Duch: Tribunal PBB digesa tidak benarkan ikat jamin - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Duch: Tribunal PBB digesa tidak benarkan ikat jamin

PHNOM PENH, 21 Nov. – Pihak pendakwa hari ini menggesa sebuah tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tidak membenarkan bekas ketua pusat penyeksaan Khmer Rouge yang terbesar di Kemboja diikat jamin.

Para peguam pendakwa itu dalam hujah mereka pada perbicaraan ke atas Kaing Guek Eav alias Duch berkata, pembebasannya boleh mengancam ketenteraman awam di Kemboja.

Duch sedang dibicarakan atas tuduhan melakukan jenayah-jenayah kemanusiaan semasa menjadi komandan penjara Tuol Sleng.

Beliau adalah salah seorang daripada lima orang yang ditahan berhubung dengan pemerintahan kuku besi rejim Khmer Rouge di Kemboja pada 1970an.

Duch, yang ditahan sejak 1999, merupakan defendan pertama dihadapkan ke tribunal yang telah lama dinanti-nantikan itu apabila perbicaraan dibuka semula semalam untuk mempertimbangkan sama ada beliau layak dibenarkan diikat jamin.

Peguam-peguam pembelanya berkata, hak asasi Duch telah dicabuli kerana ditahan bagi tempoh yang lama dan beliau sepatutnya dibebaskan dengan diikat jamin sebelum perbicaraan dimulakan tahun depan.

Pihak pendakwa, bagaimanapun, menganggap Duch sebagai satu risiko dan menggesa mahkamah supaya terus menahannya di penjara untuk keselamatannya sendiri dan juga untuk kepentingan orang awam.

“Jika Duch dibebaskan, keselamatannya mungkin terancam apabila rakan-rakan yang bersubahat dengannya bertindak untuk cuba membunuhnya atau saudara mara kepada mangsa-mangsa yang dibunuhnya membalas dendam,” kata Robert Petit, seorang peguam pendakwa dari Kanada.

Petit menambah bahawa “ketenteraman awam boleh tergugat” jika Duch dibebaskan.

Rejim Khmer Rouge dipersalahkan di atas kematian kira-kira 1.7 juta penduduk semasa pemerintahan kejamnya pada 1975-1979 di Kemboja.

– AP

0 Komentar untuk "Duch: Tribunal PBB digesa tidak benarkan ikat jamin"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI