HAVANA 21 Nov. – Pilihan raya kebangsaan yang menjadi sebahagian proses menentukan pemimpin negara ini, Fidel Castro kekal sebagai Presiden akan diadakan 20 Januari ini.
Perintah mengadakan pilihan raya yang dimeterai oleh pemimpin sementara, Raul Castro, disiarkan di televisyen negara yang mengumumkan tarikh pilihan raya wilayah dan dewan perhimpunan kebangsaan iaitu proses yang diadakan lima tahun sekali.
Pengumuman itu tidak menyatakan secara jelas mengenai kedudukan Fidel Castro, tetapi pemimpin berusia 81 tahun yang dilaporkan menghadapi masalah kesihatan pasti dipilih semula ke Parlimen sebelum menjadi Presiden Majlis Negara.
Raul, 76, pula merupakan Naib Presiden pertama majlis.
Pilihan raya pada Januari ini menyusul selepas 18 bulan Fidel mengundurkan diri kerana menjalani pembedahan usus dan tempatnya disandang oleh adiknya, raul.
Sejak 31 Julai 2006 Fidel juga tidak muncul di khalayak ramai dan kelibatnya hanya boleh dilihat melalui foto dan rakaman video.
Parlimen Cuba yang dikenali Dewan Kebangsaan memilih anggota Majlis Negara setiap lima tahun, iaitu beberapa minggu selepas ahlinya dipilih dalam pilihan raya kebangsaan.
Fidel telah memimpin Cuba sejak 1959 dan menjadi Presiden Majlis Negara sejak ia ditubuhkan pada 1976.
– AP
0 Komentar untuk "Castro terus terajui Cuba? -- Pilihan raya diadakan 20 Januari ini"