Lambang tidak elok dedah peribadi kurang budaya - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Lambang tidak elok dedah peribadi kurang budaya

Dr Zainal Kling

Ada pihak tidak bersetuju dan ada yang menyokong dengan setiap pihak mempunyai alasan masing-masing. Bagaimana isu ini dilihat dari sudut budaya.

Secara umum, tanggapan terhadap penyapu adalah sesuatu yang kurang baik. Orang Melayu menganggap penyapu sebagai benda yang membawa sial, buruk, membawa penyakit dan memberi kesan tidak baik.

Majoriti masyarakat Melayu menggunakan penyapu sebagai lambang terhadap benda yang buruk dan untuk memarahi atau mengata orang. Penyapu itu adalah sama seperti menggunakan ungkapan 'hawau kau' atau 'setan kau'.


Jika penyapu digunakan sebagai alat untuk memarahi dan menempelak orang serta dipercayai jika memukul menggunakan penyapu boleh membawa sial, penyapu daripada sudut budaya adalah lambang yang tidak baik dan tidak berguna.

Walaupun niat memberi penyapu sebagai tanda kegagalan seseorang pegawai, penggunaannya melambangkan tidak baik.

Bagaimanapun, penyapu sebagai lambang yang tidak baik wujud dalam kebanyakan masyarakat dan bukan hanya berlaku dalam masyarakat Melayu. Orang Eropah pun menggunakan penyapu sebagai tempat orang membela hantu atau ahli sihir yang terbang dengan penyapu.


Ini bermakna penyapu adalah lambang kepada keadaan yang tidak disukai oleh masyarakat. Dari segi budaya, kita tidak patut menggunakan penyapu sebagai lambang untuk memarahi orang lain. Malah dalam pentadbiran moden, terdapat banyak kaedah lain untuk menggred pencapaian manusia.

Sebagai contoh dalam industri perhotelan, ada hotel bertaraf lima bintang dan ada yang bertaraf satu bintang. Ini bermakna bintang digunakan bagi menandakan sama ada hotel itu berkualiti rendah atau tinggi. Penarafan begini tidak memalukan atau memburukkan nama hotel.

Apabila menggunakan sesuatu yang dipandang tidak baik oleh masyarakat sebagai lambang menanda pencapaian pegawai, apatah lagi dalam pentadbiran moden, sekali gus ini akan memperlihatkan dua perkara.

Pertama, pencapaian tidak baik. Kedua, persepsi terhadap pemimpin yang menggunakan lambang seperti itu sebagai pemimpin yang tidak mempunyai adat dan budaya. Seorang yang tidak beradat dan budaya menggunakan kaedah tidak wajar dan memandang rendah kepada manusia.

Kepercayaan terhadap penyapu sebagai simbol tidak baik adalah warisan masyarakat tradisional. Apakah apabila penyapu digunakan dalam kes ini, ia menunjukkan perubahan berlaku dalam budaya masyarakat?

Setakat ini masyarakat tidak berubah dan masih menggunakan penyapu dalam rumah, termasuk mereka yang moden dan tinggal di bandar. Penyapu dijadikan sebagai tanda untuk mengelakkan kegiatan makhluk halus dalam dan luar rumah. Sebagai contoh, orang menegakkan penyapu di tepi pintu dengan harapan tidak diganggu makhluk halus. Dari segi masyarakat, tiada perubahan dalam persepsi terhadap penyapu.

Apabila ada pemimpin menggunakan penyapu dengan tafsirannya sendiri, itu belum lagi melambangkan perubahan berlaku dalam masyarakat. Itu adalah kebijaksanaannya kalau kita boleh katakan itu sebagai kebijaksanaan atau tindakan peribadi yang mungkin mempunyai niat atau alasan di sebaliknya kita tidak pasti.

Nampaknya kelihatan sebagai niat baik untuk mengingatkan, tetapi penyapu secara tradisi masih mempunyai makna kurang baik. Oleh itu, perubahan yang cuba dilaksanakan mungkin tidak dapat dicapai.

Datuk berpandangan bahawa perubahan tidak berlaku, tetapi maklum balas yang dilaporkan dalam media massa menunjukkan tidak kurang pihak yang menyokong. Tidakkah ini sebenarnya menunjukkan perubahan itu berlaku?


Saya berpendapat perubahan budaya dalam masyarakat dan birokrasi memang berlaku. Di mana-mana agensi kerajaan pun berlaku. Masyarakat sekarang mempunyai harapan tinggi terhadap perkhidmatan awam. Tindakan memberi penyapu itu sendiri menunjukkan bahawa dalam birokrasi, kita mempunyai harapan tinggi terhadap sistem penyampaian yang cekap.

Perubahan sekarang lebih menarik, tetapi bukan perubahan budaya. Ini adalah perubahan rasional, iaitu masyarakat mengharapkan seseorang yang gagal diberi peringatan secara terbuka dan rasional berbanding tindakan simbolik.

Memang semua orang mengharapkan kecekapan secara rasional dengan mengadakan skim gred atau mata pencapaian kerja.

Bagaimanapun jika hanya simbolik untuk menyatakan awak tidak bekerja dengan baik, tindakan itu sendiri tidak mengubah keadaan kerana makna simbolik itu tidak berubah dalam masyarakat. Jika hendak mentafsir lambang itu sebagai tanda untuk menyapu kejahatan, saya berpendapat setakat ini belum berlaku.

Belum ada orang menggunakan penyapu untuk menyatakan bahawa ini adalah lambang untuk menyapu kelemahan awak, tetapi penyapu itu tetap lambang terhadap keburukan dan kejahatan yang simbolik kepada benda yang luar biasa.

Masalahnya ialah kita mengubah makna suatu lambang budaya dengan bentuk yang rasional, tetapi tidak berlaku dan memberi kesan.

Mungkin budaya masyarakat kita menyebabkan teguran secara baik tidak berkesan. Bagaimanapun, apabila dilakukan dengan keras dan drastik, baru perubahan berlaku?

Sebenarnya saya tidak pasti mengenai perkara ini kerana ada banyak kaedah untuk menegur. Orang boleh digantung kerja dan ditukar jika tidak mencapai tahap pencapaian yang diingini. Selain itu, prestasi kerja boleh diukur berdasarkan bintang seperti industri perhotelan .

Jika ingin mendapatkan perubahan melalui teguran yang keras, lebih elok kita berbudi bahasa. Hakikatnya kerajaan sendiri sedang mengamalkan dan menggalakkan usaha melahirkan masyarakat berbudi bahasa.

Banyak sekali kaedah berbudi bahasa. Dalam peribahasa Melayu ada menyatakan 'sudah terhantuk baru terngadah' atau 'jangan sampai nasi menjadi bubur'. Ini bermakna jangan hingga hendak dikenakan tindakan tatatertib, baru hendak bertindak.

Saya berpendapat lebih baik pemimpin atau ketua jabatan yang lebih tinggi berhadapan pegawai terbabit dan memberi peringatan kepadanya. Memberi peringatan sudah cukup keras kerana apabila nasi sudah menjadi bubur dan jawatannya tidak dapat diselamatkan, itu adalah ancaman keras kepadanya.

Ancaman tidak semestinya menyatakan 'saya akan buang awak' tetapi dengan mengingatkan secara baik dan beradat bahawa perbuatan dan pencapaiannya kurang baik.

Apabila memberi peringatan secara baik tidak berkesan, kita boleh beri peringatan lebih keras dan terbuka. Memang ada peraturan tatatertib terhadap semua pegawai, termasuk memberi amaran dan peringatan, tetapi tidak hingga memberi penyapu.

kah wajar tindakan memberi anugerah seperti penyapu diteruskan?

Saya fikir untuk mengingatkan dan memanggil pegawai atau sesiapa saja yang tidak mencapai matlamat pekerjaan mesti dilakukan sepanjang masa. Kita tidak boleh membiarkan orang yang tidak cekap dan mencapai matlamat kerjanya dibiarkan begitu saja.

Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati menggunakan apa saja lambang supaya tidak menukar makna sesuatu lambang yang tidak baik kepada baik. Niat kita baik, tetapi benda itu memang tidak baik. Itu adalah masalah besar. Kalau menggunakan lambang yang baik, perkara ini tidak akan menjadi isu kontroversi.

Sekarang ia menjadi isu kontroversi yang amat luas, ramai orang tidak suka. Ada yang menyokong, tetapi suka adalah perkara berlainan. Ramai orang menyokong tindakan itu, tetapi mereka tidak suka penggunaan lambang seperti itu.

Bagaimanapun, perkara ini amat sensitif dan memalukan pegawai terbabit. Tindakan secara terbuka dengan mengatakan awak tidak baik adalah tempelak terbuka. Keadaan ini sama seperti pelajar dirotan secara terbuka. Tindakan itu amat memalukan dan mempunyai kesan yang amat buruk. Tidak tahulah apakah kesan selanjutnya. Jika orang dimalukan secara terbuka, dua kesan boleh berlaku, positif atau negatif.
0 Komentar untuk "Lambang tidak elok dedah peribadi kurang budaya"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI