Oleh AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)
KENYATAAN Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendakwa beliau tahu bila pilihan raya umum ke-12 akan diadakan sudah cukup untuk menjadi modal parti-parti politik terutamanya pembangkang untuk memperhangatkan lagi suasana yang dinanti-nantikan sejak awal tahun ini.
Paling utama, inilah masa untuk mereka mendapatkan permit mengadakan ceramah dan perhimpunan yang melibatkan orang ramai.
Sejak Sabtu minggu lepas, kita telah membaca dan menonton laporan bagaimana polis terpaksa meleraikan tunjuk perasaan di Dataran Merdeka, dan Istana Negara. Kemudian satu lagi perhimpunan haram berjaya disekat awal di Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Betulkah cara dan tindakan sesetengah ahli politik dan para penyokongnya mengambil pendekatan mengadakan perhimpunan hingga ia menjadi modal media asing untuk memberi gambaran negatif terhadap imej negara.
Tahniah kepada pihak yang tidak mengendahkan arahan polis supaya tidak mengadakan perhimpunan haram. Cita-cita mereka untuk menjejaskan reputasi pemimpin dan kerajaan di mata negara-negara Barat hampir berjaya.
Tindakan mereka nampaknya disambut oleh bekas wakil Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia Thierry Rommel. Kita berasa hairan bagaimana Rommel boleh mengatakan Malaysia kini dalam keadaan darurat berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan haram di Dataran Merdeka pada Sabtu lepas.
Kenyataan Rommel yang disiarkan melalui agensi berita antarabangsa kemungkinan besar dibaca dan dipetik oleh media asing dan seterusnya memberi tanggapan negatif kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara ini.
Dalam kesibukan pihak yang tidak sabar-sabar untuk bertanding dalam pilihan raya umum dan mahu menuntut kebenaran menganjurkan perhimpunan, mereka perlu memahami juga tanggungjawab kerajaan yang mengutamakan keamanan, kestabilan dan kepentingan awam.
Jika pihak polis berasa tidak perlu diadakan perhimpunan, patuhi sahaja arahan kerana ada sebab larangan itu dibuat. Dalam suasana perhimpunan umum, apa-apa sahaja boleh terjadi.
Memandangkan tarikh pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri belum diumumkan, maka parti-parti politik tidak perlu berkempen lagi.
Di Malaysia, parti politik tidak perlu bimbang tentang peluang berkempen. Tiba musim pilihan raya umum mereka bebas merayu undi kerana pilihan raya negara kita berlangsung dalam suasana aman dan selamat.
Tetapi sejak dahulu lagi, sesetengah pihak terutama parti-parti pembangkang kerap mempersoalkan aspek keadilan dan ketelusan SPR.
Orang mempunyai bermacam-macam agenda. Tetapi pilihan raya Malaysia yang telah dijalankan selama ini memperlihatkan satu rekod yang baik.
Memang ada pihak mempersoalkan kredibiliti SPR. Tetapi SPR adalah milik rakyat. Pemupukan SPR menjadi badan yang kukuh, kuat dan telus sebagaimana yang diperlukan oleh undang-undang bukan bergantung pada orang dalam SPR sahaja. Ia juga bergantung pada masyarakat, kerajaan dan badan bukan kerajaan.
Untuk mempunyai sebuah badan pilihan raya yang bebas, SPR perlu mendapat sokongan. Perkara yang paling penting ialah keyakinan orang ramai.
Kita kena percaya pada SPR dan meletakkan keyakinan pada sistem pilihan raya kita. Kalau kita tidak ada keyakinan pada sistem dan pengendaliannya, seluruh sistem akan terjejas.
Ketidakpercayaan pada sistem dan institusi adalah sesuatu yang tidak baik. Kita maju selama ini adalah kerana kita percaya pada sistem yang ada.
Kita telah menjalani sebelas kali pilihan raya umum. Dalam tempoh yang panjang itu, kita telah saksikan pihak pembangkang gemar menimbulkan keraguan terhadap SPR.
Akhirnya cadangan supaya digunakan dakwat pada jari pengundi ditunaikan.
Kita hairan mengapa SPR terus menjadi sasaran pembangkang sedangkan pilihan raya umum merupakan medan pertandingan antara parti-parti politik.
Pembangkang seolah-olah menganggap SPR sebagai musuh mereka. Lupakah mereka bahawa badan ini yang telah menguruskan pilihan raya dengan adil hingga pembangkang bertapak memimpin negeri-negeri tertentu.
Ingatlah bahawa perhimpunan besar-besaran parti-parti politik tidak semestinya menjamin kekuatan sokongan sebenar daripada rakyat. Banyak yang menghadiri perhimpunan atau ceramah kempen cuma berminat untuk mendengar hujah ‘tukang karut’ yang bijak bermain kata-kata.
Kalau benar, parti pembangkang hendak menarik perhatian rakyat, tunggulah tarikh pengumuman pilihan raya umum. Sebelum tiba tarikh itu, jangan ganggu perjalanan hidup rakyat.
0 Komentar untuk "Tunggu tarikh pilihan raya dengan sabar"