraf - sekutu kuatnya dalam kempen memerangi keganasan - 'tidak melanggar batasan' yang akan menyebabkan dia kehilangan sokongan Washington. - AFP
0 Komentar untuk "Musharraf jadi Presiden awam hujung minggu ini"