Indonesia hilang pulau lagi? - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Indonesia hilang pulau lagi?

SEBUAH akhbar tempatan memuatkan berita pendek bahawa Malaysia dan Singapura sedang kecoh kerana sedang merebut tiga buah pulau di selatan Semenanjung.

Sebelum ini dilaporkan banyak pulau di wilayah Riau Indonesia ‘hilang’ kerana ditarah oleh pengusaha yang menjalankan aktiviti mengeksport dan menyeludup pasir ke Singapura untuk pembangunan negara berkenaan termasuk meluaskan wilayahnya.

Bagaimanapun Indonesia telah mengambil keputusan untuk mengharamkan penjualan pasir ke Singapura kerana aktiviti itu dikatakan menjejaskan alam sekitar di kepulauan Riau.

Namun yang agak menarik sekarang ialah kemungkinan 23 buah pulau di Indonesia bakal tenggelam dan hilang dari peta Indonesia disebabkan meningkatnya permukaan laut kesan daripada pencairan ais di puncak gunung dan di kawasan ‘benua ais’ akibat pemanasan global.

Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon baru-baru ini memberi amaran bahawa kemungkinan benua ais itu akan ‘tenggelam’ akibat pencairan ais hingga menaikkan paras air laut dan terjadinya banjir persisiran pantai dan kawasan rendah di beberapa negara dunia.

Namun fenomena itu tidak terlalu membimbangkan kerana pulau-pulau di perairan Indonesia yang bakal hilang itu tidak dihuni oleh manusia. Indonesia mempunyai lebih 17,000 pulau termasuk yang tidak bernama, tetapi sebahagian besar pulau kecil tidak didiami kerana kedudukan yang terpencil.

Selain Indonesia, negara kepulauan Maldives dan Vanuatu di Lautan Hindi juga dikhuatiri akan ‘lenyap’ akibat pemanasan global yang dijangka berlaku pada antara 15 hingga 20 tahun akan datang.

Seorang pakar alam sekitar, Prof. Dr. Emil Salim memberitahu satu seminar bahawa Indonesia masih mempunyai masa untuk menyelamatkan pulau-pulau yang dikatakan bakal hilang itu, iaitu dengan menghindari aktiviti pembalakan liar dan mengurangkan penerokaan hutan yang memberi kesan terhadap pemanasan global.

Mafia

Dalam erti kata yang sebenar, negara ini perlu menyelamat dan melindungi hutan yang sedia ada kerana Indonesia merupakan penyumbang kelima dunia (10 peratus) karbon oksida.

Bagaimanapun mampukah kegiatan pembalakan haram dan penerokaan hutan di negara yang memiliki hutan tropika kedua terbesar dunia (selepas Brazil) ini dikawal?

Keluasan hutan di Indonesia dilaporkan merosot dengan drastik pada tahun 2005 , iaitu hanya tinggal sekitar 70 juta hektar berbanding sekitar 92 juta hektar pada 2003.

Kebelakangan ini, kebanyakan media tempatan mempersoalkan pembebasan seorang mafia pembalak liar oleh mahkamah setelah pihak pendakwaan gagal untuk mengemukakan bukti terhadap lelaki itu. Lelaki itu yang diberkas di Beijing bagaimanapun lesap selepas dibebaskan dan polis kini sedang memburunya sekali untuk disiasat.

Kes itu menarik perhatian umum kerana ia dikaitkan dengan beberapa pihak terutama badan kehakiman dan pihak pendakwaan hingga Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengarahkan agar pelaku pembalakan liar itu dihukum.

Kes-kes pembalakan liar masih berlaku bukan sahaja di Sumatera tetapi di Kalimantan Tengah di mana kegiatan itu sering dikaitkan dengan birokrasi yang rasuah.

Pakar-pakar alam sekitar juga memberi amaran bahawa gelombang panas bukan sahaja memberi kesan kepada alam seperti curahan hujan berlebihan, ribut tropika, banjir dan kemarau, tetapi juga merebaknya pelbagai paten penyakit berjangkit serta perubahan sikap manusia sendiri.

Seorang pensyarah memberitahu, dalam kajian yang dijalankan wabak penyakit berjangkit yang berlaku di Indonesia mempunyai kaitan dengan perubahan iklim yang ekstrem masa kini yang sukar diduga bila akan berlaku dan bila akan berakhir.

Pemanasan global bukan sahaja memberi kesan kepada manusia tetapi ramai yang bakal hilang pekerjaan dalam industri perikanan, pelancongan dan pengangkutan. Ini bermakna kemiskinan rakyat di negara-negara maritim akan terus meningkat.

Kesatuan negara-negara kepulauan kecil baru-baru ini telah mengadakan pertemuan di Maldives untuk menyediakan resolusi bagi disampaikan pada Persidangan Perubahan Iklim ke-13 anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang akan berlangsung di Bali pada 3 hingga 14 Disember depan.

Di samping memiliki hutan tropika yang luas dan sebagai negara bakal menerima kesan secara langsung kesan perubahan cuaca, Indonesia sudah bersedia menjadi tuan rumah pada persidangan dianggap cukup penting dan bakal menjadi tumpuan dunia selain aktivis alam sekitar antarabangsa.

– Utusan

0 Komentar untuk "Indonesia hilang pulau lagi?"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI