|
|
DHAKA 16 Nov. – Lebih 1,100 orang terkorban apabila Taufan Sidr melanda pantai selatan Bangladesh malam tadi, mencetuskan ombak setinggi lima meter yang memusnahkan tiga pekan tepi pantai dan memaksa hampir sejuta penduduk berpindah.
United News of Bangladesh melaporkan, kebanyakan daripada mangsa terkorban akibat dihempap runtuhan bangunan atau terkena serpihan barangan yang berterbangan.
“Angka kematian dijangka meningkat lebih tinggi apabila kami mendapat maklumat lanjut dari daerah-daerah terlibat,” kata pegawai di bilik kawalan Kementerian Bantuan dan Pengurusan Bencana, Nahid Sultana.
Pekan-pekan Patuakhali, Barguna dan Jhalakathi ditenggelami ombak besar itu malam tadi dan menyebabkan talian komunikasi terputus serta menyukarkan usaha menyelamat.
Seorang pegawai kerajaan di Dhaka berkata, belum ada maklumat mengenai bilangan sebenar kemalangan jiwa di kawasan yang terjejas itu.
Di kawasan lain, pegawai berkata, lebih 550 kematian telah pun disahkan manakala ratusan lagi cedera atau masih hilang berikutan taufan yang membawa angin selaju 250 kilometer sejam.
Taufan itu mencetuskan gelombang air laut yang menghanyutkan ratusan rumah usang, memusnahkan tanaman dan melemaskan ternakan di banyak kawasan pertanian yang terjejas itu.
Lebih 100 bot nelayan juga dilaporkan terperangkap dalam taufan itu dan gagal kembali ke pantai, sementara talian komunikasi dan bekalan elektrik terputus apabila pokok dan tiang elektrik tumbang.
“Seluruh negara ini boleh dikatakan bergelap,” kata seorang pegawai pengurusan bencana di Mongla, antara 15 daerah tepi pantai yang terjejas teruk akibat taufan tersebut.
Taufan Sidr kemudian reda dan merentasi pantai timur India tanpa menyebabkan banyak kerosakan, kata pegawai kaji cuaca hari ini.
– AFP
0 Komentar untuk "Taufan Sidr ragut lebih 1,100 nyawa -- * Hampir sejuta penduduk berpindah * Tiga pekan musnah"