Arab ragui sidang damai tajaan AS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Arab ragui sidang damai tajaan AS

AMMAN: Negara Arab masih diselubungi keraguan termasuk kemungkinan wujudnya agenda tersembunyi membabitkan rundingan damai Asia Barat tajaan Amerika Syarikat yang bakal diadakan di Annapolis dekat Washington, Selasa depan.

Washington, khususnya Presiden George W Bush yang kini di akhir penggal pemerintahannya sebelum digantikan Presiden baru tahun depan, sudah memaklumkan pertemuan itu pada Julai lalu dalam usaha menghidupkan rundingan damai Palestin-Israel yang buntu sejak 7 tahun lalu.

Awal semalam, Washington yang sebelum ini membisu berhubung senarai negara jemputan, akhirnya mengumumkan 100 delegasi dari Asia Barat, Eropah dan Asia, termasuk Malaysia, Jepun dan Indonesia.


Namun di bandar utama Arab, rasa musykil itu menular berhubung banyak faktor berbangkit yang belum selesai, termasuk mengenai status Bukit Golan.

"Kami bimbang persidangan itu ada agenda tersembunyi kerana sikap berahsia penganjurnya yang tidak banyak menghebahkan butiran mesyuarat berkenaan," kata pegawai Arab di Amman, Jordan, ketika dihubungi agensi berita Agence France-Presse (AFP).

Seorang Menteri Arab yang enggan dikenali dengan lantangnya berkata: "Terus terang, keadaan setakat ini tidak memberangsangkan. Memang tidak menarik langsung."


Menteri Luar Arab dijadual bertemu di Kaherah, hari ini bagi memutuskan penyertaan mereka pada sidang damai tajaan Amerika berkenaan.

"Isu utama agenda mesyuarat di Kaherah itu adalah memutuskan kehadiran pada persidangan di Annapolis itu dan sama ada keputusan mengenainya ditentukan secara berkumpulan atau sendirian," kata pegawai Liga Arab, Hisham Yussef said.

Malah, sekutu utama Amerika sendiri iaitu Mesir, Arab Saudi dan Jordan sedari awal sudah menyatakan rasa ragu mereka mengenai pertemuan di Annapolis itu dan menegaskan ia perlu menyentuh isu penting dan getir antara Palestin dan Israel, termasuk Baitulmaqdis dan pelarian Palestin.

"Kami sememangnya amat bimbang dengan butiran terhad yang kami peroleh mengenai mesyuarat itu," tegas pemerintah Jordan, Raja Abdullah kepada akhbar mingguan Jerman, Der Spiegel minggu ini.

Beliau memberi amaran kekaburan itu mungkin mencetuskan kejutan.

Presiden Mesir, Hosni Mubarak mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, kelmarin dalam usaha merancakkan usaha damai itu tetapi turut tidak terkecuali menyuarakan kebimbangan kemungkinan mesyuarat itu berdepan kegagalan. � AFP

0 Komentar untuk "Arab ragui sidang damai tajaan AS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI