Eloklah kembali asal - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Eloklah kembali asal


TAN SRI AINUDDIN ABDUL WAHID.

MUKADIMAH
Antara usul yang hangat dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-58 baru-baru ini ialah mengembalikan pengajaran subjek Sains dan Matematik di sekolah menengah dan rendah kepada bahasa Melayu. Pengajaran kedua-dua subjek teras itu dalam bahasa Inggeris diperkenalkan tahun 2003.

Usul yang dibentangkan oleh wakil Badan Perhubungan UMNO Johor, Senator Mohd Puad Zarkashi antara lain untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Penggunaan sepenuhnya bahasa Inggeris untuk subjek Sains dan Matematik sepatutnya dilaksanakan tahun depan tetapi terpaksa ditangguhkan.

Cadangan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris telah mendapat tentangan khususnya daripada kalangan pejuang bahasa dan budaya. Bagaimanapun pelaksanaan menggunakan bahasa Inggeris diteruskan sekalipun banyak pihak melihat itu tidak banyak membantu penguasaan bahasa Inggeris kalangan pelajar.

Tokoh akademik Tan Sri Ainuddin Wahid berkata, beliau tidak nampak rasionalnya pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris selain daripada andaian bahawa bahasa Inggeris bahasa antarabangsa.

Ainuddin yang juga bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sangat konsisten bahawa pembelajaran lebih berkesan menggunakan bahasa ibunda yang kebetulan bahasa kebangsaan negara ini.

Beliau sejak awal lagi tidak setuju pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris bagaimanapun setuju dimantapkan pengajaran subjek bahasa Inggeris. Memantapkan pengajaran subjek bahasa Inggeris dengan mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bagi Ainuddin jauh berbeza.

“Kenapa Turki boleh maju tanpa menggunakan bahasa Inggeris? Begitu juga Jepun dan Korea. Ini menunjukkan kemajuan bukan disebabkan bahasa Inggeris tetapi sikap dan kesungguhan,” demikian tegas Ainuddin semasa diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan SITI MARIAM MD ZAIN di kediamannya di Ampang, Khamis lalu.

Beliau menganggap usaha untuk kembali mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sebagai langkah yang tepat. Ainuddin melahirkan kebimbangan apabila bahasa Inggeris dijadikan seolah-olah bahasa kebangsaan di negara ini.

“Saya malu bercakap Inggeris dengan orang Melayu,” tegas tokoh akademik yang berusia 78 tahun ini.

MINGGUAN: Apa yang dapat Tan Sri katakan tentang isu yang terus berbangkit ini?

AINUDDIN: Ada dua perkara di sini. Pertama, setiap anak itu mudah belajar atau dapat belajar dengan lebih baik melalui bahasa ibunda mereka. Kedua, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan. Kalau kedua-dua ini digabungkan, tiada sebab kita perlu beralih kepada bahasa lain. Ini adalah asas yang perlu kita pegang sampai bila-bila.

Bukankah tujuan asal memperkenalkan pengajaran dalam bahasa Inggeris adalah untuk memahirkan para pelajar kita dengan bahasa tersebut. Tan Sri setuju dengan pendapat ini?

AINUDDIN: Itu yang saya tidak faham. Setiap pendidik mesti tahu, untuk mendidik para pelajar, yang semudah-mudahnya dengan bahasa ibunda mereka, kebetulan bahasa kebangsaan kita ialah bahasa Melayu. Kalau belajar dalam bahasa Inggeris boleh menghasilkan pelajar lebih baik mungkin pandangan kita berbeza. Tetapi sekarang ini, saya masih tidak faham bagaimana isu menjadikan bahasa Inggeris bahasa pengantar boleh timbul. Sepatutnya bahasa yang digunakan di sekolah tidak harus diubah-ubah kerana jelas bahasa kebangsaan kita ialah bahasa Melayu. Bagi saya, tidak mungkin orang di kementerian tidak tahu hakikat masyarakat kita. Anak-anak kita lahir – bercakap Melayu. Mungkin orang akan kata saya berkasar pula nanti. Tetapi seharusnya perkara ini tidak dibangkit-bangkitkan lagi.

Tan Sri melihat desakan supaya kembali kepada kaedah pengajaran asal ini sebagai tepat?

AINUDDIN: Itu semestinya. Ia dasar pokok seperti saya katakan tadi. Mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak menghasilkan faedah yang lebih kalau kita mengajar menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul. Sebaliknya, masalah semakin membesar kerana para pelajar kita hakikatnya tidak begitu memahami kedua-dua subjek ini. Kalau mengajar dengan menggunakan bahasa lain, lagi susah mereka hendak menerimanya.

Bila bercakap soal menjadi negara maju, kita tidak dapat menafikan kepentingan bahasa Inggeris. Ia dilihat sebagai bahasa ilmu kerana banyak maklumat tentang sains dan teknologi ditulis menggunakan bahasa ini. Pandangan Tan Sri?

AINUDDIN: Saya ingin bertanya, bagaimana orang Turki boleh maju? Saya sebutkan Turki sebab saya pernah beberapa kali ke sana. Saya lihat tiada masalah bahasa yang timbul. Walaupun mereka menggunakan bahasa ibunda dalam mencari ilmu, kemajuan yang dicapai bukan baru sekarang tetapi sejak lama dulu. Begitu juga Jepun, kenapa mereka maju? Bukan sebab bahasa Inggeris tetapi kerana sikap dan kesungguhan mereka.

Bukankah hakikatnya jika kita tidak mementingkan bahasa Inggeris di era globalisasi sekarang kita akan terus ketinggalan dalam arus kemajuan?

AINUDDIN: Bukan bermakna kita tidak mementingkan bahasa Inggeris. Memang bahasa Inggeris penting untuk kita berkomunikasi dengan orang luar tetapi cukuplah sekadar itu. Jangan sampai ia akhirnya dijadikan sebagai bahasa kebangsaan. Itu sahaja kebimbangan saya.

Dakwaan mereka buku-buku sains dan teknologi ini dikatakan banyak dalam bahasa Inggeris?

AINUDDIN: Siapa kata? Macam saya dulu, semasa penjajahan Jepun, saya belajar bahasa Jepun. Dengan izin Allah, saya menjadi Naib Canselor (UTM). Hakikat itu yang kadang-kadang kita tidak perasan atau buat-buat tak perasan.

Mengapa persepsi bahasa Melayu juga boleh menjadi bahasa ilmu tidak wujud di Malaysia?

AINUDDIN: Saya fikir kerana budaya kita akur kepada apa sahaja yang dikatakan oleh menteri, kita tidak berani berhujah dengan mereka.

Apa yang ada pada Turki dan Jepun yang boleh maju dengan bahasa sendiri, sebaliknya tiada pada negara kita. Ini berbalik semula kepada dakwaan sesetengah pihak bahawa untuk menjadi maju kita perlu bergantung kepada bahasa Inggeris kerana ia dilihat sebagai bahasa ilmu?

AINUDDIN: Inilah akibatnya kalau ada jarum yang cuba mencucuk di kiri dan kanan. Saya cakap begini bukan kerana benci kepada pihak-pihak tertentu tetapi bagi saya ini adalah kenyataan yang patut orang Melayu fikirkan bersama. Kita tidak sedar pengaruh mereka kerana mereka melakukannya dengan cara cukup halus, kelemahan kita ialah selalu memberikan ruang.

Tetapi dalam hal ini kementerian cuma memperkenalkan pengajaran bahasa Inggeris kepada dua subjek saja – Sains dan Matematik?

AINUDDIN: Itu langkah pertamanya, ini yang saya katakan jarum halus yang cuba dilakukan pihak-pihak tertentu. Lama-kelamaan bahasa Melayu kita akan terus terpinggir. Kita tidak sedar kadang-kadang kita dipermain-mainkan. Saya sedih jika perkara begini pun kerajaan atau lebih tepat lagi UMNO tidak mampu menanganinya.

Kesan jelas ialah yang menjadi mangsa adalah pelajar-pelajar kita sendiri – kerana sistem itu sekejap begini, sekejap begitu, tidak konsisten?

AINUDDIN: Betul. Tetapi saya tetap berpegang kepada hukum semula jadi iaitu setiap anak itu akan lebih mudah belajar dalam bahasa ibunda mereka. Bukan saya sengaja mereka-reka cerita tetapi memang sudah menjadi pendapat umum.

Kira-kira tiga tahun lalu, apabila mendapat tahu kementerian akan melaksanakan pengajaran bahasa Inggeris untuk kedua-dua subjek ini, apa yang terdetik di fikiran Tan Sri ketika itu?

AINUDDIN: Terpulang pada persepsi masing-masing untuk menerimanya atau tidak (diam). Tetapi saya mengandaikan yang ada jarum cuba masuk. Sebenarnya tujuan mereka hendak mengetepikan bahasa kebangsaan, itu yang saya terfikir pada masa itu. Saya juga tidak faham mengapa kementerian mahu melakukan perubahan mengajar dalam bahasa Inggeris ini.

Mungkin ini cara singkat untuk membolehkan para pelajar menguasai bahasa Inggeris?

AINUDDIN: Mana boleh cara singkat. Lagi susah bagi pelajar-pelajar Melayu. Mereka hendak memahami bahasa Inggeris itu satu usaha, hendak mempelajari Matematik dan Sains pula satu usaha lain. Bila ini berlaku, dengan sendirinya keputusan peperiksaan pelajar-pelajar terbabit akan merosot. Ini semua tidak pernah dibincangkan kerana ada pihak-pihak tertentu yang percaya bila kita membangkitkan isu ini dikatakan sengaja menyentuh soal perkauman.

Maknanya tiada alasan untuk kita meneruskan pengajaran subjek itu dalam bahasa Inggeris?

AINUDDIN: Ya. Apa alasan kita berpatah balik? Adakah dengan menggunakan bahasa Malaysia, pencapaian anak-anak kita semakin menurun? Tidak, sebaliknya saya percaya semakin ramai yang akan mencatatkan keputusan cemerlang.

Bagaimana Tan Sri meletakkan kepentingan bahasa kebangsaan ini kepada negara?

AINUDDIN: Dari segi hakikatnya, bahasa ini lambang kebanggaan negara. Cuba lihat di sekeliling kita bila bercakap sesama sendiri, mereka menggunakan bahasa apa? Kalau saya, saya malu hendak menggunakan bahasa Inggeris.

Bila memikirkan kecelaruan dan ketidaktentuan ini, apa yang dapat Tan Sri katakan?

AINUDDIN: Sudah lama sangat kita memperjuangkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, ini pula kita hendak mengundur. Kalau ada bukti sahih mengatakan mengajar dalam bahasa Inggeris itu langkah yang baik, saya boleh terima tetapi sekarang apa alasan yang boleh diberi untuk mengatakan ia dapat meningkatkan kecemerlangan?

Langkah ini dibuat tanpa ada kajian terperinci?

AINUDDIN: Tiada. Semua ini (tindakan) dibuat berdasarkan andaian semata-mata.

Tan Sri sedih dengan apa yang berlaku?

AINUDDIN: Saya memang tidak boleh langsung berkompromi tentang isu ini. Patutnya kita malu membincangkannya. Tambahan pula selepas kita bersetuju menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Universiti Malaya (UM) dulu bahasa pengantarnya bahasa Inggeris tetapi pencapaian pelajar Melayu tidaklah melangit bagusnya. Begitu juga semasa saya di Maktab Teknik. Bila ada cadangan mahu menukarkan bahasa pengantarnya daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu, saya terus setuju. Ini baru langkah yang betul. Kalau hendak menunjukkan bahasa memainkan peranan penting, Soviet Union (Rusia) tidak pun menggunakan bahasa Inggeris tetapi negara itu yang dulu ke bulan.

Tan Sri terlalu sensitif tentang isu bahasa ini?

AINUDDIN: (Senyum) Memang saya tidak boleh bertolak ansur langsung. Kalau ada alasan munasabah, lain. Saya mula-mula masuk ke Maktab Teknik sebagai pengetua, memang saya menerima keadaan yang ada. Dalam hati terdetik perasaan mengatakan inilah satu sebab pelajar Melayu banyak gagal (kerana bahasa pengantarnya bahasa Inggeris). Selain itu berlaku juga sikap pensyarah tertentu yang sengaja menggagalkan pelajar Melayu. Saya ada bukti tentang apa yang saya perkatakan ini. Pernah seorang pelajar datang berjumpa saya dan mengatakan dia sebenarnya dapat menjawab soalan peperiksaan yang diberikan tetapi keputusan yang diperoleh menunjukkan dia gagal. Saya sendiri menyiasat perkara ini dan selepas membandingkan dengan kertas jawapan pelajar kaum lain, saya dapati dakwaan pelajar Melayu itu benar. Saya panggil pensyarah tersebut dan dedahkan apa yang dia lakukan, dia menggigil di depan saya. Akhirnya pensyarah itu ditukarkan ke sebuah politeknik. Pada saya, sepatutnya dia diberhentikan terus daripada mengajar kerana sikap perkauman yang ditunjukkan jika tidak, mungkin dia akan melakukan perkara yang sama di tempat baru. Kes ini terungkai pun sebab pelajar Melayu itu kenal saya, kami boleh berbual. Mungkin perkara sama berlaku kepada pelajar lain tetapi mereka tidak berani membuat aduan tentang sikap pensyarah.

Mungkinkah ini berlaku kerana budaya orang Melayu itu sendiri yang mengamalkan dasar selalu berlembut?

AINUDDIN: Kalau lembut tidak mengapa, tapi bagi saya ini bodoh. Ada satu lagi kes, seorang pelajar Melayu tahun akhir gagal di UM, semasa itu saya masih di Maktab Teknik. Bila dia gagal, pada satu peringkat dia berjumpa saya. Saya lihat keputusan peperiksaan dia yang lepas-lepas, semua lulus. Cuma satu perkara (subjek) disebabkan dia dikatakan gagal, dia dibuang universiti. Saya dan beberapa rakan lain berusaha mendapatkan biasiswa Mara untuk membolehkan dia menyambung pelajarannya ke Scotland. Yang menggembirakan kami, dia berjaya mendapat pingat emas dalam peperiksaan akhir mengalahkan pelajar-pelajar orang putih di sana. Ini contoh penganiayaan yang dilakukan ke atas pelajar-pelajar Melayu.

Mengapa Tan Sri tidak boleh berkompromi tentang isu bahasa ini?

AINUDDIN: Kerana ia aib kepada orang Melayu.

Dalam usaha meningkatkan minat pelajar terhadap bahasa Inggeris, mungkin masalahnya berkaitan kaedah pengajaran kurang menarik atau ada sebab-sebab tertentu menyebabkan mereka gagal menguasai bahasa ini. Pandangan Tan Sri?

AINUDDIN: Tiada sebab anak Melayu itu tidak boleh belajar bahasa Inggeris. Persoalannya, kenapa dia gagal? Mungkin antara sebabnya ialah wujud sikap mengajar sambil lewa guru kaum lain terhadap pelajar-pelajar Melayu. Ataupun berlaku kes seperti yang dialami oleh pelajar UM yang saya katakan tadi. Kemungkinan itu ada.

Bagi Tan Sri, apa cara terbaik untuk memahirkan para pelajar dengan bahasa Inggeris?

AINUDDIN: Cukup dengan pengajaran subjek itu sebagai satu bahasa, diwajibkan pun tidak mengapa tetapi bukan sebagai bahasa pengantar. Apa yang saya bimbangi ialah mula-mula mengajar subjek Sains dan Matematik, lama-lama menjadi bahasa pengantar kepada subjek-subjek lain pula, akhirnya bahasa kebangsaan bertukar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.

Mengapa pelajar Melayu kita sukar untuk menguasai bahasa Inggeris?

AINUDDIN: Ini yang saya minta supaya kementerian membuat kajian. Dulu saya juga bermula di sekolah Melayu, sampai darjah empat baru masuk ke sekolah Inggeris. Tidak pula saya rasa macam menghadapi satu masalah besar untuk mempelajari bahasa Inggeris ini. Cuma saya bimbang ada unsur- unsur lain. Saya ingin bertanya, dah berapa lama kita menggunakan bahasa kebangsaan dalam sistem pengajaran di sekolah? Adakah para pelajar kita menjadi semakin bodoh? Tiada bukti mengesahkannya.

Sampai bila isu bahasa ini harus berterusan?

AINUDDIN: Pada saya, tiada isu lain yang lebih penting daripada mempertahankan bahasa kita. Jangan dibenarkan sekali-kali orang lain mengetepikan bahasa kita. Kalau ini berlaku, lebih baik orang lelaki Melayu pakai gaun. Ini bukan perkara aib bagi kita semua. Ini benda yang perlu kita perkatakan untuk kebaikan kita juga. Saya sanggup berhadapan dengan apa juga tindakan selagi saya tahu saya berkata benar. Mungkin orang nampak saya perkauman, sebenarnya tidak. Saya cuma menjaga kepentingan kedudukan bahasa kebangsaan kita.

Bagaimana Tan Sri melihat masa depan bahasa Melayu itu sendiri?

AINUDDIN: Saya yakin jika kita ikhlas dan jujur, masa depan bahasa kita akan terus terpelihara.

Apa yang boleh Tan Sri simpulkan tentang perbincangan isu bahasa ini?

AINUDDIN: Pada saya, yang betul kita kata betul, yang salah kita mesti mengatakan itu salah. Daripada pengalaman saya sendiri jelas menunjukkan penganiayaan ini memang berlaku. Bukan semua pensyarah bersikap begini tetapi yang segelintir ini yang perlu kita betulkan kerana mereka ini yang merosakkan matlamat negara.

Harapan Tan Sri sekarang?

AINUDDIN: Bagi saya kalau Kementerian Pelajaran meneruskan juga keutamaan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran di sekolah, tidak tahulah di mana kita harus menyorokkan muka kita, khususnya kepada kaum-kaum lain. Apa yang dicadangkan ini – balik semula mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bagi saya adalah betul.

0 Komentar untuk "Eloklah kembali asal"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI