Didik sikap terbuka terima kegagalan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Didik sikap terbuka terima kegagalan

Oleh MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH

ADAKAH menjadi yang terbaik adalah matlamat utama? Mengikut cara masyarakat kita mendidik anak-anak pada masa ini, jawapan kepada kedua-dua persoalan tersebut ialah ya. Masyarakat kita adalah sekelompok manusia yang dididik melalui sistem pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan survival of the fittest, yang mana orang teratas akan disanjung dan yang tercorot akan dipandang hina.

Kita terpaksa menelan hakikat pahit ini kerana dalam dunia yang serba laju dan moden ini kita selalu bersaing dan dalam persaingan secara stigmanya ialah seseorang perlu menang. Adakah betul persepsi itu? Kita perlu perbetulkan persepsi tersebut terutama dalam aspek pembangunan keperibadian kanak-kanak dan remaja.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa dalam mewujudkan masyarakat yang cemerlang menjelang 2020, negara amat memerlukan modal insan yang berpendidikan namun penekanan terhadap kecemerlangan akademik sebenarnya telah membelakangkan aspek pembangunan kanak-kanak dan remaja itu sendiri.

Setiap penggal terdapat peperiksaan demi peperiksaan dan setiap penggal jugalah kanak-kanak dan remaja diukur dan disusun mengikut ‘kebijaksanaan’ mereka dalam peperiksaan.Tekanan bukan sahaja dirasakan oleh pelajar, malah para ibu bapa apabila ditanya saudara mara.

Pelajar yang cemerlang akan terus diasuh dan dilatih sedangkan pelajar yang terkebelakang akan ditinggalkan. Masyarakat, ibu bapa, guru-guru dan pihak berkepentingan perlu memikirkan tentang masa hadapan dan bukannya keuntungan jangka masa pendek.

Kita tidak menafikan kemenangan itu penting namun beberapa perkara dalam pembangunan anak-anak perlulah dititikberatkan. Peperiksaan pada peringkat awal kanak-kanak perlu dianggap sebagai ‘perlawanan persahabatan’ untuk mengelakkan timbulnya rasa gentar dan fobia terhadap peperiksaan.

Selain itu, ‘padang permainan’ perlulah sama rata iaitu jika kanak-kanak datang dari kawasan luar bandar maka perlulah diukur dari segi input yang diterimanya iaitu dari segi kualiti guru, prasarana dan lain-lain perkara yang amat penting dalam pembangunan mereka.

Guru-guru perlu mempunyai pelan jangka masa panjang dan perlu mengikutinya dengan patuh. Ibu bapa juga perlu diajak untuk turut serta dalam pelan jangka masa panjang tersebut. Akhir sekali pelan pembangunan kanak-kanak perlu dinilai semula secara berkala demi memberikan kualiti pendidikan yang baik dan berkesan.

Masyarakat kita perlu dididik untuk menerima kekalahan laksana seorang lelaki budiman. Kita tidak perlu bersedih, dengki, iri hati dan putus asa, cuma kita perlu menerima dengan hati terbuka.

* MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH ialah Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.

0 Komentar untuk "Didik sikap terbuka terima kegagalan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI