Benazir tolak kerajaan sementara Pervez - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Benazir tolak kerajaan sementara Pervez


Mohammadmian Soomro.

LAHORE 16 Nov. – Pemimpin pembangkang, Benazir Bhutto hari ini menolak kerajaan sementara yang dilantik oleh Presiden Pervez Musharraf semalam sebagai sesuatu yang “tidak boleh diterima” sama sekali.

Benazir menyuarakan pendirian itu dalam kenyataan pertamanya sejak dibebaskan daripada tahanan di rumah awal hari ini.

“Kerajaan sementara ini hanyalah lanjutan daripada PML-Q dan tidak boleh diterima.

“Kami tidak akan berunding dengan diktator kerana agenda kami ialah demokrasi,” katanya merujuk kepada parti pemerintah pimpinan Pervez.

Presiden sebelum itu mengetuai upacara angkat sumpah kerajaan sementara pimpinan Mohammedmian Soomro yang akan mentadbir negara bagi menghadapi pilihan raya umum yang dijadual pada awal Januari ini.

Benazir turut berjanji untuk memperhebatkan kempen bagi menyingkirkan Presiden.

“Kami sedang mengusahakan revolusi rakyat dan menamatkan pemerintahan diktator dengan kuasa rakyat kerana kuasa rakyat mampu menggerakkan gunung,” ujar beliau.

Pelantikan Mohammedmian yang merupakan Pengerusi Senat dan sekutu rapat Pervez itu turut dikecam oleh parti pembangkang lain.

“Kami menolaknya sama sekali kerana pelantikan itu sebenarnya sebahagian rancangan Pervez untuk meneruskan kuasanya,’’ kata Mushahidullah Khan, Naib Presiden parti bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif.

Benazir telah ditahan di sebuah kediaman di bandar ini untuk menghalangnya daripada mengetuai rapat umum prodemokrasi bagi memprotes perintah darurat.

Sejurus selepas perintah tahanan itu ditarik balik awal pagi ini, pegawai penjara kelihatan meninggalkan kediaman tersebut.

Bagaimanapun, beberapa ratus anggota polis yang memakai jaket kalis peluru dan bersenjatakan raifal gempur dan belantan membarisi jalan dan tidak membenarkan sesiapa termasuk anggota parti Benazir melepasi sekatan.

“Kerajaan sudah menarik balik perintah tahanan ke atas Benazir dan mulai sekarang, beliau bebas untuk bergerak ke mana sahaja beliau suka,” kata Ketua Polis Lahore, Aftab Cheema.

– Agensi

0 Komentar untuk "Benazir tolak kerajaan sementara Pervez"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI