Seluruh Bangladesh dilanda ribut, ombak - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Seluruh Bangladesh dilanda ribut, ombak

Tentera guna kapal, helikopter mencari beratus-ratus mangsa masih hilang, baik pulih kemudahan

DHAKA: Kapal tentera dan helikopter semalam cuba untuk menyelamatkan beribu-ribu penduduk yang terselamat daripada ribut tropika yang membunuh lebih 1,000 penduduk dan menyebabkan hampir keseluruhan Bangladesh dilanda angin kuat dan ombak besar.

Ribut Sidr melanda kawasan pantai selatan Bangladesh malam Khamis lalu dengan angin selaju 250 km sejam dan membawa ombak setinggi lima meter. Ia adalah ribut paling kuat sejak 1991 yang membunuh sekurang-kurangnya 143,000 penduduk di negara itu.


Kapal tentera laut digunakan untuk mencari beratus-ratus penduduk di kawasan pantai yang dilaporkan hilang dan membersihkan sungai yang dipenuhi dengan kapal yang tenggelam bagi memulihkan keadaan, kata pihak berkuasa.

Helikopter juga digunakan ke kawasan terjejas untuk menggugurkan makanan dan air minuman serta ubat-ubatan kepada penduduk yang terselamat.

Angka kematian rasmi akibat ribut berkenaan dianggarkan lebih 900 tetapi beberapa akhbar semalam memberikan angka di antara 1,100 hingga 2,000, dengan memetik pemberita mereka dari kawasan yang terjejas.


"Ia mengambil masa beberapa hari untuk melengkapkan operasi menyelamat dan mencari serta mengetahui jumlah sebenar korban dan anggaran kerugian harta benda," kata pegawai kementerian bencana dan makanan, Ayub Miah.

Tentera laut Amerika Syarikat dilaporkan bersedia menghantar dua kapal bantuan bersama helikopter bagi membantu usaha menyelamat.

Bangladesh sehingga kini belum menerima tawaran rasmi dari tentera laut Amerika Syarikat, kata Setiausaha Luar, Touhid Hossain kepada Reuters.

"Jika kami ada, kami akan pertimbangkan dan membuat keputusan." Bantuan tentera laut Amerika Syarikat juga diperoleh selepas kejadian ribut pada 1991.

Pegawai bantuan menyifatkan kemusnahan akibat ribut terbabit yang menerbangkan rumah dan menumbangkan pokok serta talian elektrik amat teruk. Kebanyakan kawasan di negara itu terpaksa bergelap kelmarin berikutan bekalan elektrik terputus. Sebahagian besar Dhaka yang juga ibu negara itu yang menempatkan 10 juta penduduk masih tidak mendapat bekalan elektrik semalam.

"Pasukan bantuan kami memulakan pengagihan kecemasan membabitkan 100,000 orang," kata Vince Edwards, Pengarah Kebangsaan World Vision Bangladesh. � Reuters
0 Komentar untuk "Seluruh Bangladesh dilanda ribut, ombak"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI