Aminah Abdul Rahman |
PERATUSAN pekerja wanita negara ini yang sentiasa meningkat setiap tahun menyebabkan aspek penjagaan anak tidak diberi penekanan sehingga mengganggu proses keharmonian rumah tangga dan memberi masalah kepada pembentukan sebuah keluarga berkualiti.
Malah, ibu bapa bekerjaya terpaksa melepaskan tanggungjawab utama mereka untuk mendidik dan memberi perhatian terhadap anak kepada individu lain sama ada ahli keluarga, jiran, pembantu rumah, kawan atau pusat jagaan.
Lebih mendukacitakan apabila ada yang membiarkan anak bersendirian di rumah kerana tidak mampu membayar kos penjagaan yang dikenakan.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Aminah Abdul Rahman, berkata berdasarkan hasil kajian penduduk dan keluarga Malaysia menunjukkan 2.2 peratus wanita bekerja terpaksa membiarkan anak di bawah umur tujuh tahun tinggal bersendirian di rumah.
Malah, katanya, daripada sejumlah besar wanita itu yang berusia sekitar 15 hingga 49 tahun terpaksa mencari pelbagai alternatif untuk menjaga anak mereka selama mereka bekerja dan majoritinya memilih ahli keluarga terdekat untuk melaksanakan tugas itu.
Keadaan itu menjadikan hubungan kekeluargaan tidak dapat dijalin dengan sempurna selain mewujudkan pelbagai masalah sosial lantaran tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada ibu bapa.
"Senario itu menyebabkan pelbagai masalah lain termasuk kurangnya produktiviti di kalangan pekerja kerana kerap berdepan dengan rasa bimbang lantaran keselamatan anak yang tidak terjamin sepanjang berada di bawah pengawasan jauh daripada pemerhatian ibu bapa.
"Lantaran itulah, hasil kajian menunjukkan, 56 peratus daripada wanita yang berhenti kerja adalah disebabkan masalah penjagaan anak dan ia pastinya merugikan industri kerana 47 peratus wanita dalam kumpulan usia 15 hingga 65 tahun di negara ini bekerja," katanya.
Beliau berkata, hasil tinjauan juga menunjukkan, hampir 50 peratus daripada wanita bekerja berharap supaya majikan menubuhkan pusat penjagaan anak di tempat kerja dan memberi subsidi bagi kos penjagaan anak sekiranya dihantar ke tempat lain. Malah, ada yang meminta majikan menyediakan ruang memerah, menyimpan dan menyusu di pejabat.
Katanya, wanita berkerjaya sebenarnya amat menitikberatkan soal penjagaan anak dan kebanyakan mereka akan berada dalam keadaan tertekan untuk melaksanakan tugasan dengan sempurna sekiranya anak menghadapi masalah serta berada jauh dari tempat kerja.
Merujuk kepada semua permasalahan itulah, Aminah berpendapat sewajarnya kerajaan mencari satu mekanisme untuk menggalakkan majikan membuka pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.
"Setakat ini kerajaan hanya menyediakan geran penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak sebanyak RM80,000 kepada premis di bawah agensi kerajaan saja. Malah, pemberian subsidi penjagaan anak sebanyak RM180 kepada keluarga berpendapatan di bawah RM2,000 juga memfokuskan kakitangan kerajaan," katanya.
Presiden Kesatuan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia (IMWU), Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja akan memberi lebih banyak peluang kepada ibu untuk mencurahkan kasih sayang terutama bagi menyusu anak mereka.
"Majikan yang mewujudkan nurseri di tempat kerja pastinya mengharapkan pekerja dalam keadaan stabil tanpa diganggu dengan masalah lain terutama hal keluarga. Apabila majikan ambil berat mengenai perkara ini, pastinya pekerja akan lebih bertanggungjawab kerana kebajikan mereka dijaga dengan sempurna," katanya.
Presiden Persatuan Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Malaysia, Datin Radziah M Daud, pula berkata kerajaan sewajarnya turut memikirkan insentif tertentu untuk menggalakkan syarikat swasta turut mampu membuka nurseri di tempat kerja.
"Sekiranya semua agensi kerajaan ditawarkan geran sebanyak RM80,000 untuk tujuan itu, apa salahnya jika satu jenis geran diperkenalkan khusus untuk syarikat swasta dengan mengenakan syarat tertentu. Setidak-tidaknya, insentif itu juga boleh diberikan dalam pelbagai bentuk bagi menggalakkan syarikat swasta menubuhkan nurseri di premis mereka.
"Kerajaan perlu meletakkan peraturan iaitu bagi premis atau syarikat yang pekerjanya melebihi satu jumlah ditentukan, mereka perlu menubuhkan nurseri untuk anak pekerja mereka. Paling tidak pun, pilih satu nurseri terdekat untuk dijadikan nurseri dalam komuniti," katanya.
0 Komentar untuk "Laporan Khas: Galak majikan buka pusat jagaan"