Murid cemerlang UPSR luar bandar patut diutama masuk asrama - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Murid cemerlang UPSR luar bandar patut diutama masuk asrama

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, semalam sekali lagi menunjukkan peningkatan memberangsangkan, termasuk pencapaian pelajar luar bandar. Peningkatan itu memberi petanda positif kepada perkembangan sistem pendidikan negara kerana ia membuktikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah. Kejayaan itu juga memberi keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pendidikan negara serta usaha dilaksanakan Kementerian Pelajaran. Lebih membanggakan, keputusan kali ini memperlihatkan lonjakan ketara bilangan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dan 7A, di samping peningkatan peratusan pelajar yang lulus semua subjek. Seramai 48,400 pelajar atau 9.7 peratus daripada 500,786 calon yang menduduki UPSR tahun ini memperoleh A bagi semua subjek berbanding 42,092 pelajar atau 8.5 peratus calon yang mendapat semua A, tahun lalu. Selain itu pencapaian peringkat A, B dan C bagi semua subjek melonjak melebihi 80 peratus kecuali Bahasa Inggeris yang mencatat 71.4 peratus.

Penambahan bilangan pelajar yang memperoleh 5A tahun ini sudah pasti menjadikan persaingan mendapat tempat di sekolah berasrama penuh (SBP) semakin sengit. Seperti diumumkan Kementerian Pelajaran baru-baru ini, bilangan yang memohon ke SBP mencecah hampir 100,000 pelajar, sedangkan tempat ditawarkan SBP di seluruh negara di sekitar 5,800. Mujurlah ada institusi pendidikan bukan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara dan Kolej Yayasan Saad (KYSM) di Melaka, turut memberi tempat kepada lulusan UPSR untuk memasuki sekolah bertaraf SBP, yang dijangka menawarkan 5,000 tempat.

Pengumuman sekolah kluster oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Mac lalu adalah langkah bijak kerajaan kerana ia mampu menjadi alternatif kepada pelajar cemerlang termasuk luar bandar untuk ditempatkan di sekolah bertaraf elit. Bagaimanapun, jumlah itu masih tidak mencukupi bagi menampung bilangan pelajar yang layak. Ini bermakna tidak semua pelajar cemerlang dijamin mendapat tempat di SBP atau setaraf.

Justeru, kita berharap Kementerian Pelajaran akan bersikap tegas dan terus berpegang kepada dasar pengambilan pelajar ke SBP dengan memberi keutamaan kepada pelajar miskin yang cemerlang akademik dan kokurikulum terutama dari luar bandar bagi memastikan pelajar berkenaan terus mengekalkan kecemerlangan sehingga ke peringkat menengah. Pembelajaran di luar bandar dengan kemudahan yang serba kekurangan tidak cukup untuk meningkatkan motivasi serta potensi pelajar berkenaan mengekalkan kecemerlangan untuk mereka berdepan dengan dua lagi peperiksaan penting pada peringkat menengah iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pelajar di bandar mempunyai pelbagai kemudahan pembelajaran dan pengajaran berkualiti serta pendedahan yang jauh lebih baik berbanding sekolah di luar bandar, walaupun sekolah itu bukan bertaraf SBP. Masalah kekurangan tempat di SBP bagi menampung bilangan pelajar cemerlang yang meningkat setiap tahun harus menjadi cabaran kepada Kementerian Pelajaran supaya mencari jalan bagi menempatkan mereka di sekolah lebih baik dan mempunyai reputasi cemerlang, sekiranya tiada cadangan menambah tempat di SBP. Apapun prestasi pelajar yang mendapat 5A harus dipantau sejak awal peringkat menengah kerana dikhuatiri mereka tidak dapat mengekalkan prestasi cemerlang mereka.
0 Komentar untuk "Murid cemerlang UPSR luar bandar patut diutama masuk asrama"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI