Bersama Diplomat: Iran percaya wujud konspirasi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Bersama Diplomat: Iran percaya wujud konspirasi

Oleh Jamhariah Jaafar bersama Duta Iran ke Malaysia, Mahdi Khandaghabadi

ISU konflik nuklear Iran yang menjadi tumpuan antarabangsa hari ini. Boleh anda ceritakan mengenai latar belakang konflik itu.

Seperti yang diketahui masyarakat antarabangsa, pendekatan Republik Iran terhadap isu ini masih bersandarkan semangat keamanan dan telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan pelbagai pihak lain melebihi komitmen perundangan yang digariskan.

Beberapa kerjasama yang diberikan termasuk pemeriksaan IAEA selama lebih 2,300 hari, sukarela menggantung aktiviti nuklear terutama membabitkan ke arah perkembangan nuklear, menandatangani protokol tambahan dan pelaksanaannya secara sukarela.


Kami juga membenarkan akses penuh dan tanpa had ke semua tapak nuklear dan kawasan tentera termasuk pemeriksaan bahan digunakan, menyerahkan lebih 1000 muka surat deklarasi yang dikemaskini, serta menyediakan inisiatif nuklear seperti dinyatakan presiden kami di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ini hanya antara contoh kerjasama kami kepada IAEA. Tetapi secara asasnya kami percaya isu keselamatan adalah isu global, justeru apabila bercakap mengenai keamanan dan keselamatan kita mesti mengambil kira apa yang berlaku di dunia hari ini.

Bagaimana anda melihat kerjasama antara Iran dan IAEA sekarang.


Selalunya, kerjasama memerlukan satu paradigma yang sama dan apabila menyentuh isu nuklear Undang-undang Antarabangsa perlu dikaji semula dan kerjasama boleh diperkukuhkan dalam rangka kerja sedia ada. Undang-undang yang wujud mestilah seimbang. Iran adalah anggota IAEA, telah dan masih lagi komited dengan keperluan mematuhi perjanjian yang ada.

Setakat ini, IAEA tidak menghadapi sebarang masalah untuk meneruskan pemeriksaan ke atas Iran. Semua aktiviti di Iran termasuk meningkatkan penggunaan uranium adalah dalam rangka kerja Perjanjian Kawalan Senjata (NPT) dan di bawah penyeliaan IAEA sepenuhnya dengan pemeriksaan tanpa sebarang notis dan pengawasan kamera 24 jam.

Berikutan Iran mematuhi dan menerima pakai polisi seumpama, menyaksikan Ketua Pengarah IAEA, ElBeradei, banyak kali menegaskan bahawa tidak terdapat sebarang tanda Iran beralih haluan daripada tujuan penggunaan nuklear untuk keamanan, baik dari segi bahan digunakan mahupun aktiviti yang dijalankan. ElBeradei juga beberapa kali dalam temuramahnya, menegaskan aktiviti nuklear Iran adalah untuk tujuan keamanan dan tidak ada sebarang tanda ia mempunyai niat ketenteraan. Disebabkan kenyataan yang tegas, El Baradei dikritik media rejim Israel dan kumpulan Amerika Syarikat yang sukakan peperangan.

Walaupun Iran sudah mengambil semua langkah yang mematuhi kehendak antarabangsa, malangnya ada yang tidak berpuas hati. Beberapa negara telah mempolitikkan isu ini dan berusaha menyalahgunakan Majlis Keselamatan PBB dan menggunakan kekuatan politik mereka untuk terus mencari salah Agensi Tenaga Atom Iran, dengan niat menyekat hak Iran daripada terus membangunkan aktiviti nuklear.

Justeru, kami berharap setiap masyarakat dunia akan terus mengingati bahawa Iran sentiasa menggariskan hak kedaulatan mereka untuk membangunkan kuasa nuklear untuk tujuan aman.

Apa yang membuatkan laporan terkini El Beradei, berlainan daripada laporannya sebelum ini.

Laporan terbaru IAEA ini akan membawa kepada penutupan isu 'centrifuges P1 dan P2' apabila ElBeradei mengumumkan bahawa jawapan Iran kepada isu ini adalah sama seperti temuan IAEA, yang mendapati 'dosier' P1 dan P2 memang telah ditutup.

Juga menurut laporan terbabit, kebanyakan dakwaan penyalahgunaan nuklear Iran adalah tidak benar, justeru sebarang usaha untuk merujuk kes nuklear Iran kepada Majlis Keselamatan PBB tidak berasas. Ketika ini, semua dakwaan tidak berasas terhadap Iran telah dikaji oleh badan antarabangsa itu. Terbukti wujud usaha untuk mempolitikkan isu nuklear Iran ini, walaupun sejak dari awal lagi kami meminta supaya isu ini ditangani secara teknikal dan mengikut undang-undang yang diperuntukkan dalam bidang kuasa IAEA.

Justeru, selepas laporan terkini IAEA ini, tidak ada lagi alasan mengapa kes aktiviti nuklear Iran ini tidak boleh diselesaikan di dalam rangka kerja IAEA.

Masih ada negara menentang aktiviti nuklear Iran dan mengesyaki akhirnya akan digunakan untuk tujuan ketenteraan. Apa pendapat anda.

Memang ada negara yang menentang Iran daripada mendapat akses kepada tenaga nuklear, tapi kami yakin dengan tindakan dan komitmen yang dipamerkan Iran, ia akan terus memberi kami hak yang sama dengan negara lain.

Apa harapan Iran daripada Majlis Keselamatan dan masyarakat antarabangsa selepas laporan terkini ElBeradei.

Pada pendapat saya, satu keputusan rasional mungkin diperoleh daripada Majlis Keselamatan dan satu pendekatan positif diharap dapat diambil. Secara realiti, semua isu dan tindakan boleh diambil boleh diselesaikan mengikut rangka kerja IAEA, sekiranya tidak ada campur tangan institusi politik dunia.

Tetapi kami sedar, ketika kebanyakan negara akan menerima laporan mengenai aktiviti nuklear Iran ini dengan dada terbuka, masih ada negara yang tidak bersetuju. Tapi jika ini berlaku, masyarakat dunia akan mengetahui bahawa niat dan tujuan mereka sebenarnya bukanlah semata-mata kerana aktiviti nuklear kami, tapi mempunyai niat tersembunyi yang lain.

Bagaimanapun, kami berharap setiap negara yang cintakan keamanan akan memenuhi tanggungjawab mereka untuk memastikan keamanan yang dikecapi dunia sekarang akan berterusan.

Sekiranya berlaku satu lagi cubaan untuk mengenakan sekatan ke atas Iran, apakah kesannya ke atas rundingan dan kerjasama Iran dengan IAEA. Dan apakah kemungkinan yang akan melanda ekonomi Iran.

Kami yakin sebarang resolusi untuk mengenakan sekatan ke atas Iran akan memberi kesan sebaliknya ke atas pelan rundingan damai yang ada sekarang. Keyakinan hanya terbina atas kepercayaan bersama. Sebagai rakyat Iran, kami telah membuktikan keikhlasan, semangat perpaduan dan pendekatan yang konstruktif untuk meleraikan semua isu secara rasional dan aman.

Pada pendapat saya, sesiapa yang sengaja memulakan inisiatif sekatan ke atas Iran perlu berfikir, apakah kerjasama yang terjalin antara Iran dan IAEA sekarang akan dipandang remeh dunia. Adakah mereka akan melakukan satu lagi keputusan yang silap?

Sekiranya sekatan diadakan sekali lagi ke atas Iran, saya hanya boleh berkata selepas melalui era gelap selama 29 tahun akibat tindakan Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah, ia hanya akan membakar semangat rakyat Iran untuk tidak lagi bergantung kepada dunia luar sebaliknya akan membangunkan teknologi dan penyelidikan saintifik kami sendiri.

Bagaimanapun, sekiranya berlaku satu lagi sekatan ekonomi ia adalah tindakan yang menyalahi undang-undang dan pencabulan Piagam PBB yang paling buruk dan sekali gus membuktikan ketidakberkesanan peranan Majlis Keselamatan PBB!

Apa yang Iran harapkan daripada Malaysia.

Setiap negara perlu menjaga keamanan dan meningkatkan keselamatan mereka. Apa yang kami harapkan daripada Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan negara sahabat, serta sudah pasti sebagai Pengerusi OIC ialah sokongan kukuh terhadap pelaksanaan undang-undang antarabangsa tanpa sebarang diskriminasi.

Sebagai negara Islam, Iran dan Malaysia berkongsi banyak pandangan serta pendapat yang sama di forum antarabangsa.

0 Komentar untuk "Bersama Diplomat: Iran percaya wujud konspirasi"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI