Oleh C Ramasamy (Yang mengunjungi Palais des festival, Cannes, Perancis, baru-baru ini)
ROB Cayzer seorang yang positif, malah pengurus besar Multimedia Development Corporation (MDeC) itu seorang yang optimistik, lebih-lebih lagi apabila bercakap mengenai kemampuan Malaysia dan kebolehan rakyatnya.
Mungkin umum tidak meyakini Malaysia boleh mencipta nama dalam industri animasi global yang dianggarkan bernilai RM2 trilion setahun, apatah lagi negara masih bertatih dalam bidang itu dan dianggap gagal mencipta sebarang impak pada peringkat tempatan.
Tetapi Cayzer berpendapat sebaliknya. Beliau yakin dengan formula yang betul, disertai sokongan berterusan kerajaan untuk memajukan industri pengeluaran kandungan kreatif tempatan, negara boleh mencipta riak, malah ombak jika diberi peluang dan masa.
Justeru, apabila sebuah syarikat tempatan memeterai perjanjian dengan gergasi kartun antarabangsa, Disney Asia untuk menyiarkan siri animasi televisyen, Bola Kampung menerusi saluran Disney Channel di 16 negara Asia, dalam bulan ini, beliau amat teruja.
“Disney memang menetapkan standard tinggi untuk siri animasi yang ditayang. Apabila ia bersedia membeli kandungan kreatif buatan syarikat Malaysia, ia mengesahkan kebolehan yang kita miliki. Jutaan orang akan menyaksikannya,” katanya.
Bola Kampung yang pernah ke udara di Malaysia, dinamakan Football Kids untuk pasaran antarabangsa. Siri animasi dua dimensi (2D) 26 episod itu dikeluarkan, Animasia Studio Sdn Bhd (Animasia).
Cayzer berkata, pencapaian itu sememangnya membanggakan kerana buat pertama kali kandungan kreatif digarap sebuah syarikat tempatan berstatus Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC Malaysia) berjaya menembusi saluran penyiaran antarabangsa.
Apa yang menarik, Disney Asia dilaporkan menggemari Bola Kampung disebabkan wataknya yang pelbagai kaum dan memaparkan konsep perpaduan Malaysia - sesuatu yang disifatkan Cayzer sebagai aset terpenting negara yang boleh menghadiahkan faedah ekonomi jika dieksploitasi sewajarnya.
Perjanjian perniagaan membabitkan Animasia dan Disney Asia yang dijayakan pengedar kandungan kreatif terkemuka dunia, Peppermint Asia itu dimeterai pada pameran perdagangan audio visual terbesar dunia, Mipcom 2007 yang berlangsung di Palais des festival, Cannes, Perancis, baru-baru ini.
MDeC, entiti milik kerajaan yang berperanan membangun dan mempromosi MSC Malaysia, bertanggungjawab membawa 12 syarikat tempatan ke pameran berkenaan yang disertai 13,371 profesional industri dan 4,585 syarikat dari 105 negara. Semua syarikat berkenaan terbabit dalam penghasilan pelbagai inisiatif kreatif termasuk 2D, tiga dimensi (3D), definisi tinggi (HD), pengedaran kandungan serta penerbitan bersama.
Malaysia turut mencatatkan satu lagi rekod pada Mipcom 2007 apabila siri animasi televisyen, ABC Monster, juga keluaran Animasia, muncul sebagai antara 30 program paling ditonton profesional industri dengan menduduki tangga ke-29.
Pengarah Urusan Animasia, Edmund Chan, berkata ABC Monster adalah satu-satunya siri animasi dari Asia yang menduduki carta 30 program paling ditonton di kalangan 919 program yang disaksikan lebih 700 profesional industri.
“Apa yang manis, ABC Monster berjaya menandingi kandungan kreatif keluaran gergasi animasi Asia seperti Jepun dan Korea. Meskipun perkembangan industri kandungan kreatif tempatan berada pada tahap awal, mutu produk yang dihasilkan setara dunia.
“Industri kita kecil, tetapi animasi kita menepati standard antarabangsa. Kita melakukannya dalam ruang lingkup terhad kerana bajet produksi kita agak terbatas berbanding syarikat terkemuka yang menghasilkan satu episod animasi 2D pada kos AS$12,000 (RM44,000) dan sehingga AS$300,000 (RM1.1 juta) bagi animasi 3D bagi tayangan selama setengah jam,” katanya.
Pembangunan industri kandungan kreatif tempatan dikenal pasti kerajaan sejak 2001 dan ia disasar menjadi antara pemacu utama ekonomi dengan menjana pendapatan RM1 bilion di samping mewujudkan 13,000 peluang pekerjaan baru menjelang 2010.
Bagi mengecapi matlamat berkenaan, kerajaan mengambil dua langkah proaktif dan berpandangan jauh.
Pertama, menubuhkan Pusat Kandungan Kreatif Animasi Malaysia (Mac3) yang kini dalam pembinaan di Cyberjaya. Pusat yang dijangka dapat disiapkan menjelang pertengahan tahun depan akan memiliki prasarana dan teknologi terkini, sekali gus membolehkan animator, artis kesan khas serta pelajar lapangan multimedia menterjemahkan idea kepada animasi bertaraf antarabangsa.
Kedua, pengasasan Dana Pembangunan Industri Kandungan (Dana eContent) yang memiliki peruntukan RM150 juta. Dana berkenaan yang disalurkan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) terbahagi kepada dua kategori - individu dan syarikat.
Bagi individu, peruntukan diberikan dalam bentuk bantuan, manakala untuk syarikat pemberiannya bersyarat.
Ketua Jenama dan Komunikasi MDeC, Muhammad Zain Ibrahim, berkata Dana eContent adalah insentif yang diperkenalkan kerajaan mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Meskipun MSC Malaysia pertama kali mengambil bahagian dalam Mipcom 2007, pencapaian syarikat itu membuktikan negara berada pada landasan betul dalam memajukan industri kandungan kreatif tempatan. Mipcom adalah contoh terbaik bagaimana syarikat tempatan boleh bekerjasama dengan MSC Malaysia untuk meneroka dan bersaing di pasaran dunia.
“Les’ Copaque Production Sdn Bhd adalah antara syarikat yang mengguna pakai Dana eContent untuk menghasilkan kandungan kreatif tempatan untuk pasaran dunia.
Syarikat berkenaan yang kini dalam proses menghasilkan filem cereka animasi 3D pertama Malaysia berjudul Geng: The Adventure Begins (dinamakan Geng: Misteri Hantu Durian bagi pasaran dalam negara) memperoleh bantuan bernilai RM1 juta.
Kos keseluruhan produksi adalah RM4 juta. Sejumlah RM3 juta adalah pembiayaan sendiri manakala RM1 juta daripada sumber eContent. Filem cereka animasi 90 minit itu kini sudah diusahakan sehingga 60 minit, kata Pengarah Kreatif dan Pemasaran Les’ Copaque, Mohd Nizam Abd Razak.
Les’ Copaque hadir ke Mipcom 2007 untuk mempromosi produksinya itu di samping mencari pengedar antarabangsa dan mengintip peluang menjual dan menerbit bersama.
0 Komentar untuk "Bola Kampung bukti kemampuan animasi kita"