Simbolik sebatang penyapu - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Simbolik sebatang penyapu

Oleh: HASSAN MOHD NOOR

SEBELUM Ramadan yang lalu, Dr. Mohamad Khir Toyo mengeluarkan arahan supaya masjid dan surau di negeri Selangor menunaikan solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat. Arahan itu tidaklah menggemparkan dan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat Islam. Ini soal ibadah. Cuma ada yang berkata, dalam soal ibadah terpulanglah kepada individu untuk melakukannya, sama ada lapan atau 20, asalkan seseorang itu bersedia melakukannya dengan kyusuk.

Baru-baru ini pula, Menteri Besar Selangor itu melakukan sesuatu yang lebih menggemparkan (bagi sesetengah orang tidak), iaitu menghadiahkan penyapu kepada ketua jabatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu. Ini benar-benar menimbulkan kontroversi.

Tetapi bagi doktor gigi itu, anugerah tersebut bukanlah untuk memalukan atau menjatuhkan maruah individu atau mana-mana jabatan kerajaan.

‘‘Sebaliknya ia merupakan satu peringatan kepada jabatan kerajaan supaya berusaha meningkatkan prestasi, mengubah sikap, produktif serta bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai,’’ kata Dr. Khir.

Beliau mengakui menerima banyak kritikan berhubung pemberian hadiah itu. Namun tidak kurang juga yang memberi sokongan. Tetapi yang pastinya tentulah lebih banyak kritikan.

Maka khabarnya ada yang sudah berkira- kira untuk menjadikannya isu politik, apatah lagi menjelang pemilihan parti tahun depan. Kenapa? Alasannya mudah, orang Melayu cukup marah kalau diaibkan. Maka ini bagi mereka adalah peluang untuk sedikit sebanyak menjatuhkan reputasi Menteri Besar itu. Kasihan Dr. Khir Toyo. Apa pun alasan yang diberikannya, lebih banyak buruk daripada baiknya. Berilah apa alasan pun tetapi pada pandangan ramai keburukan terserlah.

Tetapi adakah penyapu itu melambangkan sesuatu yang sial? Di dalam Islam tidak ada sesuatu yang membawa sial. Mempercayai sesuatu yang boleh membawa sial adalah syirik. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Tidak ada burung, tidak ada penyakit menular dan tidak ada sial. Anggapan sial itu adalah syirik. Begitu juga dalam sabda baginda yang membawa maksud: Bukan dari golongan kami sesiapa yang merasa sial atau meminta diramalkan kesialannya atau merenung nasib atau minta ditenungkan atau menyihirkan atau meminta disihirkan.

Maka elakkanlah daripada bercakap yang bukan-bukan mengenai penyapu ini.

Dan tidak semestinya penyapu yang murah itu tidak baik bagi kita.

Dalam memperkatakan soal nilai yang murah ini, teringat penulis mengenai filem Ahmad Albab arahan P.Ramlee yang mengisahkan lagak tiga menantu orang kaya Sheikh Mas’ud al-Buaya iaitu Muharram, Safar dan Syawal.

Salah satu babaknya ialah bagaimana para tetamu termasuk menantu-menantu ini menyampaikan hadiah pada kenduri hari lahir Sheikh berkenaan yang juga bapa mentua Muharram, Safar dan Syawal.

Dua menantunya iaitu Muharram dan Safar bersama isteri masing-masing Sapura dan Suhara menghadiahkan kibas, kambing dan emas tetapi Syawal hanya memberikan garam dan gula.

Sheikh Mas’ud memandang rendah pemberian garam dan gula yang katanya benda-benda itu murah. Tetapi akhirnya, beliau secara tidak langsung mengakui nilai gula dan garam apabila seleranya tertutup ketika merasai kari capati anaknya Mastura tanpa garam dan menghirup air kopi tanpa gula.

Mungkin kisah di dalam filem ini boleh diterjemahkan kepada niat murni Dr. Khir Toyo menghadiahkan penyapu yang murah tertapi berguna untuk ‘membersih’. Bagaimanapun garam dan gulu tidak sama dengan penyapu!

Penyapu (kata dasarnya sapu) itu sebenarnya membawa pelbagai maksud baik dan buruk. Apa yang baiknya ialah ia digunakan untuk menyapu dan membersihkan. Dan yang buruknya pula termasuklah bermaksud pengebas atau pencuri.

Terdapat pelbagai ungkapan, perumpamaan atau peribahasa mengenai penyapu.

Antaranya Disambut dengan penyapu tak bersimpai yang bermaksud dihalau keluar dari sesuatu majlis keramaian kerana dibenci orang; Nasib penyapu, banyak jasa turun darjat iaitu terlalu banyak membuat kebajikan sehingga merosakkan diri sendiri.

Sementara penyapu baru pula bermaksud pekerja yang rajin kerana mendapat kerja atau orang yang baru sahaja mendapat kerja yang sangat dihajati dan oleh itu dia bekerja dengan rajin atau orang yang membuat kerja dengan kemas sekali (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan).

Lain pula maksudnya dengan penyapu buruk iaitu orang yang tidak berguna lagi kepada masyarakat atau orang yang berperangai tidak senonoh. Satu lagi ialah penyapu kasar yang membawa maksud penipu yang mencari peluang besar.

Maka dalam hal ini, Dr. Khir Toyo telah memberi penyapu baru kepada pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor atas alasan kedua- dua badan itu gagal mengutip hasil cukai dengan cemerlang.

Maka ketepikan sementara soal aib dan fahamilah maksudnya.

Kedua-dua pihak perlu bekerja rajin-rajin ibarat mendapat penyapu baru dan ambil semua sekali (sapu bersih) cukai yang belum dikutip. Jangan menyapu di bawah karpet. Cuma jangan pula ketika pegawai-pegawai ini mahu menjalankan tugas mereka, ada pula campur tangan politik yang menyokong orang itu atau orang ini menangguhkan pembayaran cukai atau dikurangkan cukai dan sebagainya.

Kadangkala orang politik terlupa bahawa ketika mereka mengarahkan pegawai-pegawai membuat kerja ada pula yang se- olah- olah menghalang pegawai-pegawai ini menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Kalau begini halnya, mereka ini sama seperti penyapu buruk atau penyapu kasar dan sampai bila pun majlis daerah ini tidak boleh sapu bersih.

Apa pun mengambil sentimen orang Melayu, penulis bersetuju bahawa bukanlah penyapu harus diberi apatah lagi di hadapan khalayak. Syukurlah, sudah ada kesedaran mengenai perkara ini. Semoga tidak berulang pada masa depan.

Berilah ‘hadiah’ lain. Secara berseloroh, ada juga yang berkata, lebih manis kalau diberi alat mesin hampagas atau vacuum cleaner. Ada juga yang berseloroh, kalau setakat sampah bolehlah menggunakan penyapu tetapi masalahnya ialah mengutip cukai. Tidak kurang juga yang bertanya, kalaulah sesebuah PBT tidak mampu merobohkan rumah setinggan atau bangunan yang tidak mendapat kelulusan, takkan penyapu yang diberi? Tentulah jentolak.

Tidak kurang juga yang menimbulkan persoalan seandainya wakil rakyat atau pemimpin politik pula disambut dengan penyapu sebagai ganti bunga manggar ketika melawat kawasan kerana mesej yang ingin disampaikan bahawa kawasan mereka serba ketinggalan, kotor dengan sampah sarap yang tidak diangkut dan sebagainya. Apakah reaksi wakil-wakil rakyat ini agaknya?

Justeru elakkanlah memberi sesuatu yang boleh menimbulkan persepsi buruk di kalangan orang ramai kerana warga kita masih belum mampu menerima sesuatu secara simbolik yang boleh mengaibkan.

Seperti kata Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Dr. Rais Yatim: “Banyak lagi usaha lain yang boleh dilakukan untuk menggalakkan peningkatan prestasi kerja penjawat-penjawat awam termasuk melalui cara pemberian markah.’’

Bagi Dr. Khir Toyo dan juga pihak yang menerima hadiah penyapu itu, sedikit sebanyak, nama baik mereka terjejas. Walaupun sebelum ini, kerja-kerja yang dilakukan amat baik tetapi kerana sedikit ‘kegelinciran’ maka orang akan membuat pelbagai andaian. Bak kata orang, panas setahun dihapuskan hujan sehari yang membawa maksud kebaikan seseorang itu hilang kerana ‘kejahatan’ yang sedikit.

Ini sudah lumrah dan dalam sejarah orang Melayu, perkara seumpama ini pernah berlaku kepada pahlawan-pahlawan kita seperti Hang Tuah dan Hang Jebat. Maka, bersedialah menerima kesannya akibat berlakunya ‘kejahatan’ yang sedikit itu.

0 Komentar untuk "Simbolik sebatang penyapu"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI