PARIS 17 Nov. – Para pengunjung ke bandar raya Paris berpeluang membawa pulang kepingan besi anak tangga Menara Eiffel yang pernah dinaiki pereka dan jurutera menara tersebut, Alexandre Gustave Eiffel ketika merasmikan pembukaannya pada 1889, dalam lelongan yang akan diadakan Isnin ini.
Bahagian tangga sepanjang 4.5 meter itu yang terpaksa dibuang bagi membolehkan beberapa lif baru dipasang, akan dijual di rumah lelongan Hotel Drouot dan dikatakan merupakan kepingan terakhir menara itu yang boleh dijual kepada umum.
Pada 1983, 1,911 anak tangga Menara Eiffel dibuang untuk tujuan sama sebelum dipotong kepada 24 bahagian kecil untuk dijual kepada muzium dan pengumpul di seluruh dunia.
Bahagian tangga terakhir yang dijual itu, menyambungkan tingkat dua kepada tingkat tiga menara berkenaan dan dijangka dapat mengutip hasil lelongan berjumlah AS$44,000 (RM148,766).
Menara setinggi 312 meter itu dibina untuk sambutan Revolusi Perancis di Pesta Dunia Paris pada 1889 dan kini menerima kira-kira enam juta pengunjung setiap tahun.
– AP
0 Komentar untuk "Besi anak tangga menara Eiffel dilelong"