Bahana derita periuk api di Kemboja - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Bahana derita periuk api di Kemboja

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

POL Pot, ketua rejim pemerintahan Khmer Rouge di Kemboja pada sekitar tahun 1970-an, menyifatkan periuk api sebagai ‘askar paling sempurna’ lagi berkesan untuk membunuh atau menakut- nakutkan penduduk.

Ada juga yang memberinya lambang sebagai senjata paling kejam. Sebab ‘kekejamannya’ masih kekal dan ia berupaya mencabut nyawa selepas perang berakhir.

Periuk api juga disamakan sebagai pembunuh tersembunyi dan pembinasa anggota.

Dalam wawancara bersama Rae MacGrath, pengasas Kumpulan Penasihat Periuk Api (MAG) pada Julai lalu, beliau pernah memberikan angka yang boleh sahaja mencetuskan momok.

“Masih ada kira-kira 60 hingga 100 juta periuk api tertanam di perut bumi 70 buah negara, tanpa terkecuali Kemboja, yang merupakan antara negara paling banyak memiliki senjata pembunuh itu,” ujar MacGrath, juga seorang pemenang Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1997.

Selanjutnya, beliau menambah, terdapat kira-kira 40,000 orang yang kudung kaki akibat periuk api di Kemboja. Dengan penduduknya berjumlah 11.5 juta kita boleh menghitung kadarnya ialah dalam 290 orang, ada seorang yang menderita bahana periuk api.

Jumlah itu katanya, antara kadar yang paling tinggi di dunia.

Dalam laporan bulan Julai, Sistem Maklumat Mangsa Periuk Api/ Bahan Senjata Tidak Meletup Kemboja (Cambodia Mine/UXO Victim Information atau CMVIS) mendedahkan pula bahawa terdapat 22 mangsa baru direkodkan hasil daripada 15 insiden periuk api/UXO di lapan wilayah berasingan di Kemboja.

Daripada jumlah itu, 14 orang atau 63.6 peratus cedera atau terbunuh dalam sembilan kemalangan periuk api. Bakinya lapan atau 36 peratus mangsa mengalami kecederaan atau terbunuh dalam kemalangan UXO.

Di kalangan mereka yang cedera pula, sekurang-kurangnya seorang terpaksa dipotong kakinya selain menemui ajal.

“Daripada jumlah mangsa baru sebanyak 22 orang itu, sembilan adalah lelaki, dua wanita dan selebihnya 11 merupakan kanak-kanak,” menurut laporan bulanan CMVIS itu, yang dibekalkan kepada Utusan Malaysia oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Tambah laporan itu lagi, kebanyakan insiden berlaku di kawasan kampung iaitu sebanyak enam kes manakala di hutan mencatatkan tiga kes dengan lain-lain lokasi termasuk sawah padi (3); bukit (1) dan padang periuk api (1).

Kebanyakan mereka ini (mangsa) adalah golongan buruh dan petani selain pelajar sekolah dan kanak-kanak (lima orang).

Dalam hal ini, satu kajian terbaru mendapati bahawa lebih 40 peratus perkampungan di Kemboja mendepani masalah periuk api.

“Kemboja terjebak dalam perang cukup lama, lebih 20 tahun. Logiknya periuk api digunakan secara meluas, tertanam dan apabila sukar dijumpai untuk dibersihkan, ia telah tercemar,” ujar Sean Sutton daripada MAG seperti dipetik oleh BBC News.

Sementara itu, CMVIS turut merekodkan sehingga Julai 2007, jumlah mangsa periuk api di Kemboja mencecah 232 orang, satu rekod penurunan sebanyak 28 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu 320 orang.

CMVIS ialah projek oleh Palang Merah Kemboja (CRC) dan Handicap International Belgium (HIB) yang ditubuh bagi menyalurkan maklumat, analisis berterusan mengenai kemalangan jiwa yang menimpa orang awam dan tentera akibat periuk api, bahan tidak meletup dan saki-baki senjata perang di Kemboja.

Dalam pada itu, periuk api merupakan halangan terbesar terhadap pembangunan dan pembinaan semula sebuah negara.

Ia mempunyai kesan serius ke atas kualiti hidup kebanyakan rakyat. Kebanyakannya menjadi kudung, cacat dan tidak boleh bekerja untuk menyara hidup.

Namun ini tidak bermakna tiada esok bagi mangsa-mangsa periuk api. Walaupun telah kudung dan mengalami kecacatan, mereka tetap meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja sendiri, sesetengahnya dibantu oleh badan yang mempunyai kaitan dengan periuk api.

Dalam hal ini, ICRC ada cara untuk memulihkan hak kemanusiaan mereka yang direbut oleh senjata kejam seperti periuk api.

Program Pusat Pemulihan Semula Fizikal di Battambang dan Kompong Speu menjadi contohnya. Ia dibangunkan oleh ICRC pada tahun 1991.

Program berkenaan merangkumi pembinaan sebuah kilang yang letaknya di ibu kota Phnom Penh. Itulah satu-satunya kilang seumpamanya yang ada di negara anggota ASEAN itu. Kilang berkenaan menghasilkan komponen-komponen ortopedik. Selain itu program turut merangkumi dua pusat pemulihan fizikal serantau yang terdapat di Battambang dan Kompong Speu.

Program tersebut dibangunkan dengan persetujuan Kementerian Hal Ehwal Sosial, Veteran dan Pemulihan Semula Belia (MoSVY).

Kerajaan Kemboja dalam pada itu mengiktiraf tiga struktur ini dengan menggaji kira-kira 130 orang rekrut, kebanyakannya petugas MoSVY.

“Memandangkan komponen ortopedik ini diberikan percuma kepada semua pusat pemulihan fizikal di Kemboja, termasuk yang dikendalikan oleh pertubuhan lain, ia menjadi pusat di mana harapan diletakkan oleh mangsa-mangsa yang kudung kaki serta mereka yang mengalami masalah fizikal lain,” ujar kenyataan ICRC.

Sementara itu, bagi pusat pemulihan fizikal di Battambang dan Kompong Speu, para pesakit kebiasaannya melawat dan menghabiskan masa sekurang-kurangnya tiga hingga 20 hari di pusat berkenaan, bergantung kepada peralatan dan alat bantuan mereka perlukan.

Bentuk alat bantuan seperti tongkat dan kerusi roda diberi percuma kepada para pesakit.

ICRC kebiasaannya membiayai di antara 80 hingga 100 peratus kos perjalanan ke pusat itu, bergantung jika ia pertama kali atau sebaliknya.

Di situ, ICRC turut membantu dalam menganjurkan fisioterapi buat para pesakit.

Ini penting bagi memastikan para pesakit dan mangsa boleh berdikari, tanpa bergantung harap kepada orang lain dalam menentukan arah kehidupan mereka.

0 Komentar untuk "Bahana derita periuk api di Kemboja"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI