Kereta Islami bawa keaiban - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kereta Islami bawa keaiban

Kereta Islami bawa keaiban

Oleh: DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS

PAGI Ahad muncul kembali. Hujan yang bermula malamnya tadi berterusan hingga ke pagi hari. Langit masih mendung berawan; suria mentari sudah tidak kelihatan buat kesekian kali dan hari. Semua itu bukanlah cara yang meriah untuk menyambut ketibaan hari baru; yang pastinya, hari-hari yang seperti itu bukanlah hari yang ceria dan menggirangkan. Sama seperti suasana cuaca ketika itu, perasaan saya sendiri berada dalam ragam yang tidak menentu. Sedikit sahaja jolokan yang mengganggu cukup untuk menyinggung perasaan saya. Mungkin akibat keadaan yang agak membosankan pagi itu, saya mengambil keputusan untuk membaca akhbar, maka gangguan yang tersebut pun muncul. Daripada perasaan yang asalnya tidak menentu, hati saya bertukar menjadi marah dan berasa dihina. Mungkin para pembaca tertanya-tanya, apakah yang secara tiba-tiba menyebabkan perasaan saya berubah? Mudah kata, kalaulah saya tidak membaca New Sunday Times keluaran 11 November itu, kemungkinannya makalah saya hari ini akan berkisar di sekitar mauduk yang lain.

Yang menyebabkan saya berasa marah, berang dan dihina adalah isi berita “Proton akan mengusahakan kereta berkonsepkan ‘Islam’ ” (Proton to work on ‘Islamic’ car concept). Laporan Bernama dari Teheran menyebut bahawa “Malaysia, dengan kerjasama Iran dan Turki merancang untuk menghasilkan kereta Islami bagi pasaran global.” Ini berasaskan pernyataan yang diberi oleh Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd. Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir. Walau bagaimanapun, beliau tidak pula mendakwa yang saranan tersebut dicadangkan dari hasil fikirannya sendiri. Sebaliknya, menurut laporan itu, saranan tersebut dicetuskan oleh Iran. Nampaknya kereta itu “dijangka akan memiliki ciri-ciri Islami seperti kompas, bacaan kiblat dan ruang untuk menyimpan al-Quran dan tudung.” Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd. seterusnya menyatakan “rancangan untuk menghasilkan kereta Islami menyediakan kesempatan dan peluang yang bagus untuk semua yang terlibat,” mungkin merujuk kepada para pembuat kereta di Iran, para ahli perniagaan di Turki, dan Proton sendiri, di samping entiti siasah di negara-negara terbabit. Penelitian sepenuhnya terhadap berita itu menyerlahkan hakikat bahawa tumpuan sebenar rancangan tersebut bukanlah untuk menghasilkan kereta yang bersifat Islami (ini silap-faham yang akan saya kupas di bawah), tetapi sebaliknya menggunakan istilah “Islami” sebagai alat pengiklanan, semata-mata untuk laba dan keuntungan ekonomi.

Untuk kesekian kalinya, orang-orang Islam zaman ini menonjolkan bukan sahaja kejahilan yang amat sangat, tetapi juga kesombongan yang luar biasa dalam cara berfikir bahawa perdagangan yang didorong oleh laba harta-benda yang dipimpin oleh entiti siasah yang memburu kemegahan boleh menjadi wibawa ilmu. Yakni, wibawa ilmu dan kebijaksanaan untuk menganjurkan faham-faham (atau konsep-konsep) yang berhubung dengan persoalan-persoalan yang sebenarnya sama sekali tidak mampu mereka fahami. Menurut berita tersebut, Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd. dilaporkan berkata, “kereta yang dimaksudkan akan mempunyai ciri-ciri Islami”; satu pernyataan yang mengandaikan bahawa beliau faham betul maksud yang terkandung dalam istilah ‘Islami’ seterusnya faham betul apakah pula ciri- ciri yang menjadikan sesebuah kereta itu bersifat ‘Islami’. Apakah pernyataan beliau itu betul? Adakah beliau benar-benar faham apa kandungan maknawi istilah ‘Islam’ dan ‘Islami’?

Bertentangan dengan kepercayaan ramai kaum modenis, istilah ‘Islami’ (Islamic) tidak merujuk kepada rupa bentuk upacara keagamaan (ritual aspect). Pada hakikatnya, faham istilah ‘Islami’ merujuk kepada amalan (activity), iaitu perilaku yang terlangsung daripada unsur-unsur dasar pandangan alam Islam. Justeru itu, sesuatu amalan perlu kepada pengamal (actor). Sejauh yang berkenaan dengan berita tadi, istilah ‘Islami’ lebih merujuk kepada ciri-ciri (features) bagi benda yang tiada berjiwa (iaitu kereta), yang hampa dari pengamal dan kerana itu tidak boleh mengamal (act). Apa sebabnya saya menyatakan yang demikian? Ini jelas dari hakikat yang telah saya nyatakan lebih awal tadi, iaitu faham istilah ‘Islami’ merujuk kepada perlakuan atau amalan yang mensyaratkan pelaku atau pengamal. Justeru menurut urutan mantiq, ini mensyaratkan wujudnya suatu perundangan yang tertib untuk mentadbirkan perilaku atau amalan tadi, iaitu syariah. Tetapi, bagaimanakah boleh untuk kita mengandaikan kemungkinan menganggap pengertian sebuah kereta yang dipanggil ‘Islami’ itu benar-benar wujud, sedangkan sebaliknya pengertian faham ‘Islami’ adalah berhubung dengan perlakuan atau amalan dan justeru itu aturan undang-undang (syariah); yakni, satu aliran (sistem) yang dijelaskan bukan sahaja selaras dengan kesarjanaan dan ilmu, bahkan ditakrifkan pengertian dan ketetapannya oleh unsur-unsur dasar pandangan alam Islam? Sekiranya para pedagang dan penguasa tersebut ingin berhujah mengenai perkara ini dengan saya dan mendakwa bahawa kemungkinan (yang karut) itu memang wujud, maka saya akan menyoal apakah unsurnya yang mentakrifkan dan menetapkan susunan struktur, huraian rupa, rukun dasar, tiang turus dan alat perkakas sistem tersebut yang khusus lagi berbeza, yang secara dasarnya berlainan daripada semua sistem perkeretaan (automotif) dalam dunia masa kini? Sangatlah jelas di sini bahawa mereka hanya memahami istilah ‘Islami’ yang dirujuk kepada jubah upacara (ritual cloak), bentuk luaran, dan dalam hal itu pun cara mereka menggambarkan bentuk luaran ‘Islami’, mahupun ‘Islam’ sendiri sangatlah karut. Bagaimanakah dengan memiliki “kompas, bacaan kiblat, dan ruang untuk menyimpan al-Quran dan tudung” akan menghasilkan kereta ‘Islami’ yang secara dasarnya berbeza daripada semua kereta lain? Mitsubishi, dalam menghasilkan kenderaan pacuan empat roda Pajero telah pun memasukkan kompas sebagai sebahagian daripada reka bentuknya. Para pereka bentuk kereta Jerman sekarang ini telah pun memasukkan sistem GPS yang mampu menunjuk arah kiblat dalam banyak kenderaan mewah mereka. Berkenaan ruang menyimpan pula, bagi sebahagian besar, kalaupun bukan semua, pembuat kereta telah pun mempunyai banyak petak dan ruang untuk menyimpan barang-barang, termasuklah tudung. Para pembuat kereta tersebut tidak menentukan secara khusus apakah barangan yang boleh atau harus diletakkan di dalam ruang simpanannya, terpulanglah kepada para pengguna untuk memutuskannya sendiri.

Adakah para pembuat kereta tersebut pernah mengiklankan kenderaan mereka sebagai bersifat ‘Islami’ hanya kerana mereka mengambil kira ciri-ciri itu? Jika jawapannya ‘tidak’, mengapakah pula kaum Muslimin beria-ia merasakan perlu untuk mencanangkan yang sedemikian?

Jadi satu lagi soalan yang penting timbul: Adakah kereta satu tempat yang wajar atau patut untuk menyimpan al-Quran? Siapa pun di kalangan orang Islam yang beradab akan faham bahawa ada tempat yang wajar untuk segala sesuatu. Sekali lagi, ‘tempat yang betul’ yang dimaksudkan di sini ditakrif dan ditetapkan oleh pandangan alam Islam dan unsur-unsur dasarnya.

Justeru, tatkala sesuatu diletakkan di tempatnya yang wajar selaras dengan pandangan hidup tersebut, maka terhasillah keadilan. Oleh kerana kita mengisbatkan wujudnya ‘tempat yang betul’ yang dapat dibuktikan, maka secara mantiqnya tentulah wujud pula ‘tempat yang salah’. Tempat yang salah itu tentulah tidak bersesuaian dengan pandangan hidup Islam dan unsur-unsurnya yang asasi sehingga melahirkan kezaliman, yang juga boleh dibuktikan. Al-Quran bukanlah seperti sebarang buku biasa yang boleh dibeli dari mana-mana toko dan gedung. Sebagai Kalam Allah, al-Quran wajib diberikan penghormatan yang selayaknya. Justeru, sesebuah kereta bukanlah tempat yang wajar untuk meletakkan al-Quran; cermin belakang sesebuah kereta juga bukanlah tempat yang sesuai untuk dilekatkan dengan ayat-ayat al-Quran. Jadi, cadangan untuk menghasilkan kereta yang mempunyai “ruang letak untuk menyimpan al-Quran” itu sendiri pada hakikatnya merupakan cetusan fikiran yang tidak senonoh, zalim, bertentangan dan berlawanan dengan rukyat Islam dan unsur-unsurnya yang utama. Maka dengan itu, jauh dari bersifat ‘Islami’, amalan menyimpan al-Quran dalam kereta pada hakikatnya sama sekali tidaklah Islami.

Apa yang telah saya bicarakan tidaklah sepatutnya disalahtafsirkan atau disalah tanggap sebagai satu serangan peribadi yang ditujukan terhadap 40 ahli rombongan para pegawai kerajaan dan perwakilan syarikat-syarikat swasta yang disebut dalam laporan akhbar itu. Ia juga tidak sepatutnya menimbulkan rasa gusar sama ada Syed Ali Tawfik Al-Attas, selaku orang perseorangan, bersikap kasar atau tidak adil dalam kecaman dan tegurannya.

Apa yang penting untuk dikhuatirkan di sini adalah, agama Islam dan unsur-unsurnya yang berkaitan, iaitu faham ‘Islami’, ‘pengislaman’, dan lain-lain unsur lagi, sedang dicemarkan oleh golongan yang tidak memiliki ilmu sedemikian dan tidak menyedari akan kejahilan mereka tidak memiliki ilmu yang benar (la yadri wa la yadri annahu la yadri). Agama Islam bukanlah agama untuk kalangan yang bebal dari segi akal dan fikiran; Islam juga bukanlah agama pelayan kepada permainan siasah atau cogan kata basi perniagaan dan ekonomi. Sesungguhnya penderitaan yang dialami oleh negara-negara kaum Muslimin pada hari ini – sama ada dari segi siasah, ekonomi mahupun pemikiran – adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh para penganut agama itu sendiri dan bukan disebabkan oleh agama Islam itu sendiri.

Pada hemat saya, jauh dari mengangkat martabat kaum Muslimin dan dunia Islam, anjuran dan cadangan seperti 'kereta Islami' hanyalah memberi aib dan mengundang ejekan, serta mendatangkan cemuhan yang tidak kita perlukan.

- Dr. Syed Ali tawfik al-attas ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

0 Komentar untuk "Kereta Islami bawa keaiban"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI