Belanjawan Pas mendekati pilihan raya - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Belanjawan Pas mendekati pilihan raya

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB (WARTAWAN UTUSAN)

SEKIRANYA pilihan raya berlangsung dalam waktu terdekat seperti yang diramalkan umum, apakah usaha akhir kerajaan Pas Kelantan untuk meyakinkan rakyat agar terus memberi peluang kepadanya menerajui negeri ini?

Tentunya soal kemungkinan parti itu merancang mengadakan perhimpunan dan perarakan seperti yang disertainya di Kuala Lumpur baru-baru ini tidak akan berbangkit untuk diheret ke sini.

Ini kerana ia telah diberi peluang bertahan selama 18 tahun di bawah perjalanan pilihan raya yang didakwa penuh dengan ketidakadilan itu.

Cuma kini ia berhadapan keadaan yang semakin sukar diramalkan nasibnya termasuk oleh pencecer politik, setelah sokongan rakyat terhakis begitu teruk pada pilihan raya umum 2004 dan hampir tumbang dengan kelebihan dua kerusi.

Ketika itu Pas dikatakan hanya diselamatkan oleh satu dua kerusi tambahan yang turut diusahakan kemenangan kepadanya oleh kalangan ahli UMNO yang ‘mamai’ setelah kehilangan peluang dan kedudukan.

Keadaan itu menyedarkannya terhadap perlunya perubahan dari segi pendekatan, sehingga akhirnya ciri-ciri perbezaan dengan UMNO dibiarkan semakin menipis.

Dalam masa yang kian terbatas, belanjawan negeri 2008 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi mungkin suatu ruang yang menjadi keutamaan Pas untuk terus berusaha memenangi hati rakyat dengan cara yang lebih baik dan mesra.

Tentunya peruntukan pemberian kemudahan dan bantuan secara langsung kepada rakyat akan dilakukan secara lebih meluas, menyambung kepada Belanjawan Sejahtera 2007.

Pengerusi Jawatankuasa Pentabiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Husam Musa beberapa hari lalu memberitahu sepintas lalu bahawa projek penyediaan perumahan akan dilancarkan bagi golongan miskin dan tidak berkeupayaan.

Seorang pemerhati politik berkata: “Soal yang menyentuh aspek kebajikan rakyat mula jelas kelihatan digerakkan oleh kerajaan Pas sejak setahun dua ini, ketika para pemimpin UMNO dan kerajaan Barisan Nasional jauh mendepani usaha itu.

“Keadaan itu menyebabkan hubungan antara kerajaan Pas semakin menjauh ketika hal-hal yang menyentuh soal hidup rakyat setempat lebih dijuarai oleh kalangan pemimpin UMNO.”

Katanya, apatah lagi usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membawa perubahan menyeluruh bagi rakyat Kelantan dengan pendekatan yang mesra termasuk melalui program Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECER).

“Biarpun Pas kelihatan menyambutnya (ECER), tapi Pas pasti perlu menangkisnya dengan memberi gambaran kemungkinan-kemungkinan yang boleh meragukan rakyat dan tentunya soal itu akan dipanaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri kali ini,” ujarnya.

Tahun lalu, kerajaan Pas mula menggerakkan program armalah, kifalah yang berbentuk skim khairat dan bantuan bagi warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya di samping bantuan segera bagi mereka yang malang.

Apa yang dilakukan tentunya bagi memastikan aspek kebajikan, selain memberikan ‘pilihan’ syurga dan neraka kepada rakyat. Semua ini dibuat untuk mengimbangi dan tidak membiarkan peranan itu terus didahului oleh para pemimpin UMNO.

Dalam politik, ia pastinya melibatkan persaingan dalam memperlihatkan banyak kebaikan dan memberi harapan yang meyakinkan kepada rakyat dengan pelbagai cara agar hati mereka akan terus dimenangi.

Justeru kerajaan negeri telah mempamerkan kebaikan yang telah dibuat melalui pemasangan papan-papan tanda di sana sini dengan wajah para pemimpin Pas.

Ini termasuk cuti mingguan dua hari, cuti bersalin 60 hari, slogan bandar raya Islam, iklan papan tanda menutup aurat; kesemuanya tidak memerlukan perancangan panjang dan risiko kegagalan.

Justeru, apakah pendekatan akhir bagi kerajaan Pas dan sidang Dewan Undangan Negeri yang akan berlangsung mulai Selasa depan menarik untuk diperhatikan.

0 Komentar untuk "Belanjawan Pas mendekati pilihan raya"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI