PERKEMBANGAN krisis di Pakistan tidak menunjukkan tanda-tanda surut walaupun telah menjadi gelombang ganas untuk tempoh yang agak panjang.
Dapat difahami betapa indeks kesengsaraan yang dialami rakyat Pakistan, tentunya tidak pernah turun sejak konflik bermula secara rasmi di negara Asia Selatan tersebut, dua bulan lalu, dengan kocak kecil bermula lebih awal daripada itu.
Apa yang berlaku, dilapor. Apa yang dilapor, itulah dibaca, oleh masyarakat di Pakistan atau masyarakat di seluruh dunia, termasuk warga dari negara itu yang tidak tinggal di Pakistan.
Begitu banyak yang terjadi dan berlaku di Pakistan, ia mencetuskan rasa bimbang yang bukan sedikit peratusannya.
Namun kalau dibilang satu persatu, akar masalah itu bermula daripada tindakan Presiden, Jeneral Pervez Musharraf. Maka, hanya Presiden yang tahu hala tuju ‘pucuk’ dan ‘batang’ pokok.
Tetapi semakin ia berpanjangan, krisis, pergolakan atau perkembangan di Pakistan itu menonjolkan satu perkara yang jelas.
Semakin Presiden Pakistan berdegil, semakin ramai nyawa dituntut. Semakin nyawa melayang, kian tidak baik untuk atmosfera negara serta pemimpin.
Dan jelas sekali, pada setiap hari keengganan Pervez menarik balik perintah darurat yang dikeluarkannya baru-baru ini serta memulihkan semula perlembagaan negara, harganya ialah ia mendatangkan pusingan baru kepada sebuah laporan yang cukup mengganggu – peguam bela dibelasah, wartawan ditangkap; bekas pemimpin dihumban ke tahanan dalam rumah; aktivis pembangkang diberkas dan sebagainya.
Segala macam sisi negatif laporan itu sudah tentu bukan perkara yang baik buat Pakistan, tentunya untuk Pervez juga.
Tetapi laporan terbaru menyebut bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto telah dibebaskan daripada tahanan dalam rumah, selepas dikenakan arahan itu kelmarin.
Lebih daripada itu, perhimpunan menuntut demokrasi dipatahkan oleh konco-konco tentera Pervez - satu lagi tindakan yang bukan bijak ke arah sebuah negara bagi menuju jalan kestabilan.
Pada lapis lain, semua itu tidak memberikan lukisan yang indah, sebaliknya ketakutan semata-mata, buat masyarakat Pakistan yang berada di luar negara.
Ini kerana mereka mengikuti dengan rapat setiap perkembangan di Pakistan, tidak terkecuali tindak-tanduk Pervez dan para pembangkang kerana dua struktur ini memberi corak buat landskap Pakistan.
‘‘Setiap hari saya diburu perasaan takut dan khuatir. Keluarga saya masih di Islamabad, saya bimbang jika mereka menjadi mangsa protes jalanan. Mogok yang berjalan hampir setiap hari tidak memungkinkan keluarga saya keluar mencari rezeki dengan membuka restoran di ibu kota,” luah seorang rakyat Pakistan yang tinggal di Malaysia, Kamran Khan Babar,39, kepada Utusan Malaysia.
Kata Kamran, yang menjual tudung dan pelbagai jenis tekstil di ibu negara, hatinya sentiasa cemas semasa menonton berita di kaca televisyen tentang politik di Pakistan.
Beliau bagaimanapun enggan berkongsi pendapat atau sebarang pandangan apabila dilontar pertanyaan wajar atau tidak Pervez meletak jawatan bagi memberi laluan kepada sebuah amalan demokrasi di Pakistan.
Tetapi beliau bersetuju dengan satu perkara. Pakistan perlu berubah, dan perubahan itu perlu dirintis sendiri oleh pemimpin yang ada sekarang, bukan pihak lain.
‘‘Rakyat memberontak bersebab. Punca kepada protes itu yang harus diterokai oleh pemimpin. Hanya kerana mahu menjaga satu kerusi, tetapi kedudukan nyawa dan denyut yang lain-lain didagangkan, itu tidak berbaloi sama sekali,’’ ujar beliau.
Pandangan itu turut dikongsi oleh pelajar Pakistan, Shabaz Khan,20.
Pelajar institusi pengajian tinggi awam tempatan ini mengakui sentiasa tidak senang duduk ketika menatap berita-berita mengenai Pakistan, yang dibacanya setiap hari tanpa jemu.
Kesetiaan itu bertitik-tolak kerana adanya hubungan keluarga yang masih bersambung di sana.
Bimbang
‘‘Keluarga saya seorang profesional, pensyarah di sebuah universiti. Mereka pernah menyuarakan rasa bimbang dengan perkembangan demi perkembangan yang berlaku di Pakistan. Ia tidak menyenangkan, sebaliknya menyusahkan mereka dalam urusan seharian.’’
Pelajar ini turut bersetuju bahawa apa yang berlaku sekarang menunjukkan Pakistan sangat ‘sakit’ dan kesakitan itu tidak merencat pertumbuhan ekonomi negara berkenaan.
Sementara itu, berita mengenai Pakistan cukup banyak, hampir saban hari mendominasi akhbar, televisyen dan agensi berita, semuanya tentang negatif _ pemberontakan, tangkapan, kedegilan dan gila kuasa para pemimpinnya.
Alangkah rindu dan teruja untuk sekurang-kurangnya menatap tajuk berita yang diberi judul begini sebagai contoh : ‘‘Keadaan di Pakistan pulih’’ atau ‘‘Rakyat berhenti mogok - beri sokongan padu kepada kerajaan.’’
Dilaporkan kini Benazir mahu pula berpakat dan berkongsi kuasa dengan bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif, yang hidup dalam buangan di Arab Saudi.
Benazir, yang mempimpin parti pembangkang utama di Pakistan, Parti Rakyat Pakistan (PPP) sebelum ini dilaporkan mahu berkongsi kuasa dengan Pervez.
Laporan terkini juga menyebut, Perdana Menteri baru, Mohammadmian Soomro, sekutu rapat Pervez mengangkat sumpah jawatan bagi mengetuai sebuah kerajaan sementara, susulan Parlimen yang dibubar baru-baru ini, sebagai lorong kepada sebuah pilihan raya selewat-lewatnya 9 Januari depan.
Dalam mengambil kira luahan dua rakyat Pakistan di luar negara dan kebimbangan masyarakat dunia, ada beberapa perkara perlu disampaikan kepada Pervez.
Dengan kata lain, pemimpin itu perlu menangkap pesan daripada rakyat dan masyarakat antarabangsa ini kalau mahu Pakistan aman, stabil dan mengamalkan demokrasi.
Dan pesan itu sudah pasti – majoriti rakyat Pakistan tentunya sudah bosan dihidangkan dengan berita mogok, dibelasah anggota tentera kerana terlibat dalam tunjuk perasaan. Mereka juga seboleh-bolehnya mahu memekakkan telinga daripada menerima laungan protes menjadi halwa deria pendengaran.
Jawapan kepada masalah politik di Pakistan cukup terbentang. Ia ada pada Pervez, beliau adalah kuncinya.
Simpang-siur politik Pakistan ini cukup mencemaskan, sesuatu perlu dilakukan. Sesuatu itu telah ditunjukkan, cuma barangkali Pervez pura-pura tidak tahu atau nampak jalan yang disuluh.
Pesan dan rayuan masyarakat Pakistan dari luar negara yang berakhir di sini tidak akan ke mana-mana jika Pervez tetap memekakkan telinga dan membutakan hatinya.
– AZLINARIAH ABDULLAH
0 Komentar untuk "Pesanan rakyat Pakistan"