Titiek Puspa masih "kencang" di usia 70 - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Titiek Puspa masih "kencang" di usia 70

Daripada: SOPHA SULAIMAN (JAKARTA)

WAJAHNYA masih jelita, anggun dan bergaya. Masih boleh menyanyi dan mencipta lagu walaupun sudah bergelar nenek kepada 14 orang cucu.

Itulah kehebatan yang dikurniakan Tuhan kepada penyanyi dan pelakon Titiek Puspa, legenda yang mengabdikan diri kepada dunia seni selama 53 tahun.

Nenek yang nama asalnya Sumarti kini sudah berusia 70 tahun dan masih “kencang”. Titiek Puspa baru menyambut ulang tahun kelahirannya pada 1 November lalu.

Beliau adalah penyanyi lintas generasi daripada zaman Presiden pertama Indonesia, Sukarno hingga Presiden ke-6, Susilo Bambang Yudhoyono. Mula menyanyi di atas pohon jambu hingga ke pentas antarabangsa.

Bagaimanapun apa yang ingin diketahui ramai ialah rahsia Titiek Puspa mengekalkan kejelitaannya.

“Orang kata, saya pernah operasi wajah. Mereka boleh suruh mana-mana doktor datang memeriksanya untuk membuktikan adakah perubahan atau tidak pada saraf dan kulit saya, silakan,” kata Titiek ketika ditemu bual oleh Mingguan Malaysia di Wisma Puspa, pejabat penyanyi itu di Pancoran, Jakarta Selatan baru-baru ini.

“Saya tidak menafikan masih mengamalkan jamu-jamu tradisional dan melakukan perawatan diri secara tradisi. Kalau di Indonesia ada Pancasila, saya pula ada panca usaha sendiri dalam mengatur kehidupan seharian, makan, tidur dan bekerja di samping tidak lupa beristirahat,” kata Titiek Puspa.

Penyanyi itu yang kini turut menjalankan perniagaan sajian makanan menjaga tubuh agar sentiasa bugar dengan melakukan senaman setiap hari sampai sekarang.

Semuanya dilakukan dengan kesabaran di samping bersyukur kepada Tuhan kerana memanjang usianya. Sebagai mensyukuri kurniaan Tuhan itu, Titiek Puspa menyambut hari jadinya baru-baru ini dengan berpuasa sunat selama 70 hari, menanam 70 batang pokok serta melancarkan album barunya Terima Kasih Tuhan.

Dalam meniti kerjayanya dalam bidang seni suara, pencipta dan pelakon filem, Titiek Puspa menyifatkan dirinya sebagai artis paling bodoh di dunia.

“Saya tidak tahu bermain alat muzik dan buta note lagu, tetapi anehnya saya boleh menyanyi dan mencipta lagu. Ini semua kurniaan Tuhan kepada hamba-

Nya,” ujar penyanyi yang mula menyanyi ketika berusia 16 tahun selepas berjaya di pertandingan akhir bintang radio melalui lagu ciptaan Ismail Marzuki berjudul Candra Buana.

Titiek Puspa, turut berterima kasih kerana masih ramai mahu menikmati lagu dan mengundang beliau membuat persembahan serta menjadi tamu stesen-stesen televisyen.

“Saya menghargai kepada semuanya kerana masih mahu mengundang nenek yang sudah tua ini,” kata Titiek Puspa yang gemar bercanda dalam pertemuan lebih sejam itu.

Titiek Puspa menceritakan ketika berusia 35 tahun dia merancang berhenti menyanyi tetapi tidak jadi. Ketika berusia 50 tahun, beliau bertekad untuk bersara tetapi membatalkannya kerana ramai yang masih meminta dan mengundangnya menyanyi.

Bagaimanapun kata penyanyi yang mengagumi seniman Tan Sri P. Ramlee dan Datin Seri Siti Nurhaliza, penyanyi sekarang bertuah kerana mempunyai pelbagai prasarana dan terserah cara mereka mengurusnya.

“Saya tidak mahu menasihat mereka kerana saya hanya seorang penyanyi yang bodoh... Bagaimanapun saya tetap menghormati dan kagum dengan penyanyi muda sekarang kerana mempunyai berbagai-bagai kebolehan,” katanya sambil menyanyikan lagu Melayu lama, Angin Menderu dari filem P. Ramlee.

Kemuncak perayaan ulang tahun Titiek Puspa ialah Konsert Karya Abadi Sang Legenda: 70 tahun Titek Puspa di Pekan Raya Jakarta (PRJ) yang diadakan Rabu lalu dengan menampilkan 25 penyanyi dari tahun 60-an, 70-an, 80-an dan penyanyi tahun 1990 hingga 2007.

Mereka mendendangkan semula lagulagu ciptaan dan yang pernah dinyanyikan Titiek Puspa dalam pelbagai rentak, dari tradisi Jawa hingga dangdut, keroncong, jaz, pop dan rock. Konsert gilang-

gemilang itu dihadiri Presiden Susilo dan para menteri serta tokoh budaya.

Bob Tutupoli, Emilia Contessa, Elvy Sukaesih, Marini, Sundari Soekotjo, Euis Darliah, Vina Panduwinata dan Rima Melati turut diundang menjayakan konsert itu selain penyanyi sekarang seperti Inul Dartista, Kris Dayanti, Gita Gutawa, Melly Goeslow, Ruth Sahnaya, Titi DJ, Mamamia, Pinkan Mambo, Ari Lasso dan Dewi Sandra

Konsert itu mengusik kenangan kerana waktu dulu tidak ada televisyen dan dendangan hanya dinikmati melalui radio, sementara pelakon dikenali melalui filem di pawagam.

Oleh itu semasa menyanyi semula lagu Candra Buana Titiek Puspa merasakan dirinya kembali muda seperti mana beliau berlakon dalam filem Minah Gadis Dusun pada 1966.

Titiek Puspa yang dilahirkan di Tanjung, Kalimantan pada 1937 dan dibesar di Temanggung Jawa Tengah, menyampaikan lagu dari album barunya Terima Kasih Tuhan dan Salam Cinta dan Doa sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan kepada seluruh peminat beliau.

“Bagi saya, usia 70 ini adalah satu luar biasa, satu kurniaan Tuhan,’’ kata Titiek Puspa.

– MINGGUAN

0 Komentar untuk "Titiek Puspa masih "kencang" di usia 70"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI