Pakistan tolak desakan AS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pakistan tolak desakan AS

ISLAMABAD 18 Nov. – Pakistan hari ini terus mengenepikan desakan oleh diplomat kedua tertinggi Amerika Syarikat (AS) supaya Presiden Pervez Musharraf memulihkan perlembagaan dan membebaskan seteru-seteru politik beliau dengan menyifatkan ia bukan sesuatu yang baru dan tidak datang dengan sebarang jaminan.

“Ini bukan perkara baru. Beliau telah berkata begini selama beberapa hari dan mengulanginya setiap hari,” kata jurucakap Kementerian Luar, Mohammed Sadiq merujuk kepada amaran oleh Timbalan Setiausaha Negara AS, John Negroponte supaya Pervez menamatkan pemerintahan darurat secepat mungkin.

Sementara itu, laporan akhbar The New York Times mendedahkan bahawa kerajaan AS telah membelanjakan hampir AS$100 juta (RM340 juta) selama enam tahun dalam program rahsia untuk membantu Pervez menyelamatkan program senjata nuklear negara itu.

Mengambil kenyataan pegawai dan bekas pegawai kanan pentadbiran, akhbar tersebut melaporkan bantuan kewangan itu telah dimasukkan dalam sebahagian belanjawan pusat dan telah digunakan bagi membiayai latihan kakitangan kerajaan Pakistan di AS serta pembinaan pusat latihan keselamatan nuklear yang masih belum berfungsi.

“Segalanya telah tersasar jauh dari yang dijangkakan dan anda belum pasti apa yang telah dicapai sehingga kini,” menurut bekas pegawai kanan yang terlibat dalam program tersebut.

Pergolakan yang berlaku di Pakistan sejak kebelakangan ini telah mempersoalkan kewajaran Pervez untuk kekal berkuasa serta menimbulkan kebimbangan bagi pentadbiran dalaman AS tentang keselamatan projek nuklear tersebut.

Pakistan sebelum ini terlibat dalam persaingan dengan India sebagai negara kuasa nuklear sejak 1998 dengan melancarkan enam ujian nuklear bawah tanah.

– Reuters

0 Komentar untuk "Pakistan tolak desakan AS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI