|
|
MUKADIMAH
SIDANG Kemuncak ASEAN ke-13 akan berlangsung di Singapura mulai hujung minggu ini. Tatkala menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-40, sidang kali ini mempunyai signifikannya sendiri apabila negara-negara anggota menandatangani Piagam ASEAN – dokumen penting yang akan memberi identiti perundangan kepada pertubuhan rantau itu.
“Dengan 570 juta umat manusia dan hasil bumi yang banyak, potensi pasaran ASEAN memang menjadi tarikan pelosok dunia,” kata Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, MARHAINI KAMARUDDIN di Kuala Lumpur baru-baru ini, Menteri Luar menegaskan fakta itu menjadikan ASEAN perkumpulan yang sangat berkuasa.
Tatkala dunia memberi tekanan terhadap negara anggota Myanmar dan di satu sudut, dua anggota asalnya, Malaysia dan Singapura ‘berdebat’ di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), ASEAN menunjukkan ‘kecantikan’ apabila mampu bersidang bagi mengorak langkah ke arah satu komuniti untuk merealisasikan tema “Satu ASEAN di tengah Asia yang dinamik.”
UTUSAN: Apakah tumpuan pada sidang kemuncak kali ini?
SYED HAMID: Ada beberapa program yang mustahak. Satu, ialah menentukan pencapaian visi 2020 pada tahun 2015 untuk melahirkan satu masyarakat ASEAN. Ini dilihat akan tercapai antaranya dengan pengesahan Kerangka Kerja Komuniti Ekonomi ASEAN sebagai satu pemangkin pengintegrasian ASEAN.
Keduanya, Piagam ASEAN. Kita berharap ia akan disahkan pada sidang kemuncak ini bagi membolehkan kita melangkah setapak lagi menjadikan ASEAN satu organisasi yang lebih mantap dan mempunyai personaliti undang-undangnya tersendiri.
Bukan satu badan atau organisasi rantau yang berasaskan semata-mata kepada persefahaman, perjanjian tertentu tetapi mempunyai piagam yang menggariskan objektifnya, matlamat, tujuan dan bagaimana kita boleh mencapainya serta merangka kerjasama dengan pertubuhan rantau atau negara-negara lain.
Apakah signifikan piagam ini kepada ASEAN?
Saya fikir banyak negara lain akan berasa lebih yakin dengan ASEAN apabila mereka menandatangani perjanjian (treaty) persahabatan dan persefahaman. Dan apabila kita ambil persefahaman, asasnya ialah tidak ada campur tangan dan keganasan.
Jadi, ini bermakna ASEAN yang dulunya dilihat sebagai satu pertubuhan rantau yang tidak mempunyai ketahanan, kini sudah mantap.
Sebelum ini, kita tak fikir kita dapat lahirkan satu piagam. Kini, kita telah berjaya.
Bagaimana jika isu Myanmar mencuri perhatian atau mengalih tumpuan pada sidang kemuncak kali ini?
Saya fikir soal Myanmar tidak dapat kita elakkan. Myanmar adalah sebahagian daripada ASEAN dan memang kita hendak melihat jalan keluar dalam isu ini. Apakah peta tindakan atau road map Myanmar yang dirangka dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Memang pada awalnya kita hendak menyelesaikan masalah ini menggunakan formula ASEAN, tetapi Myanmar memilih untuk (menggunakan) PBB.
Sekarang, kebanyakan usul dan tekanan antarabangsa yang diterima oleh negara itu berada di luar kawalan ASEAN.
Kita tidak menolak ia akan menjadi perbincangan hangat tetapi kita mempunyai masih banyak lagi agenda – sosial, ekonomi, politik, keselamatan dan budaya – untuk melahirkan masyarakat ASEAN yang mempunyai kesepakatan dan kesepaduan.
Ya, kita ada masalah tetapi ia tidak seharusnya menghambat ataupun menghantui kita.
Melainkan tiada perkembangan baru dalam kerja-kerja yang dilakukan oleh Ibrahim Ghambari, penasihat khas Setiausaha Agung PBB ke Myanmar.
Tetapi tidakkah isu Myanmar memberi tekanan kepada ASEAN?
Tekanan ini datang daripada semua penjuru. Untuk ASEAN, tekanan ini menjadi lebih menyulitkan untuk mengatakan “Oh! kini, tidak cukup untuk ASEAN hanya untuk berikan pendapat atau suarakan pandangan. Mesti ada sesuatu tindakan konkrit.”
Bagi ASEAN, tidak ada tindakan konkrit lain yang perlu kita lakukan selain menggalakkan Myanmar untuk mengadakan hubungan yang konstruktif.
Jadi mungkin ada pihak yang tidak sabar dengan cara ASEAN tetapi kita tidak boleh mengabaikan anggota kita.
Ada desakan antarabangsa supaya ASEAN mengadakan sekatan ke atas kerajaan junta.
Kita tidak boleh mengadakan sekatan atau memboikot sesama anggota. Kita tidak percaya kepada pengasingan atau sekatan. ASEAN percaya kepada prinsip untuk mengadakan hubungan atau interaksi yang membina.
Kita kadang kala terperangkap dalam situasi. Adalah sangat malang jika ASEAN tiba-tiba memutuskan untuk meminggirkan negara anggota hanya kerana ia menghadapi masalah.
Kita perlu membantu untuk menyelesaikan dan memulihkan keyakinan (Myanmar). Bagi mereka memilih jalan rundingan sebagai cara penyelesaian dalam masalah dalaman.
Berubah
Tidakkah ini akan membuatkan dunia melihat ASEAN sebagai organisasi yang ‘hanya tahu bercakap tetapi tiada tindakan?’
Tidak boleh kata tiada tindakan langsung sebab usaha-usaha yang kita jalankan dengan negara China dan India untuk menggalakkan Myanmar melakukan perubahan mengikut modelnya sendiri.
Kita tak paksa Myanmar (tiru) model orang lain. Tetapi perlu ada tanda-tanda menunjukkan ia akan berubah.
Bagi kita, ASEAN bersatu dengan kesepakatan, lebih baik daripada ASEAN berpecah belah.
Apakah perbicaraan kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih yang sedang berlangsung di The Hague akan sedikit sebanyak memberi kesan kepada hubungan Malaysia-Singapura?
Saya fikir kita tak usah tengok isu hubungan berasaskan pertikaian. Kita membina hubungan dua hala berasaskan kepentingan jangka panjang. Jadi, pucuk pimpinan, parti dan kerajaan kita melihat kepada hubungan jangka panjang.
Saya yakin oleh kerana itu, hubungan Malaysia dan Singapura begitu baik dan menunjukkan banyak pemupukan kepercayaan dan keyakinan kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).
Benarkah hubungan tanpa konfrontasi ini berlaku baru-baru ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi?
Pendekatannya berbeza. Jadi, (Abdullah) melihat lebih baik mempunyai jiran yang kita tidak bermusuhan daripada senantiasa menggunakan masa untuk bertelagah.
Banyak manfaat yang kita peroleh jika tidak melihat hubungan dua hala semata-mata berasaskan isu.
Hubungan ekonomi dan pelaburan, pelancongan dan dasar langit terbuka yang membenarkan lebih banyak penerbangan ke Singapura dan dari republik itu ke beberapa destinasi di Malaysia menunjukkan perubahan pendekatan yang telah berlaku.
Ada pihak yang melihat hubungan baik Malaysia-Singapura membolehkan kedua-dua negara meneroka sektor lain, tetapi masalah yang menjadi isu tertangguh dua hala masih tidak dapat diselesaikan.
Saya fikir akhirnya kalau kita dapat membina keyakinan dalam hubungan yang mendatangkan manfaat di antara kedua-dua negara, mungkin perkara-perkara yang dianggap tidak dapat dirungkaikan masa lalu, dapat kita rungkaikan.
Oleh kerana ada lebih kemesraan, lebih keyakinan, tidak semata-mata melihat kepada keuntungan satu pihak tetapi lebih bersifat mutual, bersifat untung sama untung.
Jadi ini mungkin adalah satu pendekatan atau kaedah yang hendak digunakan untuk kedua-dua negara mengatasi segala yang negatif.
Apakah fokus Malaysia pada sidang kemuncak ini?
Kita berminat mengukuhkan hubungan kerjasama ekonomi dan mengambil kesempatan daripada kedinamikan ASEAN tanpa menolak kemunculan China dan India.
ASEAN perlu berubah membuat anjakan yang membolehkannya bersaing.
Bersaing lebih hebat, lebih rapat sebagai satu pasukan dengan satu integriti.
0 Komentar untuk "Merealisasikan satu ASEAN"