SABTU lalu, Presiden MIC S. Samy Vellu menolak kemungkinan parti itu berdamai dan menjalin hubungan baik dengan Parti Progresif Penduduk (PPP) pimpinan M. Kayveas. Kenyataan Samy Vellu itu dibuat selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan ‘gencatan media’ berhubung perbalahan yang berlaku.
Setelah ditegur oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Najib Tun Razak, kedua-dua pemimpin itu bersetuju menghentikan cabar-mencabar dan kutuk-mengutuk yang berlarutan sejak lebih sebulan yang lalu.
Disebabkan gencatan itulah, Kayveas yang ditanya pandangannya mengenai kemarahan terkini Samy Vellu itu enggan mengulas lanjut kerana beliau menghormati gencatan berkenaan.
Umum mengetahui, MIC adalah sebuah parti politik terbesar yang mewakili masyarakat India di Malaysia. Dan kedudukan itu tentu membuatkan Samy Vellu kecil hati dan panas apabila peranan partinya kepada masyarakat India dipertikaikan oleh rakan komponen BN.
Mungkin silap media juga yang menjolok Samy Vellu apabila bertanyakan soalan berkaitan PPP. Khabarnya Samy Vellu berang apabila diajukan soalan berkaitan PPP. Beliau ketika menjawab soalan ini mengandaikan hasrat untuk melihat kedua-dua parti dan pemimpin parti itu berbaik semula adalah seperti meletakkan harapan DAP berbaik dengan BN dan UMNO menjalin hubungan baik dengan Parti Islam SeMalaysia (Pas).
“Bolehkah DAP berbaik dengan BN? Saya nak tanya, bolehkah UMNO berbaik dengan Pas? Ia (PPP) adalah lebih teruk daripada Pas,” tegasnya, lalu bingkas meninggalkan sidang akhbar selepas merasmikan program Merakyatkan Seni Budaya Parlimen Sungai Siput di Kampung Trosor pada minggu lalu.
Beliau juga enggan mengulas sama ada bersedia menemui Kayveas bagi menyelesaikan pertelagahan terbuka antara kedua-dua parti itu.
Berikutan kenyataan itu, tersebar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mempertikaikan sikap Samy Vellu itu. SMS tersebut membangkitkan bagaimana Samy Vellu berubah fikiran untuk berdamai dengan Pandithan yang pernah menjadi musuhnya. Tidak manis untuk memuatkan sepenuhnya SMS itu di sini. Cukuplah dikatakan penulis SMS itu membidas Samy Vellu seperti bercakap tidak serupa bikin atau hanya bersandiwara!
Mungkin ketika itu Samy Vellu dalam keadaan marah ataupun sudah tidak tahan lagi dengan kenyataan-kenyataan Kayveas selama ini terhadap parti pimpinannya.
MIC sebelum ini mahu mencadangkan kepada mesyuarat Dewan Tertinggi BN supaya mengambil tindakan sewajarnya ke atas PPP yang memperkecilkan MIC. Mungkin hasrat itu juga didorong oleh perbalahan yang melibatkan PPP dan Gerakan berhubung isu kerusi.
Sebenarnya Samy Vellu boleh diajak berunding, bak kata orang, sekeras-keras kerak nasi akhirnya lembut juga. Ini dibuktikan apabila beliau mampu memaafkan musuh politiknya selama dua dekad, M.G Pandithan.
Dewan Wawasan di ibu pejabat parti Gerakan di Kuala Lumpur menjadi saksi sejarah pada 1 Julai lalu apabila Samy Vellu dan Pandithan berpelukan di hadapan 3,800 perwakilan dan pemerhati yang menghadiri perhimpunan agung ke-15 IPF. Pada hari itu, Samy Vellu juga diberi penghormatan merasmikan perhimpunan itu.
Kata Samy Vellu: ‘‘Saya bersedia untuk bekerjasama dengan Pandithan. Kami sudah kembali berkawan dan tiada siapa boleh pisahkan perhubungan ini. Kami berdua mahu bekerjasma demi kebaikan masyarakat India walaupun terdapat dua parti politik mewakili masyarakat India tetapi objektifnya sama untuk menolong mereka.”
Pandithan pula mahu persahabatan itu kekal sehingga ke akhir hayatnya.
Katanya: ‘‘Kemungkinan 20 tahun lalu saya meninggalkan MIC kerana salah faham dengan Samy Vellu. Setelah berfikir panjang, saya sedar bahawa permusuhan ini perlu dihentikan dan kembali bersahabat untuk memajukan masyarakat India. Apa yang berlaku, biarkan ia berlalu. Cukuplah... saya tidak mahu bermusuh dengan Samy Vellu. Biarlah IPF dan MIC berganding bahu memastikan kejayaan memihak kepada BN,’’ katanya.
Tetapi ramai yang beranggapan kesediaan itu adalah kerana Pandithan bekas Naib Presiden MIC yang pernah mendapat ‘didikan politiknya’ tetapi Kayveas bukannya datang dari MIC. Ada pula yang bertanya apa yang terjadi kepada bekas timbalannya dulu, S. Subramaniam yang sudah banyak jasanya dalam MIC sebelum ini?
Mungkin, Kayveas terpaksa menunggu lebih lama untuk melihat kemarahan Samy Vellu reda. Jika Pandithan terpaksa menunggu selama 20 tahun untuk berdamai maka, Kayveas juga terpaksa sabar menanti sekiranya Samy Vellu tidak bersedia berdamai ketika ini.
Tetapi, biarpun bermusuh, seperti yang pernah dilakukan Pandithan sebelum ini, setiap kali pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, IPF tidak lupa untuk memberi sokongan kepada calon-calon MIC dan BN walaupun IPF bukan parti komponen BN.
Dan diharapkan menjelang pilihan raya umum yang tarikhnya dikatakan semakin hampir, MIC dan PPP dapat menghentikan perbalahan demi memastikan kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang.
– HASSAN MOHD NOOR
0 Komentar untuk "Berakhirkah ‘sandiwara’ perbalahan MIC - PPP?"