Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002)
BAGI sesetengah ahli politik, selesainya Perhimpunan Agung Tahunan Umno minggu lalu bermakna bermulanya musim melobi untuk mengetengahkan diri sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Lobi-melobi perkara biasa dalam dunia politik. Tidak salah untuk mempromosi diri. Apa yang salah ialah sekiranya dalam proses melobi itu, ada yang memfitnah orang lain. Contohnya, seorang pemimpin parti peringkat tempatan yang disebut-sebut wajar dicalonkan bertanding difitnah kononnya tidak mempunyai pekerjaan dan ditanggung isterinya sedangkan beliau mengetuai sebuah perniagaan di ibu kota.
Fitnah sebenarnya boleh memporak-perandakan parti, politik dan masyarakat. Pemfitnah lazimnya tidak mempunyai apa-apa kekuatan diri berbanding orang yang difitnah. Pemfitnah kurang ilmu, kepemimpinan dan ketokohan berbanding orang yang difitnah. Maka, cara yang paling mudah dan murahan - ialah menjatuhkan orang lain dengan memfitnahnya.
Fitnah adalah perbuatan tidak berintegriti - malahan kotor apatah lagi jika ia tidak berasas sama sekali. Dalam konteks mempromosi integriti politik, maka perlu dianjurkan politik hikmah sebagai alternatif yang positif kepada politik fitnah yang negatif.
Politik hikmah adalah politik di mana kearifan ilmu dan kebijaksanaan digunakan dalam berpolitik. Maknanya, politik hikmah menjadi panduan dalam urusan politik. Seseorang politikus harus menggunakan pendekatan berhikmah lagi berhemah supaya tidak terlalu gelojoh dalam pergelutan menaiki hierarki parti atau memenangi pilihan raya. Cara ini juga dapat mengelakkan daripada difitnah.
Dua keadaan yang sering menimbulkan kesuburan politik fitnah ialah apabila politik kita bersifat terlalu partisan dan terlalu adversarial. Politik terlalu partisan ialah di mana dalam apa jua keadaan, sesuatu pihak atau parti tetap akan menyatakan dirinya betul dan pihak lawannya salah, walaupun fakta atau realiti menyatakan sebaliknya. Ia memungkinkan individu atau parti membenarkan yang salah atau menyalahkan yang benar semata-mata kerana sifat partisannya.
Politik terlalu partisan mungkin menguntungkan seseorang politikus atau sesebuah parti. Si politikus dan parti itu akan disanjung dan disokong pengikutnya yang menganggapnya wira kerana sentiasa mempertahankan pihaknya, iaitu dalam apa keadaan sekalipun.
Politik terlalu adversarial pula ialah sesuatu pihak atau parti mengambil pendekatan terlalu keras terhadap lawannya sehingga menjadi bermusuh dan tidak lagi bertanding. Bertanding bermakna kita bersifat sporting, iaitu kalaupun kalah, namun kita masih boleh berkawan. Tetapi, bermusuh lain halnya. Ia membawa konotasi sentiasa berlawan, seolah-olah tiada hentinya.
Seperti juga halnya dalam politik yang terlalu partisan, politik yang terlalu adversarial, jika terbawa-bawa, ia hanya menguntungkan sesetengah politikus dan parti saja.
Dalam keadaan yang terlalu adversarial, sesuatu pihak sentiasa mencari peluang untuk berlawan. Kalau diibaratkan membaca kitab, ayat yang dibacanya adalah ayat mengenai peperangan saja. Ayat mengenai perdamaian tidak disentuh. Hatta, jika ada yang meminta maaf kepadanya pun tidak akan dimaafkan.
Politik hikmah akan menolak politik yang terlalu partisan dan terlalu adversarial. Ia akan mencari persefahaman. Ia tidak akan sentiasa berlawan. Apabila kepentingan rakyat atau politik untuk semua menjadi lebih penting daripada kepentingan politik individu atau kepartian, maka ia bersedia menjadi nonpartisan dan ia bersedia menjadi kawan.
Politik hikmah adalah juga mengenai seruan atau ajakan terhadap gagasan politik yang dipegang seseorang atau sesebuah parti. Dalam konteks ini, pendekatan yang paling mudah untuk menyeru orang kepada gagasan politik ialah dengan memburukkan gagasan orang lain. Pendekatan ini kelihatan diguna pakai sesetengah parti politik kita, hatta oleh parti yang mempunyai label yang murni sekalipun pada namanya.
Sebenarnya, pendekatan politik fitnah ini sudah lama bertapak, contohnya ialah sejak zaman Rasulullah SAW lagi, iaitu seperti yang digunakan oleh musuh Baginda. Gagasan tauhid yang didakwah oleh Baginda didakyah oleh musuh sebagai ajaran sesat.
Tetapi, Rasulullah tidak menggunakan pendekatan yang sama, iaitu politik fitnah, untuk membalas serangan musuh. Sebaliknya, baginda menggunakan politik hikmah, iaitu menyeru semua, termasuk musuh, dengan kebijaksanaan, dengan pengajaran dan contoh yang baik dan dengan perbahasan dan hujah yang lebih baik.
Kesannya, seperti yang tercatat dalam Sirah Rasulullah dan sejarah semasa ialah Islam suatu gagasan yang didakwah oleh Baginda, diakui, dianuti dan hayati hingga ke hari ini.
Dalam politik, terutama di kalangan anak pemuda amat mudah untuk menjadi teruja lalu tergelincir daripada pendekatan hikmah. Justeru, ada baik sekiranya kita mengingatkan diri mengenai kata-kata hikmat: “Tidaklah kehebatan seorang panglima itu bergantung kepada berapa banyak kepala musuh yang dipenggalnya, tetapi adalah berapa banyak musuh yang dapat dijadikan kawan”.
Rasulullah SAW, panglima perang yang hebat, tetapi selepas memenangi sebuah peperangan, Baginda pernah menangis kerana menginsafi bahawa umat Baginda akan berhadapan dengan perang lebih besar, iaitu perang melawan hawa nafsu. Hawa nafsu akan mendorong politik fitnah. Tetapi kekayaan ilmu akan mendorong politik hikmah. Politik fitnah adalah kematian integriti. Sebaliknya, politik hikmah adalah semaian integriti.
Amalan politik hikmah dapat dilihat apabila seseorang atau sesebuah parti memegang kuasa. Kuasa seharusnya digunakan untuk merancang, melaksana, memantau, menilai dan menambah baik pembangunan bangsa dan negara kerana kuasa adalah amanah.
Justeru, yang berkuasa perlu berusaha sedaya upaya berbuat baik. Ia mungkin menemui beberapa rintangan, tetapi tidak suka menudingkan jari dengan memfitnah pihak lain sebagai ingin menggagalkan perbuatannya. Sebaliknya, ia akan tetap dan terus komited memikul amanah itu dengan sebaik-baiknya.
Berbeza halnya dengan yang berpegang kepada politik fitnah. Pantang saja berhadapan dengan rintangan, yang adakalanya timbul akibat kelemahan diri sendiri, tetapi, umpama jerat yang mengena mangsanya, ia akan segera bingkas memfitnah bahawa ada pihak yang lain yang sengaja ingin menggagalkan perbuatannya - sedangkan hakikatnya ia tidak berbuat apa-apapun.
Terdahulu, kolum ini membincangkan kepentingan politik ilmu dan bukannya politik ampu sebagai teras bagi politik berintegriti. Tetapi, atas kedudukan hikmah adalah lebih tinggi daripada ilmu, maka politikus tidak cukup sekiranya hanya berilmu. Mereka mesti memburu dan memiliki politik hikmah.
Jika inginkan sokongan rakyat, maka integriti politik mesti dipertingkat. Satu daripada caranya ialah dengan mengamalkan politik hikmah, bukannya politik fitnah.
BERITA INFORMASI TERKINI
ISU SEMASA
LIKE FACEBOOK
Networkedblogs
Popular Posts
-
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm SAYA dapati da...
-
OPENING speech by the agent of Malaysia at the International Court of Justice on the question of Sovereignty over Pedra Branca/Pulau Batu Pu...
-
KUALA LUMPUR: Festival fans can finally breathe easy as Livescape Asia today announced the full line-up of acts wired to take ove...
-
Zarina sudah berpunya Ketika mengadakan sesi fotografi dengan Pancaindera Selasa lalu,Zarina, bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF...
-
TIMELINE SEJARAH TAMADUN DUNIA & RASUL BERDASARKAN KITAB WAHYU PERMULAAN ZAMAN NEOLITIK - ZAMAN MANUSIA MODEN 4000 SM - NABI ADAM AS (...
-
SHAH ALAM - Berikut ialah intipati Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di...
-
Nik Aziz tak wajar debat keputusan Majlis Fatwa KUALALUMPUR: Keputusan Majlis Fatwa sudah jelas dan sebarang rasa tidak puasha...
-
15 OKT — Nampaknya perempuan yang tidak memakai tudung di Malaysia sudah menjadi spesies yang terancam. Soalnya diancam oleh apa dan siap...
-
Oleh ABD. AZIZ ITAR (WARTAWAN UTUSAN) SKRIP merupakan elemen yang paling penting untuk menarik para penonton menghayati sesebuah jalan ceri...
-
SUBANG JAYA: Walaupun PAS memutuskan untuk tidak menyertai sidang meja bulat bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahli Parlimen P...
BERITA HARI INI
Facebook Badge
Followers
Search This Blog
Popular Posts
-
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MemahamikepentinganKWSPdanPerkeso/Article/index Oleh Mohd Yahya Mohamed Ariffin mohdyma@um.ed...
-
PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin telah menyatakan pandangannya tentang lelaki dan wanita bukan muhrim yang bersalaman, selepas gambar...
-
Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi berkata, perbincangan beliau bersama Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali pagi tadi bukan mengen...
-
KUALA LUMPUR: "Mahkamah ini sangat kecewa dengan sikap tertuduh, orang bijak pandai, lulusan universiti, sepatutnya menjadi kebang...
-
TAHNIAH TUN!!!! Kerana berjaya mendidik anak angkat sehinga menempa kejayaan sebegini Patut la Tun marah sangat bila kerajaan nak halang jua...
-
PETALING JAYA: Aktivis Syed Azmi AlHabshi hari ini menegur Pemuda PAS kerana terlalu menumpukan perhatian kepada pengharaman alkohol da...
-
OPENING speech by the agent of Malaysia at the International Court of Justice on the question of Sovereignty over Pedra Branca/Pulau Batu Pu...
-
PUTRAJAYA: "Semuanya terpulang kepada kepimpinan PAS sama ada mahu kembali kepada Umno," kata Setiausaha Agung Umno Datuk S...
-
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengajak Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, PAS dan Amanah menerima hak...
-
SHAH ALAM: PAS bertekad tidak akan menyerahkan kerusi Parlimen yang parti itu menangi pada pilihan raya umum (PRU) lalu kepada rakan pe...
THE BEST BLOG
THE BEST BLOG 2
MY TOP BEST WEB
BLOGGER POLITIK
BLOG
POLITIKUS
- Azmin Ali
- Datin Ismalina Ismail
- Dato' Haji Mahfuz Omar
- Dato' Ir. Haji Idris Haji Haron
- Dato' Saifuddin Abdullah
- Dato' Seri Dr. Mohd Khir Toyo
- Dato' Seri Haji Abd Hadi Awang
- Datuk Mukhriz Mahathir
- Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Datuk Seri Haji Mohd Ali Rustam
- Datuk Seri Mohd Khaled Nordin
- Datuk Shahrir Abdul Samad
- Kelab Maya Tun Dr. Mahathir
- Lim Kit Siang
- Mylangkawi Politik
- Nurul Izzah Anwar
- Najib Tun Abdul Razak
- PAS Kawasan Bangi
- PKR Langkawi
- Shamsul Iskandar Mohd Akin
- Tan Sri Sanusi Junid
- Tok Guru Nik Aziz
- Tun Dr. Mahathir Mohamad
- Umno Bahagian Langkawi
- Zulkifli Noordin
0 Komentar untuk "Politik hikmah suburkan integriti"