Kecewa dengan Fatah, tubuh parti baru - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kecewa dengan Fatah, tubuh parti baru

RAMALLAH 16 Nov. – Beratus-ratus ahli perniagaan dan tenaga profesional Palestin yang diketuai oleh seorang bilionair berpengaruh melancarkan sebuah pergerakan politik baru semalam.

Tindakan mereka mencerminkan rasa kecewa yang semakin mendalam terhadap Parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas.

Fatah mendominasi politik Palestin sejak berdekad lalu tetapi gagal membersihkan imej rasuahnya sekalipun setelah tewas kepada Hamas pada pilihan raya Parlimen hampir dua tahun lalu.

Bilionair Munib al-Masri, 73, melancarkan pergerakan “Forum Palestin” beliau semalam dengan mengadakan mesyuarat menerusi persidangan video di sini dan Bandar Gaza.

Penyokong berkata, beliau akan menukar pergerakan itu menjadi sebuah parti politik dan meletakkan calon dalam pilihan raya Palestin akan datang.

“Kerana prihatin dengan nasib rakyat Palestin, saya terdorong untuk membentuk sebuah badan demokratik nasional yang mengambil berat tentang rakyat.

“Situasi sekarang sangat getir, perjuangan kebangsaan semakin luntur dan rakyat semakin kecewa,” kata Munib.

Beliau yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat (AS) mengetuai sebuah syarikat pelaburan yang menguasai sektor telekomunikasi selain memiliki kepentingan dalam industri, pertanian, pelancongan dan perbankan.

Kepimpinan beliau menarik sokongan golongan elit dan menengah di Tebing Barat iaitu mereka yang mahu melindungi pelaburan dan perniagaan mereka dalam situasi politik yang kacau-bilau.

Fatah dan Hamas terikat dalam pertarungan kuasa sengit sejak tersingkirnya Fatah daripada tampuk kuasa dalam pilihan raya 2006.

Pada Jun lalu, Hamas menawan Genting Gaza, memaksa Mahmoud memecat kerajaan pimpinan Hamas dan melantik kerajaan beliau sendiri yang sebenarnya hanya berkuasa di Tebing Barat.

Tinjauan terbaru mendapati satu pertiga daripada rakyat tidak menaruh keyakinan terhadap kedua-dua parti.

Munib berkata, beliau merancang mengisi kekosongan itu dengan menekankan program ekonomi, pendidikan dan kebajikan untuk golongan miskin selain cuba menyatukan semula Tebing Barat dan Genting Gaza.

– AP

0 Komentar untuk "Kecewa dengan Fatah, tubuh parti baru"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI