Oleh: MAZLAN NORDIN
JELAS bahawa dunia Melayu terus mendapat perhatian para penulis asing hingga ke zaman moden. Seorang lagi ialah Anthony Burgess, novelis terkenal Inggeris yang kemudian bercerita betapa ia hampir memeluk Islam ketika berkhidmat di negara yang dipanggil Tanah Melayu.
Ini disebut olehnya setelah mengajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Kolej Latihan Guru-Guru Melayu di Kota Bharu, Kelantan. Beliau menceritakan hal tersebut dalam komentarnya mengenai karya V.S. Naipaul yang anti-Islam berjudul Among The Believers. Beginilah catatannya:
“Pada suatu ketika semasa tinggal di Malaya, saya begitu ingin sekali memeluk agama Islam. Malah, nama Islam saya telah pun dipilih – Yahya bin Abdullah. Tetapi kewarasan muncul kemudiannya ketika tersebarnya visi di kalangan orang Islam mengenai Nabi Isa. Juga, semoga Allah mengampuni diri saya ini, saya tidak mendapati Quran lebih bagus, sama ada sebagai doktrin atau sastera, dari karya Joseph Smith Book of Mormon.”
Astagha..., orang Islam akan segera mengucap kerana yang disebut olehnya itu ialah sebuah mazhab Kristian di Amerika yang ditubuhkan oleh Joseph Smith pada tahun 1830. Islam kini mempunyai lebih 1.4 ribu juta pemeluk di seluruh dunia. Mazhab Mormon?
Burgess mengajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar dari 1954-1955 dan di Kota Bharu dari 1955-1957. Berbangkit pertanyaan: Apakah semasa di Kelantan, beliau mula terasa untuk memeluk agama Islam? Dan siapa yang mengesyorkan nama Yahya bin Abdullah?
Sebagai pegawai ekspatriat semasa pemerintahan penjajah itu, Burgess (1977-1993) turut belajar bahasa Melayu hingga boleh menulis jawi dan kemudiannya mengubah lagu Sinfoni Melayu.
Beliau menulis tiga buah novel berjudul Time For a Tiger, The Enemy in the Blanket dan Beds in the East. Ketiganya dipanggil The Malayan Trilogy.
Menurut cerita, buku berjudul The Enemy in the Blanket diharamkan beberapa ketika. Salah satu watak novel itu ialah Hardman, seorang peguam Inggeris yang sering kepicikan wang, mengahwini seorang wanita Melayu yang kaya-raya. Oleh itu, ia terpaksa memeluk agama Islam, tetapi kemudiannya ia memperlekeh Quran.
Dalam novel The Enemy in the Blanket, bandar besar sebuah negeri dipanggil Kenching dan satu lagi tempat dipanggil “Tahi Panas”. Di samping itu negeri Perak dipanggil Lanchap. Hal-hal ini dicatat dalam Wikipedia, ensiklopedia bebas, dalam catatan mengenai riwayat hidup Burgess.
Burgess menulis komentarnya mengenai karya Naipaul dalam akhbar Observer, London. Tulisannya itu berjudul Islam in the Dark. Pada pendapatnya karya Naipaul mengenai Islam di Malaysia “mengecewakan” kerana yang diinterviu ialah orang-orang Islam yang tidak petah berbicara dan tidak begitu cerdik.
Menurutnya lagi, Naipaul sepatutnya menginterviu ramai kalangan para intelektual yang boleh berhujah dalam bahasa Inggeris dengan fasih. Sebaliknya Naipaul cuma menemui pemuda-pemuda berasal dari kampung atau yang telah menunai haji, tetapi tidak boleh berbicara dengan lancar dalam bahasa Melayu atau Inggeris.
Pada tahun 1958-1959, Burgess menjadi guru di Kolej Sultan Omar Ali Saifuddin di Bandar Seri Begawan. Beberapa tahun kemudiannya, beliau menulis novel berjudul Devil of a State. Beliau dikatakan menulis untuk akhbar Parti Rakyat Brunei dan berkenalan dengan pemimpinnya, Azahari. Akhirnya Burgess diberhentikan setelah jatuh sakit dan ia kembali ke London.
Menulis sebagai wartawan mengenai “Tanah Melayu” Burgess menyebut sambil lalu mengenai Kelantan mempunyai ramai “wanita Melayu yang cantik dan biasanya berjalan di hadapan suami mereka, tanpa bertudung.”
Dalam satu makalah lain mengenai keadaan di masa penjajahan pula, Burgess bercerita mengenai pegawai-pegawai muda dari England belajar bahasa Melayu melalui “sleeping dictionary” iaitu perempuan simpanan mereka.
Kesemuanya ditulis oleh seorang yang beberapa tahun bermastautin di Malaysia. Bayangkan apa yang boleh ditulis oleh mereka yang singgah 3-4 hari atau seminggu, terutama “wartawan payung terjun.”
- Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.
0 Komentar untuk "Nama Islam sudah sedia tetapi hasrat dibatal"