Masa depan akhbar berbahasa Melayu perlu dipertahan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Masa depan akhbar berbahasa Melayu perlu dipertahan

Pendapat
APAKAH nasib media berbahasa Melayu pada masa akan datang? Mengapa sebahagian besar orang Melayu kini semakin meninggalkan bahan bacaan dalam bahasanya sendiri?

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 16 November lalu ternyata bimbang dengan perkembangan mutakhir yang menyaksikan kemerosotan minat kaum Melayu membaca bahan dalam bahasa Melayu. Fenomena ini dapat dilihat pada kuantiti jualan dan budaya membaca akhbar berbahasa Melayu yang kian tidak menggalakkan.

Laporan syarikat penyelidik media AC Nielsen bagi tempoh Julai 2006 hingga Jun tahun ini menunjukkan hanya 44 peratus orang Melayu berusia 15 tahun ke atas membaca akhbar perdana berbahasa Melayu. Berbeza dengan kaum Cina, dianggarkan 64 peratus daripada mereka membaca akhbar berbahasa Cina.

Perkembangan yang membimbangkan masa depan penerbitan akhbar berbahasa Melayu yang dialami sekarang tidak keterlaluan berpunca daripada perubahan dasar yang mulai berlaku sejak lima tahun kebelakangan ini.

Perubahan bahasa pengantar dari bahasa kebangsaan kepada bahasa Inggeris dalam pengajaran bagi sebahagian mata pelajaran di sekolah mahupun di universiti menyumbang kepada ’kepupusan’ pembaca penerbitan berbahasa Melayu.

Bukan sedikit keluarga Melayu kini hanya membeli dan membaca akhbar berbahasa Inggeris lantaran mahu anak- anak mereka menguasai bahasa tersebut. Malangnya, peminggiran bahan berbahasa Melayu ini tidak pula berlaku di kalangan komuniti Cina walaupun umum mengetahui mereka lebih terdedah kepada penguasaan bahasa Inggeris.

Budaya tidak suka membaca di kalangan sebahagian orang Melayu diburukkan lagi dengan kempen galakan membaca akhbar dalam bahasa Inggeris yang mendapat liputan media dan ditaja oleh banyak pihak bagi tujuan penguasaan bahasa tersebut.

Ledakan teknologi maklumat juga membolehkan masyarakat membaca akhbar secara percuma selain pelbagai pilihan sumber portal berita sama ada dari kategori arus perdana mahupun bukan. Namun, untuk menganggap penurunan edaran jualan akhbar berbahasa Melayu yang dapat menjadi penanda aras kepada kemerosotan membaca bahan dalam bahasa Melayu disebabkan oleh perkembangan Internet juga tidak tepat seratus peratus.

Ini kerana budaya suka bersantai dan berhibur semakin kuat mencengkam generasi muda Melayu kini. Kecanggihan dunia Internet lebih banyak diguna untuk bermain permainan komputer serta memuat turun lagu, filem dan nada dering telefon bimbit yang terkini.

Konsep sahabat pena yang berasaskan layangan surat telah mengalami transformasi kepada budaya menjalin hubungan ‘kenalan maya’ Laman seperti Friendster dan MySpace berjaya mengalih perhatian generasi muda terutamanya daripada memerah otak untuk membaca apatah lagi menganalisis laporan atau maklumat yang terpapar dalam laman sesawang akhbar.

Pendek kata, sukar untuk kita melihat generasi muda yang memiliki akses Internet melayari akhbar online sebagai rutin mereka setiap hari lantaran sibuk ‘berkenal-kenalan’ dan mencari klip video lagu atau filem.

Perlu diingat ratusan ribu generasi pelajar sekarang merupakan calon pembaca akhbar pada masa depan. Murid-murid yang masuk darjah 1 pada tahun 2003 lalu akan meninggalkan bangku persekolahan pada tahun 2013. Selepas mereka selesai menyambung pengajian tinggi dalam anggaran beberapa tahun, sebahagian daripada mereka akan menjadi pembeli atau pembaca akhbar walaupun tidak dinafikan segelintir daripada mereka telah mengikuti perkembangan berita dan maklumat melalui akhbar sepanjang proses pendidikan mereka.

Jelas, dasar pendidikan negara faktor penentu hala tuju dan kelangsungan penerbitan berbahasa Melayu. Tidak dinafikan juga, kemerosotan pembaca akhbar berbahasa Melayu akan mempengaruhi tahap kestabilan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Bukankah kita telah mengakui bahawa bahasa kebangsaan adalah alat penyatuan dan pengukuh perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini? Jika pada masa sekarang pun, orang Melayu semakin payah membaca akhbar dalam bahasanya sendiri apatah lagi bagi kaum-kaum lain.

Ada baiknya, budaya progresif masyarakat keturunan Tionghua dicontohi oleh orang Melayu yang tetap tidak melupakan akhbar dalam bahasa mereka walaupun kedudukan ekonomi dan penguasaan bahasa asing mereka secara umumnya lebih baik daripada orang Melayu.

– MOHD. ARIF ATAN,

Universiti Malaya.

0 Komentar untuk "Masa depan akhbar berbahasa Melayu perlu dipertahan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI