|
|
DHAKA, 17 Nov. – Beratus-ratus penduduk negara ini masih hilang ketika pihak tentera terus mencari mangsa terselamat daripada taufan Sidr yang setakat ini disahkan mengorbankan 1,723 penduduk.
Taufan Sidr melanda persisir pantai bahagian selatan Bangladesh malam Khamis lalu dengan kelajuan anginnya 250 kilometer sejam. Taufan itu merupakan yang terkuat sejak 1991 apabila ketika itu membunuh 143,000 penduduk.
Kapal tentera laut mencari penduduk-penduduk yang dilaporkan hilang dan berusaha untuk membersihkan sungai daripada kapal- kapal yang karam daripada menghalang laluan.
Helikopter turut membuat penerbangan ke kawasan yang terlibat untuk membawa bekalan makanan, air dan juga ubat-ubatan kepada mereka yang terselamat.
Angka korban rasmi taufan berkenaan dikatakan berjumlah lebih 900 orang tetapi beberapa akhbar hari ini meletakkan angka korban antara 1,100 hingga 2,000 berdasarkan laporan wartawan mereka di kawasan terbabit.
“Beberapa hari diperlukan untuk selesai mencari dan mengetahui jumlah sebenar mereka yang terkorban dan tahap kerosakan yang dialami,’’ kata pegawai kementerian makanan dan bencana, Ayub Miah.
Para pegawai bantuan menyifatkan kerosakan yang diakibatkan oleh taufan itu yang memusnahkan rumah, pokok dan talian elektrik, amat teruk. Sebahagian besar negara itu bergelap pada hari Jumaat selepas rangkaian kuasa elektriknya terputus. Sebahagian daripada Dhaka, ibu kota negara ini yang mempunyai 10 juta penduduk, masih lagi bergelap.
“Kebanyakan mangsa hilang tempat tinggal, tanaman dan juga mata pencarian dan keadaan ini akan memberikan tekanan yang lebih besar kepada kerajaan dan juga ekonomi selain penduduk sendiri terutamanya selepas beberapa bulan lalu berlakunya banjir buruk di utara negara ini,’’ kata penolong penyelaras bantuan kemanusian CARE, Suman SMA Islam di Bangladesh.
Para pegawai Bulan Sabit Merah berkata, kira-kira 1,000 nelayan yang menaiki 150 buah bot di Teluk Bangla, masih belum diketahui nasib mereka.
Taufan Sidr dalam kategori 4 tahap kekuatannya dan ombak besar telah memusnahkan tiga buah pekan di pinggir pantai dan memaksa 3.2 juta penduduk dipindahkan, kata para pegawai dan agensi-agensi bantuan.
Para pekerja bantuan berkata, jumlah korban boleh mencapai angka lebih tinggi jika tidak kerana persediaan yang baik dilakukan oleh penyelamat yang berkepakaran dan askar sukarelawan yang menyebarkan amaran dan juga membantu memindahkan orang ramai.
– Reuters
0 Komentar untuk "Sidr: Beratus penduduk hilang"